Pengurus Newcastle United, Eddie Howe menerima hakikat bahawa beliau akan terus ditanya mengenai pemilikan Arab Saudi ke atas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan, tetapi berkata dirinya hanya layak untuk bercakap tentang bola sepak sahaja.
Newcastle telah diambil alih oleh sebuah konsortium yang dikuasai oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, yang mana ianya dipengerusikan oleh Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman.
Persoalan tersebut timbul ekoran tekanan yang dikenakan ke atas pemilik Chelsea, Roman Abramovich susulan dari serangan Rusia ke atas Ukraine baru-baru ini. Hartawan Rusia itu dikatakan mempunyai hubungan baik dengan presiden negaranya Vladimir Putin.
#Abramovich: “I’ve never even met Putin and had no dealings with him”#ChelseaFC #BBCBreakfast #Ukraine️ #StandWithUkraine pic.twitter.com/GtaaAzkY25
— Andrew🇪🇺🇬🇧 (@CourierBoyUK) March 12, 2022
Timbul isu mengenai layanan pilih kasih oleh pihak berkepentingan apabila Arab Saudi yang terpalit dengan pelbagai isu kemanusiaan terus dibenarkan memiliki Newcastle menerusi ‘proksinya’.
Beberapa badan hak asasi manusia termasuk Amnesty International pada minggu lalu mendedahkan sekurang-kurangnya 81 orang aktivis dan tokoh di negara tersebut telah dihukum mati oleh kerajaan dalam tempoh sedekad.
Putera Mahkota Saudi itu juga merupakan individu yang bertanggungjawab secara langsung dengan serangan ke atas Yaman yang telah meragut kira-kira 250 ribu nyawa di negara selatan semenanjung Arab tersebut.
Malah Mohammed bin Salman turut terpalit dengan pembunuhan kolumnis The Washington Post warga Arab Saudi, Jamal Kashoggi beberapa tahun lalu,
“Saya akui ia adalah sesuatu yang sukar untuk semua orang yang cakna dengan isu ini, saya faham ada soalan yang akan ditanya kepada saya, saya tiada masalah dengan itu,” jawab Howe dalam sidang media setelah ditanya oleh pemberita.
“Tetapi sering saya tekankan bahawa subjek kepakaran saya adalah bola sepak, itu yang saya tahu, itulah yang saya dilatih untuk lakukan.
“Sekiranya saya menyimpang dari itu [bola sepak] ke perkara yang saya rasa tidak layak untuk memberikan pendapat mengenainya, saya rasa ia lebih bahaya. Jadi saya lebih suka berpegang dengan apa yang saya percaya, yang saya tahu.
“Jelas saya amat berbangga untuk mewakili kelab ini, para penyokongnya serta bandar ini. Saya sedang cuba untuk mencipta sebuah pasukan yang boleh dibanggakan oleh seluruh bandar ini, semua kudrat saya dicurahkan sepenuhnya ke arah itu.”
Bagaimanapun, Howe menegaskan bukanlah ia bermaksud beliau langsung tidak mahu mengambil tahu tentang isu yang dibangkitkan.
Eddie Howe insists he "sticks to football" after being confronted over Saudi executions https://t.co/GVMrQXDrL2 pic.twitter.com/nb6TL5eZ9n
— Mirror Football (@MirrorFootball) March 13, 2022
“Sudah tentu sebahagian daripada tugas saya dalam pengurusan bola sepak moden adalah dengan mengambil tahu tentang apa yang sedang berlaku di seluruh dunia dan saya sedar perlu cakna akannya,” tambahnya lagi.
“Tetapi bola sepak akan kekal menjadi minat dan keutamaan saya, akan sentiasa menjadi tunjang utama kepada tugas saya. Jadi saya fikir di situlah sepatutnya masa saya difokuskan.”
Newcastle yang sedang berada pada prestasi terbaiknya akan berkunjung ke Everton pada Khamis ini untuk perlawanan EPL. Kedudukan pasukan tersebut kini jauh lebih baik sejak Howe mengambil alih pasukan.