Penyerang Jerman, Timo Werner dilaporkan semakin hampir untuk meninggalkan RB Leipzig selepas bersetuju untuk berhijrah ke Chelsea apabila kelab Liga Perdana Inggeris bersedia untuk mengaktifkan klausa perpindahannya yang bernilai €55 juta (RM265 juta).
Berita tersebut ternyata menghampakan penyokong Liverpool yang telah sekian lama berharap penyerang berusia 25 tahun itu ‘mendarat’ di Anfield bagi mengukuhkan bahagian serangan juara Eropah berkenaan.
Merujuk kepada laporan Sky Sports, pada awal tahun ini berlaku perbualan di antara Werner dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menerusi panggilan telefon. Klopp jelas mahukan penyerang itu menyertainya di Anfield, tetapi ada satu perkara yang membuatkan Werner keberatan.
Julian Nagelsmann: Saya Tak Mampu Buat Apa-Apa Untuk Halang Werner https://t.co/c7k2cKblue pic.twitter.com/yIWz3xVQ8Q
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) June 2, 2020
Klopp tidak dapat menjanjikan Werner untuk beraksi dalam kesebelasan utama dengan adanya penyerang ‘tiga serangkai’ Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino yang tidak dapat dinafikan merupakan antara yang terbaik di dunia buat masa ini.
Walaupun beliau tahu pemain kelahiran Stuttgart itu mempunyai kemampuan, kemahiran teknikal dan perwatakan yang cukup baik untuk meraih kerajayaan di Liverpool.
Rundingan untuk membawanya ke Anfield juga terganggu dengan krisis pandemik COVID-19. Kehilangan pendapatan dari tiket perlawanan, perjanjian iklan, serta wang hak penyiaran sepanjang tempoh penangguhan aksi bola sepak selama hampir tiga bulan ini telah memberikan impak kewangan yang cukup besar.
Ia bermakna, Liverpool tidak bersedia untuk berbelanja sehingga €55 juta bagi mendapatkan pemain yang belum terjamin tempatnya dalam kesebelasan utama dan mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sama ada mereka boleh berunding untuk mendapatkanya dengan harga yang lebih rendah.
Timo Werner Belum Tentu Milik Liverpool https://t.co/wEf2NSBtRA pic.twitter.com/uaAVS0DXpm
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 24, 2020
Tindakan itu ternyata tidak berbaloi, apatah lagi dengan deretan kelab-kelab ternama Eropah ‘beratur’ untuk mendapatkan khidmatnya yang telah pun terbukti sebagai penyerang berbisa yang mempunyai rekod jaringan yang baik pada setiap musim.
Werner juga mampu bermain di mana-mana posisi dalam sistem penyerang bertiga dan boleh berperanan dengan baik di posisi tengah menyerang. Musim ini sahaja beliau telah pun menjaringkan 31 gol dalam semua pertandingan.
Jadi persoalannya mengapa Chelsea yang berjaya dalam rungingan untuk mendapatkan Werner?
Dengan krisis pandemik COVID-19 yang membuatkan kebanyakan kelab terpaksa menjimatkan perbelanjaan dan memotong bajet pembelian untuk musim perpindahan akan datang, Chelsea yang dimiliki oleh jutawan Rusia, Roman Abramovic yakin nilai £49 juta atau €55 juta itu sudah cukup rendah untuk seorang penyerang prolifik yang baru berusia 24 tahun.
Selling Morata for £58m and bringing in Werner for £49m. Chelsea doing business. pic.twitter.com/lukxEsNYG5
— ESPN UK (@ESPNUK) June 4, 2020
Bagi mereka, dengan usia yang masih muda, harganya boleh meningkat pada masa akan datang dan boleh dijual dengan harga yang lebih mahal jika ditakdirkan untuk meninggalkan Stamford Bridge satu hari nanti.
Rundingan dengan Leipzig diuruskan oleh pengarah Chelsea, Marina Granovskia yang mempunyai hubungan yang baik dengan kelab Jerman tersebut termasuklah urusan pinjaman pemain muda, Ethan Ampadu ke Leipzig pada musim panas lepas.
Frank Lampard juga dikatakan telah dijanjikan wang yang cukup untuk mendapatkan pemain-pemain yang beliau mahukan selepas kelab itu telah banyak ‘berjimat’ apabila digantung daripada terlibat dalam urusan pembelian pemain untuk dua jendela perpindahan sebelum ini.
Dengan Pedro dan Willian akan meninggalkan Stamford Bridge tidak lama lagi apabila berakhir sahaja kontrak mereka, Lampard sudah pun bersedia untuk memberikan Werner minit perlawanan yang secukupnya sebagai penggempur utama pasukan bersama seorang lagi pemain baharu, Hakim Ziyech.
Chelsea dilaporkan menawarkan Werner gaji lumayan sebanyak £200,000 seminggu dengan kontrak selama lima tahun dan mereka juga kini di landasan yang baik untuk terus beraksi dalam kejohanan Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan.