Bola sepak adalah sukan mahal. Oleh itu, pelbagai cara telah dilakukan oleh pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia untuk menarik perhatian penaja.
Antara pasukan yang bergelut untuk mendapat penajaan pada mulanya adalah Kelantan.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa pernah mendedahkan dalam akaun Facebook beliau dan akaun Instagram The Red Warriors (TRW) mengenai kesukarannya untuk mencari penaja.
Setelah didesak peminat bola sepak Kelantan, jutawan produk kosmetik kelahiran Machang, Dato’ Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dato’ Vida menyuarakan minatnya untuk menaja pasukan negeri kelahirannya.
Tetapi seperti ahli perniagaan yang teliti dan berjaya, Dato’ Vida mempunyai syarat-syaratnya yang perlu dipatuhi oleh Kelantan. Ada 35 syarat semuanya.
Tetapi hanya 2 syarat tersebut diketahui umum dan mengundang perbahasan hangat.
Pertama, nama pasukan Kelantan ditukarkan kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors, bersempena 2 nama jenama produk syarikat Dato’ Vida iaitu Pamoga dan Qu Puteh.
Syarat kedua adalah, Kelantan mesti mengecat Stadium Mohammad ke-IV kepada warna merah jambu…
dan memakai jersi berwarna merah jambu, iaitu warna produk Qu Puteh.
Reaksi penyokong Kelantan sama seperti penyokong Boca Juniors pada 2013
Syarat yang dikenakan oleh Dato’ Vida ini membuatkan penyokong Kelantan berbelah bagi. Dari satu segi, menukar warna merah yang sinonim dengan Kelantan dalah umpama menukar tradisi pasukan.
Tetapi dari satu segi, Dato’ Vida adalah satu-satunya pilihan yang Kelantan ada. Menolak penajaan Dato’ Vida bermakna menolak RM16 juta dalam tempoh 2 tahun. Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Situasi ini mengingatkan kami kepada situasi yang dihadapi oleh penyokong Boca Juniors pada 2013.
Selepas mengumumkan kepada media bahawa jersi away Boca Juniors bakal berwarna merah jambu, penyokong Boca Juniors mengamuk. Penyokong kelab lain mula memanggil Boca Juniors sebagai ‘Barbie Juniors’.
Malah Diego Maradona sendiri mengaku bencikan jersi merah jambu Boca Juniors dalam kenyataan di akhbar Olé:
“Saya menentang sekeras-kerasnya jersi merah jambu. Apakah mereka dah gila nak letakkan warna merah jambu di jersi kita?”
Pasukan mana yang mula-mula memakai jersi merah jambu?
Berdasarkan rekod arkib FA Cup di England, pasukan yang mula-mula menggayakan jersi merah jambu adalah Wanderers FC.
Semasa final FA Cup 1872 menentang Royal Engineers AFC, Wanderers memakai jersi belang-belang yang berwarna merah jambu, emas dan hitam. Royal Engineers pula memakai jersi berwarna biru dan merah.
Kelantan tidak keseorangan
Mungkin satu-satunya fakta yang boleh mententeramkan hati penyokong Kelantan adalah, pasukan mereka tidak akan berseorangan memakai jersi merah jambu. Sudah banyak pasukan hebat menggayakan jersi merah jambu di atas padang!
1. Real Madrid
Jersi ini dilancarkan pada musim 2015/2015 sebagai jersi away Real Madrid.
2. Juventus
Dilancarkan pada Julai 2015, kit baru Juventus hasil rekaan Adidas ini menampilkan 3 bintang emas diatas logo pasukan, simbolik kepada kejayaan mereka merangkul kejuaraan liga kali yang ke-31.
3. Bournemouth
Jersi ketiga Bournemouth ini merupakan satu bentuk sokongan mereka kepada kempen kesedaran tentang kanser payudara. 5 peratus dari keuntungan penjualan jersi ini didermakan kepada Breast Cancer Care UK.
4. Evian Thonon Gaillard F.C
Pasukan yang berasal dari bandar yang mashyur dengan produk air mineral Evian adalah antara pasukan yang sinonim denga jersi warna merah jambu sebagai jersi home mereka.
5. Palermo
Pasukan yang dikenali gelaran Rosanero (bermaksud merah jambu dan hitam), telah menggayakan jersi home merah jambu sejak 1907 lagi.
6. Scotland
Scotland memperkenalkan jersi berwarna merah jambu sebagi jersi away mereka. Jersi ini akan digunakan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.
7. Cerezo Osaka
Sejak pasukan Yanmar Diesel dijenamakan sebagai Cerezo Osaka, mereka selesa menggayakan jersi berwarna merah jambu, sempena warna bunga sakura yang banyak di bandar Osaka.
8. Oldham United
Dalam usaha mereka untuk menyebarkan kesedaran terhadap kanser payu dara dan mengutip derma untuk Victoria Breast Unit di Royal Oldham Hospital, Oldham United memakai jersi ‘one-off’ berwarna merah jambu ketika menentang Leeds United pada tahun 2009.
Kesimpulan
Berbalik kepada kisah Boca Juniors dan jersi merah jambunya, tentangan penyokong bertukar kepada ugutan kepada presiden kelab.
Diluar stadium La Bombonera, tertulis mesej grafiti yang berbunyi: “Pemimpin-pemimpin semua, kalau kita pakai jersi merah jambu, kami takkan datang. Boca adalah biru dan kuning.”
Disebalik tentangan dan ejekan terhadap jersi merah jambu tersebut, ia habis dijual. Presiden Boca Juniors, Marcelo London memanggil jersi merah jambu tersebut sebagai ‘sebuah kejayaan dalam pemasaran’.
Tidak mustahil juga jersi merah jambu Kelantan bakal menjadi jersi paling popular di Malaysia. Jika jersi ini laku, ia adalah kejayaan untuk Dato’ Vida (dari segi pemasaran produknya) dan Kelantan (dari segi penajaan) juga.
Baca juga: 8 Jersi Bola Sepak Paling Terpelik. No.4 Paling Kelakar!