Tanda tanya tercetus sebelum ini di media sosial, apabila ada penyokong Kedah Darul Aman (Kedah) mempersoalkan di mana kelibat pemain import baharu mereka iaitu Sukhrob Nurullaev.
Terdahulu, Sukhrob menjadi rekrut pertama Sang Kenari bagi kuota import mereka untuk mengharungi aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini di posisi serangan.
Sukhrob yang bertindak selaku pemain sayap dianggap sebagai pengganti paling ideal buat Manuel Hidalgo yang turut dilepaskan musim ini dengan pemain dari Argentina itu beraksi bersama Sri Pahang dengan status pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pada usia 26 tahun, Sukhrob sudah pun memiliki banyak pengalaman terutama berakdi di pentas antarabangsa bersama pasukan kebangsaannya iaitu Uzbekistan.
Musim lalu menyaksikan beliau beraksi dalam saingan utama Uzbekistan bersama Nasaf Qarshi dengan 30 penampilan secara keseluruhan dengan satu gol serta empat bantuan gol direkodkan Sukhrob di peringkat domestik.
Malah, pemain sayap kanan itu juga turut beraksi di pentas AFC dengan dua gol direkodkan beliau sepanjang enam penampilan dalam saingan tersebut sehingga membawa Nasaf ke pusingan 16 terbaik.
Secara keseluruhannya, Sukhrob sudah pun beraksi sebanyak 106 penampilan dan merekodkan enam gol serta 12 bantuan jaringan sejak awal penampilannya bersama Nasaf.
Walaupun begitu, kegusaran mula timbul dalam kalangan penyokong apabila kelibat pemain itu tidak kelihatan dalam sesi latihan terbaharu Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH).
Apatah lagi Sukhrob juga semakin mendapat tempat dalam kalangan penyokong Kedah ekoran kelincahan beliau sejak beberapa perlawanan persahabatan lalu.
Menurut laporan dikeluarkan oleh Harian Metro, Sukhrob kini tidak bersama Kedah kerana beliau pulang ke Uzbekistan untuk bersama-sama isterinya yang telah melahirkan anak kedua mereka.
Sukhrob juga sudah bertolak ke Uzbekistan sejak beberapa hari lalu dan akan kembali bersama Sang Kenari selepas perayaan Aidilfitri ini untuk memperkukuhkan aspek serangan mereka.
Selain Sukhrob, Kedah juga menandatangani beberapa lagi pemain import untuk memperkuatkan setiap posisi mereka bagi menghadapi cabaran akan datang.
Milos Gordic, Habib Haroon, dan Sony Norde menjadi rekrut terbaharu mereka dan dijangka beberapa lagi pemain lain bakal diperkenalkan pada masa akan datang.