Kenapa Tambahan Masa Aksi Liga Premier, Kelantan-JDT II Boleh Sampai 13 Minit?

JDT Kelantan Liga Premier 2022 masa tambahan 13 minit

Pelbagai reaksi dapat dilihat di media sosial selepas aksi tertunda Liga Premier minggu ke-10 antara Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) II berlangsung hangat ditambah dengan tambahan masa sehingga 13 minit.

Kelantan dan JDT II terikat 1-1 dalam masa penuh di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dalam aksi yang telah berlangsung petang tadi. Perlawanan itu juga menyaksikan satu layangan kad merah kepada pemain Kelantan.

Pemain tengah The Red Warriors, Jasmir Mehat telah dilayangkan kad merah oleh pengadil ketika mereka sedang mendahului perlawanan pada minit ke-36 selepas menerima kad kuning kedua akibat menendang belakang pemain lawan, Aysar Hadi yang terjatuh di depannya. Ia adalah tindakan tidak wajar oleh Jasmir.

Perlawanan ‘hangat’ bukan kerana cuaca

Perlawanan dua pencabar kejuaraan Liga Premier 2022 itu berlangsung sengit sejak minit pertama dengan kehadiran lebih 6,000 penyokong menambah kehangatan walaupun ia dilangsungkan pada sebelah petang.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke-20 menerusi sepakan penalti yang telah disempurnakan oleh Norshamil Abd Ghani selepas bola didakwa terkena tangan pertahanan, Aysar Hadi.

Selepas layangan kad merah buat Jasmir itu, Kelantan terpaksa bermain dengan 10 pemain dan ini yang menyukarkan pengendali, Rezal Zamberi Yahya untuk mengatur strategi. Jasmir merupakan antara tonggak penting buatnya dalam formasi taktikal 4-3-3 yang diterapkan dalam aksi berdepan barisan bintang JDT II.

JDT II membariskan beberapa pemain ternama seperti Izham Tarmizi Roslan di gawang selain kehadiran Junior Eldstal, Daniel Ting, Levy Madinda, Syahmi Safari dan penyerang skuad kebangsaan, Guilherme de Paula.

Kehangatan perlawanan mula terasa apabila kekasaran demi kekasaran berlaku dalam perlawanan dan aksi juga terhenti agak lama selepas insiden di minit ke-72 apabila Kervens Belfort telah dikasari dan mengalami kecederaan. Penyerang itu terpaksa diusung keluar sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Perlawanan terhenti 10 minit di minit ke-72

Perlawanan terhenti agak lama bukan disebabkan kecederaan Belfort, namun disebabkan pengadil perlawanan menghentikan aksi. Saat pemain itu terjatuh, bola tiba di kaki Syed Sobri yang pantas melakukan serangan balas. Dan Syed Sobri dilihat berjaya melepasi pertahanan terakhir pelawat dan menuju ke gawang mereka.

Ini membuatkan seluruh stadium dan barisan kejurulatihan The Red Warriors ‘meletup’. Kedudukan ketika itu terikat 1-1 selepas pemain muda, Daryl Sham Georger berhasil meledak jaringan penyamaan di minit ke-50.

Jika Syed Sobri diberikan ‘advantage’ atas kekasaran pertahanan JDT kepada Belfort, mereka mungkin mampu menghasilkan  gol kedua perlawanan. Itu yang berada di fikiran penyokong dan barisan kejurulatihan. Namun, apa yang mereka tidak nampak adalah bola terlebih dahulu terkena tangan Belfort ketika beliau dikasari.

Tidak dapat dipastikan sama ada ia satu keputusan yang tepat oleh pengadil untuk menghentikan aksi.

Power and duties : Injuries

“The Referee allows play to continue until the ball is out of play if a player is only slightly injured. Stops play if a player is seriously injured and ensures that the player is removed from the field of play.”

IFAB LAW 5 : THE REFEREE

Namun, ia telah menyebabkan kekecohan berlaku di padang dan perlawanan terhenti hampir 10 minit.

Bukan kali pertama JDT diberikan masa tambahan panjang

Apa yang semakin menghangatkan suasana adalah apabila pengadil perlawanan, Nasruddin Tamrin memberi tambahan masa 13 minit untuk perlawanan tersebut. Dan sekali lagi, ia melibatkan aksi Harimau Selatan.

Sebelum ini, skuad Liga Super JDT pernah dikatakan kerap mendapat ‘ehsan’ pengadil dengan tambahan masa yang tidak masuk akal. Antaranya ketika berdepan Sri Pahang (selama enam minit) dan Negeri Sembilan FC (10 minit). Apabila tambahan masa selama 13 minit diberikan kepada JDT II, ia kembali menimbulkan persoalan.

Ketika berdepan Sri Pahang, kedudukan sedang terikat 2-2 dan JDT gagal menambah jaringan, sebaliknya ketika berdepan Negeri Sembilan, skuad Harimau Selatan berhasil mencipta jaringan di masa tambahan tersebut.

Begitupun, jika diamati, perlawanan antara Kelantan dan JDT II telah terhenti selama 10 minit di minit ke-72.

Penutup

Wajar atau tidak, berdasarkan situasi perlawanan, tambahan masa 13 minit adalah disebabkan kekecohan yang berlaku sehingga perlawanan terhenti selama 10 minit di minit ke-72. Pencerahan daripada bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh amat dinantikan.

Begitupun, perlawanan sudah berlalu dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN