Sebentar tadi, FA Thailand telah mengumumkan senarai 75 pemain untuk dipertimbangkan ke Piala AFF Mitshubishi Electric 2022, Disember depan.
Biarpun ia senarai yang cukup besar diumumkan, namun seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kapten, Chanatip Songkrasin tidak tersenarai.
Ini disebabkan bintang sensasi yang beraksi di J1 League itu tidak lagi mahu bersama Thailand di Piala AFF selepas beraksi dalam empat edisi. “Saya sudah beraksi empat kali dalam kejohanan ini dan saya tak bersedia untuk bermain di edisi akan datang,” ungkapnya kepada Bangkok Post.
Walaupun cuba dipujuk oleh pengendali, Mano Polking, beliau bertegas untuk tidak tampil beraksi dalam saingan kali ini dan mahu fokus bermain bersama kelabnya, Kawasaki Frontale disamping ia di luar kalender FIFA.
75 players pre selected. Now waiting for the clubs to know who can be available cause it’s not a FIFA Day Tournament and we totally understand that. Soon we gonna have the 23 final players and will fight for the title again! pic.twitter.com/j2I0ovOuoO
— Mano Pölking 🇧🇷 🇩🇪 (@manopolking) November 3, 2022
Mengapa Thailand dan Polking memilih untuk mengumumkan 75 pemain? Ia senarai yang cukup besar berbanding 30 pemain seperti kebiasaannya.
Ada sebab mengapa Thailand mengumumkan sehingga 75 nama dalam senarai kali ini. Menurut Polking di akaun Twitternya, ia adalah sebagai ‘signal’ awal buat pasukan dan pemain yang mereka berada dalam senarai untuk dipanggil. Tentunya pasukan dapat membuat persediaan awal.
“Kini, hanya menanti pasukan mengetahui pemain mana yang boleh bersedia [untuk Piala AFF] kerana kejohanan adalah di luar kalender FIFA dan kita amat memahaminya.”
“Tidak lama lagi kita akan menyenarai pendek 23 pemain untuk bersaing merebut kejuaraan sekali lagi.”
Twitter Mano Polking
Mungkin Polking mengharapkan respon daripada pasukan mengenai status pemain-pemain yang telah disenaraikannya, sama ada boleh dilepaskan atau tidak. Pasukan juga boleh bersedia awal jika mahu melepaskan pemain mereka untuk bersama skuad Gajah Perang, Disember nanti.
Selain Chanatip yang menarik diri, turut tiada dalam senarai besar itu adalah tiga pemain dari Buriram United yang sejak awal dimaklumkan tidak akan dilepaskan untuk bersama skuad kebangsaan. Ini kerana mereka sedang berada di Jepun bersama Consadole Sapporo untuk sesi latihan khas.
Mereka adalah Suphanat Mueanta, Supachai Chaided dan Ratthanakorn Maikami.
Beberapa pemain veteran turut berada dalam senarai awal ini antaranya Theerathon Bunmathan, Chatchai Budprom, Sarach Yooyen dan Teerasil Dangda. Paling menarik perhatian adalah kembalinya pemain import Kedah Darul Aman, Sanrawat Dechmitr dalam senarai 75 pemain tersebut.
Thailand diundi dalam kumpulan A bersama Indonesia, Filipina, Kemboja dan satu lagi pasukan dari pusingan kelayakan. Mereka kini dalam misi mempertahankan kejuaraan yang diraih pada edisi 2020 di Singapura selepas menewaskan Indonesia di pentas final – 6-2 secara agregat.