Kenali Kepa Arrizabalaga, ‘El Jilguero’ Yang Terbang Dari Bilbao Ke London

Burung Chardonneret atau turut dikenali dengan nama burung Goldfinch adalah burung yang hampir sama dengan burung Kenari.

Burung Chardonneret atau Goldfinch mempunyai warna bulu yang banyak secara relatif. Beberapa warna bulu kombinasi seperti putih, coklat, kuning, merah, hitam yang menghiasi tubuhnya yang mungil dan terlihat begitu indah.

Goldfinch bukan sahaja digemari kerana kombinasi warna bulu yang menarik, malah turut menarik perhatian pengumpul burung kerana kicauannya yang merdu.

El Jilguero Bilbao ke Stamford Bridge

El Jilguero adalah nama panggilan buat penjaga gol termahal dunia berusia 23 tahun, Kepa Arrizabalaga.

Sebelum berita perpindahan beliau dari Athletic Bilbao ke Chelsea, rata-rata pengikut Liga Perdana Inggeris (termasuk di Malaysia), tidak mengenali siapakah penjaga gol ini.

UNITED STATES – OCTOBER 01: A goldfinch perched on a slender plant, Smyrna, Delaware (Photo by George Grall/National Geographic/Getty Images)

Di dalam bahasa latin, El Jilguero bermaksud burung Goldfinch. Ada dua sebab mengapa Kepa [Arrizabalaga] diberikan nama panggilan sedemikian.

Pertama, ia adalah kerana aksinya di hadapan gawang. Kemampuan beliau melayangkan badan disamakan dengan keupayaan untuk terbang burung Goldfinch.

(Photo credit should read MACIEJ GILLERT/AFP/Getty Images)

Dan nama panggilan tersebut juga bukan satu kebetulan. Di usia kanak-kanak, Kepa mempunyai minat yang sama dengan ayahnya, iaitu untuk memburu burung baka sebegini.

Burung ini akan dipelihara dan dilatih untuk berkicau, sebelum dibawa untuk menyertai pertandingan kicauan burung peringkat kebangsaan di Sepanyol.

Kepa dan ayahnya pernah memenangi pertandingan kicauan burung di Sepanyol sebanyak dua kali, iaitu pada 2008 dan 2010.

Kini bukan lagi sebagai penternak burung, El Jilguero terbang dan dan mengumumkan ketibaan di Stamford Bridge untuk mengejar impian di dalam bola sepak.

Karier Awal

Kepa Arrizabalaga Revuelta dilahirkan pada 3 Oktober 1994 di Ondarroa, Sepanyol.

Kepa mulai bermain bola sepak sejak berusia 6 tahun di bandar wilayah Basque itu. Pada usia 9 tahun, Kepa berjaya menarik perhatian pencari bakat untuk diserap ke akademi milik Athletic Bilbao.

Sumber: Instagram

Peningkatan prestasi Kepa di peringkat pembangunan di akademi amat ketara. Bukan sahaja hebat di posisi sebagai penjaga gol, beliau turut membuktikan dirinya mampu beraksi sebagai pemain biasa di posisi lain.

Buktinya, Kepa pernah menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan Bawah-14, selepas kecederaan pemain di dalam pasukan memaksa jurulatih menurunkan beliau bukan sebagai penjaga gol.

15 July 2012; Spain goalkeepers Kepa Arrizabalaga, left, and Adrian Ortolá celebrate with the trophy after victory over Greece. UEFA Under-19 Championship Final 2012, Spain v Greece, Lilleküla Stadium, Tallinn, Estonia. Picture credit: Diarmuid Greene / SPORTSFILE

 

Kehebatan Kepa turut berjaya menarik perhatian skuad kebangsaan peringkat umur Sepanyol. Pada ketika itu, beliau sudah memiliki refleks yang mengkagumkan buat seorang penjaga gol muda.

Pada 2012, Kepa mulai beraksi untuk skuad B-18, dan seterusnya menyertai skuad B-19 dan B-21 Sepanyol. Kepa adalah sebahagian daripada anggota skuad Sepanyol yang bergelar juara Kejohanan UEFA B-19 di Estonia pada 2012.

(Photo credit should read PIERRE-PHILIPPE MARCOU/AFP/Getty Images)

Penampilan sulung di bersama skuad senior pula hadir pada 11 November 2017, dalam perlawanan persahabatan menentang Costa Rica di Malaga.

Malah beliau adalah salah seorang anggota skuad La Roja yang turut dinamakan oleh bekas pengurus, Julen Lopetegui di dalam 23 senarai pemain yang dibawa ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Sebelum mengambil posisi sebagai penjaga gol utama di Bilbao, Kepa turut pernah berkelana bersama Ponferradina dan Valladolid di Divisyen Dua untuk meraih pengalaman.

Turut pernah mendapat didikan daripada Marcelo Bielsa di usia remaja, jersi No.1 akhirnya menjadi milik Kepa di era Ernesto Valverde membimbing Athletic Bilbao

Pernah diintai Real Madrid

Pada awal tahun ini tajuk akhbar oleh sebuah akhbar terkenal di Sepanyol, Marca menyiarkan sebuah artikel bertajuk:

“Kepa, Kesilapan Yang Akan Menghantui Zidane”.

Tajuk tersebut adalah berkaitan kedegilan bekas pengurus itu untuk menurut desakan penyokong untuk mendapatkan Kepa di jendela perpindahan Januari lalu.

Keratan akbar Marca mengenai Zidane.

Real Madrid melalui prestasi yang kurang memberangsangkan di peringkat domestik pada ketika itu. Dengan hanya tanda harga £18 juta, hanya perlu untuk melepasi pemeriksaan kesihatan, tetapi dinafikan oleh Zidane.

“Kepa ialah seorang penjaga gol berbakat. Tetapi saya tidak mahukan seorang penjaga gol di pertengahan musim,” ujar Zidane sebagai alasan pada ketika itu.

(Photo by Gonzalo Arroyo Moreno/Getty Images)

Ia berakhir dengan Kepa menandatangani kontrak lanjutan di Bilbao.

Tanda harga £71 juta yang terpaksa dibayar oleh Chelsea bukan sahaja refleksi kepada kontrak yang baru ditandatanganinya, tetapi kerana Kepa dilihat sebagai prospek dan mengambil kira potensi yang masih dilihat di dalam dirinya untuk terus berkembang.

Mengapa Chelsea buru Kepa?

Antara yang menjadi tanda tanya ialah mengapa Chelsea mahukan Kepa?

Kebolehan Kepa sentiasa disamakan dengan legenda Los Blancos, Iker Casillas, walaupun dari segi fizikal, beliau adalah lebih rendah berbanding Courtois.

Selain memiliki refleks luar biasa, Kepa mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi bola sepak walaupun mempunyai usia yang muda buat seorang penjaga gol.

Perkara utama yang menjadi pertimbangan Chelsea ketika mendapatkan Kepa semestinya mengenai profail penjaga gol tersebut.

Tidak seperti David de Gea di dalam skuad Sepanyol, Kepa merupakan seorang ball-playing goalkeeper. Beliau selesa mengawal bola dengan kaki, dan mampu memulakan gerakan serangan pasukan dari posisi beliau.

(Photo credit should read PIERRE-PHILIPPE MARCOU/AFP/Getty Images)

Jelas ia adalah kelebihan penting dalam taktikal bola sepak moden pada hari ini. Ketika De Gea bergelut dengan prestasi bersama skuad Sepanyol di Piala Dunia, nama Kepa turut disebut sebagai penjaga gol yang paling sesuai untuk La Roja.

Di dalam taktikal Maurizio Sarri yang beteraskan permainan di garis tinggi (high line), seorang penjaga gol yang memiliki kemampuan sebegini adalah satu kelebihan.

Penutup

Burung Goldfinch atau El Jilguero, Kepa Arrizabalaga sudah bersedia untuk terbang lebih tinggi bersama Chelsea.

Pembangunan beliau bersama Athletic Bilbao sudah lengkap, bagaikan kombinasi menarik warna bulu seekor Goldfinch yang matang.

Kini masa untuk berkicau. Selamat datang ke Liga Perdana Inggeris Kepa Arrizabalaga.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN