Tidak mustahil Kedah Darul Aman akan turun dengan lima pertahanan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi ke-8 Liga Super 2023.
Selepas tujuh perlawanan berlalu, Kedah lebih sinonim dengan formasi empat pertahanan bertunjangkan Akmal Zahir dan Bojan Ciger di tengah, sementara mereka dibantu dua bek sisi – sama ada Wan Amirul Afiq dan Heshamudin Ahmad di kanan, Kamil Akmal atau Ariff Farhan di sebelah kiri.
Adakah berdepan JDT, mereka akan turunkan lima pertahanan buat julung kalinya? Mereka belum pernah meletakkan lima pertahanan sekaligus untuk mana-mana aksi termasuk ketika dua kali bermain dengan 10 pemain.
Sudah dua kali mereka terpaksa bermain kekurangan seorang pemain akibat layangan kad merah iaitu ketika berdepan PDRM dan Penang.
Adakah ini memaksa Kedah bermain lima benteng berdepan JDT?
Kedah pernah guna formasi lima pertahanan?
Mereka beraksi kekurangan seorang pemain lebih 30 minit dan sesuatu perlu dilakukan terutamanya mengukuhnya posisi benteng pasukan.
Insiden kad merah dilayangkan oleh pengadil kepada ketua pasukan Kedah Darul Aman, Manuel Ott.
Pendapat korang ?#demiligakita pic.twitter.com/ZmSla0hxmx
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) March 4, 2023
Dua hasil berbeza tetapi terbukti berkesan dalam kedua-dua aksi itu apabila mereka hanya tewas 0-1 kepada PDRM dan menang 1-0 ke atas Penang.
Waima kurang seorang pemain, formasi pasukan tidak berubah banyak, mungkin hanya arahan taktikal sahaja untuk lebih defensif. Untuk formasi, dapat dilihat mereka hanya berubah dari formasi 4-3-3 kepada 4-4-1.
Ketika berdepan ‘The Cops’ di Darul Aman, kapten, Manuel Ott dilayangkan kad merah pada minit ke-58 sementara ketika mengatasi Penang, juga di halaman sendiri, giliran bek kanan, Wan Amirul Afiq pula di minit ke-54.
Kekal menggunakan empat pertahanan, pendekatan Nafuzi ini agak tenang kerana pasti kita menjangkakan lawan akan bertali arus cuba menyerang.
Selalunya pasukan akan fokus dalam mengukuhkan benteng pertahanan dengan mengeluarkan seorang pemain dari jentera serangan. Untuk Nafuzi, itu dilihat tidak berlaku – bentengnya kekal menggunakan empat pemain.
Berdepan JDT yang sangat ampuh di jentera serangan tentunya Nafuzi terpaksa memerah idea bagi mengelak skuad kendaliannya tewas besar.
Tambahan pula, Sang Kenari akan berkunjung ke kubu lawan, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk aksi tersebut. Tentunya, perangkap menanti.
Tahun 2022, JDT pecah rekod sendiri untuk jumlah gol liga super sebanyak 58 gol.
Ni baru 7 perlawanan liga super dah 30 gol dah. 💙❤️ #JDT pic.twitter.com/UH2gmfl0ox— FK (@farhanarts) April 5, 2023
30 gol dalam tujuh perlawanan, satu rekod yang gila
Barangkali ia satu statistik yang gila dilakar Harimau Selatan saat ini. 30 gol dengan purata 4.3 gol untuk satu-satu perlawanan menggerunkan sesiapa sahaja lawan yang bakal berdepan mereka. Adakah Kedah bersedia?
Pasukan ampuh musim lalu sudah pun dijinakkan dengan mudahnya.
Sabah tewas 0-4, Selangor tewas 0-4, Negeri Sembilan tewas 0-7 dan Terengganu tewas 0-2. Mereka hanya dibolosi sekali hasil penalti ketika mengatasi Kelantan 5-1 di SSI. Musim lalu mereka merekodkan 58 gol dalam 22 perlawanan dan jika diteruskan momentum ini, mereka boleh gapai 100 gol! Ia satu pencapaian yang tentunya sangat besar jika dicapai.
Mampukah Kedah bolos kurang daripada purata gol JDT – empat gol? Atau mungkin mengejutkan lawan dengan kemenangan atau keputusan seri?
Berdasarkan corak permainan Sang Kenari setakat tujuh perlawanan, terdapat banyak lagi kekurangan dalam permainan secara berpasukan terutamanya di jentera serangan. Willian Lira belum betul-betul menjadi.
Ini menjadikan mereka mungkin mangsa seterusnya. Sukar untuk kita nafikan tentang kemungkinan Kalamullah Al-Hafiz akan kerap terpaksa mengutip bola di dalam golnya. Perhatikan purata gol boleh dibolosi.
Corak gol JDT adalah seperti dalam gambarajah di bawah. Mereka sangat berbahaya dan tajam di kawasan penjaga gol. 11 daripada 30 gol adalah dalam kawasan tersebut – sebanyak 36 peratus gol telah terhasil.
10 gol lagi tercipta tidak jauh daripada kawasan gol tersebut. Hanya enam gol dilakar dari jarak jauh iaitu tiga daripadanya dari luar kotak penalti – dua gol Juan Muniz dan satu oleh Leandro Velazquez. Tiga gol adalah penalti.
Cuba lihat titik gol bertindih di sudut kanan kotak penjaga gol. Sebanyak enam gol dilakar dari tempat itu dan ia wajar diberi perhatian khusus. Pastinya meletakkan tiga bek tengah akan mengurangkan potensi tersebut.
Berdasarkan titik-titik gol JDT itu selain melihat cara gol itu terhasil, Sang Kenari wajar berhati-hati terutamanya di depan dan di sisi gawang gol.
Paling menggusarkan, Kedah akan turun tanpa dua bek sisi berpengalaman iaitu Wan Amirul Afiq dan Ariff Farhan akibat penggantungan perlawanan.
Solusinya adalah Nafuzi turun dengan lima benteng?
Ini hanyalah kemungkinan bukan perkara pasti. Kita juga tahu, Nafuzi lebih suka dengan formasi empat pertahanan. Tetapi dengan melihat betapa berbahaya JDT di depan gol lawan pada musim 2023, mungkin pendekatan lebih defensif diperlukan? Bagaimana Kedah boleh lakukannya?
Barangkali Nafuzi boleh menurunkan tiga bek tengah, Bojan Ciger, Akmal Zahir dan Rodney Celvin. Ini kerana, bek sisi mereka yang ada, masih ‘hijau’ pengalaman untuk berdepan pemain seperti Arif Aiman dan Corbin Ong.
Jentera serangan JDT terlebih garang musim ini, Kedah perlukan solusi.
Heshamudin Ahmad Bintang Pembikinan Baharu Nafuzi Zain Buat Kedahhttps://t.co/9RKDfDcazd
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 17, 2023
Heshamudin, Kamil Akmal mahupun Azrin Afiq Rusmini dirasakan mungkin berdepan malam yang panjang, penuh dengan onak dan duri, malam nanti.
Adakah semua yang berdepan JDT musim ini telah menggunakan formasi dengan lima pertahanan atau lebih berani kekalkan pendekatan sedia ada?
Dalam tujuh aksi, hanya tiga pasukan menggunakan lima pertahanan dalam fasa bertahan ketika berdepan JDT iaitu Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabah. Dan hanya Terengganu berjaya meraih keputusan yang lebih baik.
Mereka hanya tewas 0-2, namun boleh dibahaskan, ia aksi sulung liga.
Sang Kenari sebenarnya kukuh di benteng dengan hanya lima kali dibolosi – kedua terendah selepas JDT yang hanya dibolosi satu gol menerusi penalti.
Dan kita tahu, Nafuzi tidak akan sesekali mengubah formasinya. Sejak di Terengganu, beliau konsisten menggunakan empat pertahanan sahaja.
Jadi, adakah mereka bakal menggunakan lima pertahanan dan Nafuzi akan mengubah pandangan kita tentang pendekatan formasi taktikalnya?
“Kami perlu melakukan percaturan baharu dengan meletakkan pemain lain yang mampu memberi keseimbangan di posisi penting kubu Sang Kenari untuk aksi Ahad ini,” memetik kata-kata Nafuzi di Harian Metro.
“Saya memiliki game plan saya sendiri,” tambahnya lanjut dan dapat dilihat seperti gambaran perubahan ‘besar’ bakal dilakukannya pada malam ini.