Perak kini dilaporkan menjadi salah satu lawan untuk aksi persahabatan tertutup Harimau Malaya selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pasukan kebangsaan sekadar memilih kelab tempatan selaku medan ujian mereka pada 31 Mei ini.
Terdahulu, Malaysia bakal menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bagi peringkat Kumpulan D dengan bertemu Kyrgyzstan serta Taiwan dalam misi untuk cuba melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Dua aksi ini dianggap sangat penting buat skuad kendalian Kim Pan-gon selepas mereka keciciran mata pada aksi lalu sewaktu berdepan cabaran Oman.
Menerusi 6 mata dimiliki Malaysia kini, pasukan kebangsaan perlu mencatat kemenangan berturut-turut untuk mencerahkan peluang mereka ke pusingan seterusnya dan mendapat slot bagi saingan Piala Asia 2027.
Walaupun begitu, pasukan kebangsaan kini dilihat serba tempang selepas ramai pemain serangan mereka tidak dapat dibawa beraksi bagi saingan itu kerana mengalami isu kecederaan serta ada direhatkan seketika.
Pemain seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, serta Darren Lok antara yang tidak dapat dibawa Kim pada saingan itu dan beberapa rombakan baharu terpaksa dilakukan jurulatih dari Korea Selatan tersebut.
Perak yang menjadi lawan mereka untuk salah satu aksi persahabatan ini boleh dianggap pilihan terbaik buat Harimau Malaya ketika ini menerusi kualiti pemain serta corak permainan mereka.
Jika dilihat secara keseluruhan, sudah tentu Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu, dan Selangor lebih memiliki kualiti namun skuad kendalian Yusri Che Lah jelas juga tidak boleh diperkecilkan.
Gandingan membabitkan antara pemain tempatan dan import baharu Perak pada musim ini dilihat mula membuahkan hasil walaupun bermula dengan langkah kiri ketika berdepan Terengganu serta PDRM.
Namun, Yusri dilihat semakin berjaya menyesuaikan diri dengan mengatur para pemainnya di segenap posisi sehingga kejayaan mampu dilakar ketika berdepan cabaran Kedah Darul Aman (Kedah).
Malah, percaturan taktikal beliau di atas padang juga wajar dipuji terutama ketika aksi menentang Kedah apabila para pemain kerap bermain hantaran-hantaran pendek dan kreatif mencipta lorongan ke arah gol.
Pastinya Yusri ingin mengekalkan kualiti permainan tersebut pada aksi persahabatan tertutup ini untuk menguji anak-anak buah Kim yang sudah tentu bakal mencari keserasian baharu.
Pastinya Lee Tae-min, Luka Milunovic, Firdaus Saiyadi dan beberapa lagi tonggak akan menjadi percaturan utama Yusri untuk cuba menguji benteng pertahanan Malaysia.
Pandangan anda mengenai aksi akan datang ini?