Penyokong Kedah Cadang Sumbang RM150 Sebulan ‘Macam Bayar Coway’

Kedah Darul Aman (Kedah) kini boleh dianggap masih lagi menghadapi isu kritikal mengenai tunggakan gaji sejak tahun lalu dan dibawa sehingga kini dengan membabitkan pemain serta staf pasukan tersebut.

Nama Sang Kenari yang gah dalam arena bola sepak di Malaysia itu kini perlahan-lahan semakin tercalar dan berkemungkinan juga mereka tidak layak ke saingan Liga Super 2024/2025.

Malah, ramai pemerhati bola sepak tempatan kini turut memberi pandangan mereka kepada isu dihadapi Kedah sambil ada turut berharap ia dapat diselesaikan dengan secepat mungkin sebelum ia menjadi semakin parah.

Isu kewangan Kedah merupakan sesuatu yang sangat pelik sebenarnya jika diperhalusi, kerana mereka menjadi antara pasukan yang memiliki ramai jumlah penyokong sejak dahulu lagi.

Walaupun begitu, sokongan diberikan lebih kepada di mulut serta menerusi media sosial sahaja kerana tidak ramai memberi galakan demi membantu kantung kewangan pasukan tersebut.

Untuk musim lalu, pembelian pas bermusim dan kehadiran penyokong ke stadium sedikit suram buat Kedah, dengan kebanyakan daripada mereka memilih perlawanan tertentu sahaja.

Tatkala ramai daripada mereka yang melabel diri sendiri selaku peminat fanatik, nyata ia hanya sekadar di mulut tanpa sebarang inisiatif untuk meringankan beban kewangan kelab.

Terbaharu, ada cadangan dikeluarkan pula oleh penyokong Kedah dalam usaha mereka untuk cuba meringankan beban kewangan pasukan tersebut musim ini.

Menerusi satu komen dikongsikan, beliau mahu penyokong membuat satu pelaburan kepada pasukan seperti sistem Coway, dengan memasukkan sejumlah wang kepada akaun Kedah sebanyak RM150 selama lima tahun.

“Kedah fan base besaq. Apa saja untuk pasukan kami rela korban. Fan letak la
RM150 setiap bulan konsisten 5 taun.

“Cari 20000 slot buah mula, 3 juta sebulan. Leak 50-50. 50 pasukan 50 invest. Pulangan after 5 tahun invest baru tanya. Sebelum tu jangan tanya.

“Tak dapat pulangan jangan kata scam sebab nama pon invest. Ada saham dim team. Bagi org betul2 jujur pegang. RM150 tu anggap macam bayaq Coway tiap2 bulan,” komen individu tersebut.

Walaupun begitu, kenyataan tersebut dibidas dengan begitu keras oleh seorang lagi pengguna media sosial di aplikasi X dengan menyatakan situasi jualan jersi baharu Kedah bermula dengan harga murah juga kurang mendapat perhatian.

“Haritu ada member aku fans KDAFC sembang KDAFC ni ada fans yang sanggup letak RM150 konsisten 5 tahun seramai 20,000 orang.

“RM150 tu kena anggap macam bayar Coway saja. Tapi haritu aku tengok KDAFC juai baju RM60 pun, yang beli 2-3 ribu ja. Sekadar sembang ja lah,” ulas pemilik akaun tersebut.

Melihat kepada komen itu, Semuanya BOLA jelas bersetuju kerana Kedah masih boleh dianggap masih bernasib baik sebenarnya kerana mempunyai jumlah penyokong lebih ramai jika dibandingkan kelab seperti Kuala Lumpur City (KL City).

Namun, ianya hanya bersandarkan kepada jumlah sahaja kerana tidak ramai yang sanggup berkorban daripada segi kewangan mereka selaku penyokong untuk menambah pendapatan kelab.

Malah, ada turut menggesa supaya Menteri Besar Kedah iaitu Datuk Seri Ahmad Sanusi supaya menggunakan dana kerajaan untuk membantu Sang Kenari walaupun menyedari pasukan tersebut kini sudah pun diswastakan.

Adakah kebanyakan penyokong Kedah sekadar gah di media sosial dengan canangan mereka sebagai penyokong fanatik di Malaysia?

Jika ya laungan fanatik tersebut benar seperti diperkatakan, ia sebenarnya cuma sekadar hangat-hangat tahi ayam sebelum keadaan di stadium kembali suram pada pertengahan musim.

Ini kerana, situasi kebanyakan penyokong di Kedah lebih terarah kepada parti politik jika dibandingkan pasukan mereka dan tampil dengan cadangan percuma sahaja di media sosial.

Apapun masih ada penyokong Sang Kenari yang masih sayangkan kelab mereka dengan sentiasa mengikuti perkembangan serta menjalankan tugas mereka untuk menjana pendapatan kelab di era penswastaan.

Pandangan anda?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN