Baru-baru ini tular di media sosial selepas ada video CCTV yang dimuat naik mengenai kejadian simbahan asid daripada dua penjenayah kepada Faisal Halim dan mendapat pelbagai maklum balas.
Umum mengetahui Faisal menjadi antara pemain yang terpaksa melalui detik hitam pada tahun ini selepas sebahagian tubuh beliau melecur teruk kerana disimbah asid oleh dua penjenayah tidak berhati perut.
Ketika ini, tahap kesihatan Faisal dilaporkan semakin baik selepas mengharungi beberapa pembedahan, namun peluang untuk melihat dirinya beraksi di atas padang pada masa terdekat adalah mustahil.
Semalam, satu video telah tular di media sosial dengan Edisi Siasat antara telah memuat naik klip CCTV tersebut di Telegram sebelum dikongsikan oleh ramai pihak.
Ketika ramai berkongsikan video tersebut, Semuanya BOLA mempunyai pandangan tersendiri kenapa kami tidak memuat naik di media sosial.
Beri ruang buat polis jalan siasatan
Kes ini masih lagi boleh dikatakan sangat panas dan pihak polis sendiri sedang sibuk membuat siasatan untuk mengesan suspek sebenar dengan terdahulu beberapa penahanan telah dibuat.
Tularnya video ini sebenarnya mampu memberi imej buruk kepada pihak polis dan mengganggu siasatan yang sedang dilakukan mereka untuk mengesan suspek sebenar.
Malah, video tersebut juga merupakan bahan simpanan pihak polis untuk membantu mereka membuat siasatan lebih menyeluruh sebelum tindakan selanjutnya dibuat.
Sensitiviti kepada keluarga Faisal
Tularnya video tersebut sebenarnya turut mengganggu sensitiviti buat Faisal dan ahli keluarganya sendiri kini yang masih dalam tempoh untuk meredakan kembali segalanya setelah melalui detik hitam tersebut.
Secara tak langsung, Faisal dan keluarganya pasti trauma dan penularan video itu sedikit sebanyak mampu memberi kesan buat emosi mereka di media sosial.
Apatah lagi video tersebut dikongsikan sendiri oleh pihak tidak bertanggungjawab dan bukannya secara rasmi untuk tatapan kepada semua pihak.
Timbul unsur fitnah dan spekulasi
Selain sensitiviti, ia sebenarnya turut membuka ruang buat orang ramai untuk memberi pelbagai komen pada video tersebut di media sosial tanpa sebarang tapisan.
Pastinya pelbagai spekulasi dibuat serta mampu mendatangkan unsur fitnah hanya daripada klip video tersebut untuk memberi kesan negatif kepada perjalanan kes pemain Selangor ini.
Malah, punca pergaduhan juga mungkin berlaku tatkala semua kini sedang bersatu hati mendoakan keselamatan bintang Harimau Malaya itu dek kerana percanggahan pendapat mengenai klip video itu.
Kesimpulan
Semuanya BOLA lebih mengambil langkah terbaik daripada memuat naik serta memberi pandangan video itu yang dilihat bakal menimbulkan lebih banyak aspek negatif daripada positif.
Malah, ia mampu mengeruhkan lagi keadaan dengan sensitiviti pihak keluarga Faisal juga perlu dijaga demi mengelakkan pelbagai tohmahan orang ramai di media sosial.
Dalam erti kata lain, biarkan pihak berkuasa meneruskan usaha mereka untuk menyelesaikan kes ini sebaik mungkin.
Sebaiknya kita terus berdoa dan berharap supaya pihak berkuasa dapat memberkas penjenayah itu selain Faisal kembali kuat untuk mengharumkan nama Malaysia.