Kedah Darul Aman FC mengumumkan Manuel Ott, Lee Tuck dan Akmal Zahir sebagai kapten pasukan bagi mengharungi kempen Liga Super 2023.
Melantik kapten pasukan tentunya menjadi salah satu kegusaran buat pengemudi mana-mana pasukan kerana jika tersilap langkah, ia pasti akan merosakkan keharmonian pasukan terutamanya yang baharu dibentuk.
Impak kehilangan Baddrol Bakhtiar
Untuk Kedah, selepas mereka kehilangan Baddrol Bakhtiar yang memilih untuk menyahut panggilan Datuk Ong Kim Swee di Sabah FC, pasukan dilihat menjadi terumbang ambing tanpa kepimpinan yang berkesan.
Pada musim lalu, jelas dapat dilihat mereka kehilangan aura seorang pemimpin di dalam dan di luar padang. Betapa pengaruh Baddrol amat besar buat Sang Kenari sehingga kehilangannya memberi impak besar.
Malah, penolong kapten dan merupakan pemain berpengaruh selepasnya, Rizal Ghazali juga memilih untuk ‘angkat kaki’ bersamanya ke Sabah.
Mereka menamatkan musim tersebut di kedudukan ke-8 Liga Super, yang terburuk sejak kembali ke saingan tertinggi Liga M pada musim 2016.
Ini menyaksikan pengendali, Aidil Sharin Sahak ditunjukkan pintu keluar.
Jadi, musim ini, Kedah harus memulakannya dengan langkah berhati-hati dan mampu membantu pasukan membentuk sesuatu yang diinginkan.
Adakah melantik terus pemain yang sudah bersama pasukan sejak sekian lama seperti Ifwat Akmal sesuatu yang sesuai pada ketika dan saat ini?
Nafuzi ada falsafah yang mahu diterapkan
Pelantikan Nafuzi Zain sebagai pengendali skuad Hijau Kuning dilihat sebagai langkah yang mengujakan buat para penyokong. Hasil kerjanya bersama Terengganu FC sangat dipuji dan menjadi sebutan saban musim.
Untuk membawa satu projek baharu, Nafuzi jelas memerlukan sokongan para pemain untuk memahami corak dan taktikal yang dimahukannya.
Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa Nafuzi memilih Manuel Ott dan Lee Tuck yang baru sahaja menyertai pasukan untuk musim 2023.
Harus diingat, pemain baharu tidak semestinya tidak layak menjadi kapten.
Ott dan Lee Tuck adalah pemain yang amat memahami kehendak dan falsafah Nafuzi disebabkan mereka pernah berada di bawah kendaliannya.
MANUEL OTT KETUA PASUKAN SANG KENARI MUSIM 2023
Menjelang aksi pembukaan Liga Super 2023 malam ESOK menentang Perak FC, barisan kejurulatihan diketuai Nafuzi Zain dan pengurusan pasukan Sang Kenari memutuskan pelantikan Kapten dan Penolong Kapten Pasukan Sang Kenari musim 2023. pic.twitter.com/IrqWmXHwnG
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) February 24, 2023
Untuk tahun pertama dengan pengendali baharu dan falsafah baharu yang mahu dibawa, tentunya pengendali muda itu memilih mereka berdua.
Malah, jika diamati kenyataan oleh Nafuzi sekitar Ogos 2022, jentera tengah adalah jantung pasukan – ketika dalam fasa bertahan dan menyerang.
“Bagi saya, jentera tengah merupakan enjin kepada pasukan kerana kalau mereka dapat bermain dengan baik, yang lain juga akan dapat beri persembahan yang baik,” ungkapnya dalam satu sidang media ketika itu.
Kunci ‘Nafuziball’ ada pada Ott, Lee Tuck
Ini kerana, kunci ‘Nafuziball’ ada pada Ott. Jadi, jika penyokong mahukan permainan seperti mana yang dipersembahkan Terengganu sebelum ini, berhentilah mempersoalkan kredibiliti pemain kelahiran Jerman itu.
Kemampuan menggerakkan jentera tengah dan pengalamannya bersama Nafuzi adalah CV yang dipandang pengendali kelahiran Kelantan itu.
Pemain kacukan Filipina-Jerman itu telah tampil sebanyak 21 kali di Liga Super, enam kali di Piala Malaysia dan lima kali di Piala FA musim lalu.
Ia merangkumi 97 peratus penampilan untuk Sang Penyu pada musim lalu.
Taktikal 'NafuziBall' Kini Jadi Sebutan https://t.co/NrDINtmmR9 pic.twitter.com/dWKBOe4Zi1
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 27, 2020
Beliau pastinya lebih memahami kehendak pengendali berusia 44 tahun itu tentang bagaimana jentera tengah ‘Nafuziball’ akan berfungsi nanti.
Malah, dengan melantiknya sebagai kapten, Ott akan membantu rakan sepasukan memahami peranan masing-masing ketika di atas padang.
Seperti Ott, Lee Tuck ‘masak’ dengan kemahuan Nafuzi. Beliau pernah bersama pengendali itu di Terengganu pada musim pertama Nafuzi bertindak sebagai pengendali sementara, sebelum mengambil alih pada musim 2020. Beliau juga kembali secara pinjaman pada musim 2021.
Akmal Zahir adalah kapten dalam pembikinan
Dalam senarai yang diumumkan Kedah, dapat dilihat Akmal Zahir dilantik menjadi kapten ketiga, selepas Ott dan Lee Tuck. Jika anak jati yang dipersoalkan oleh para penyokong, Akmal adalah jawapan kepada mereka.
Berusia 29 tahun dan memiliki ketenangan bermain di benteng Sang Kenari, Akmal dilihat figura yang amat sesuai untuk diberikan peluang tersebut.
Sebagai anak kelahiran Kedah waima musim lalu adalah musim pertama karier profesionalnya bersama pasukan, mungkin beliau mempamerkan karekter kepimpinan yang dimahukan oleh barisan kejurulatihan.
Jadi, Nafuzi mahu membentuknya terlebih dahulu kemampuannya untuk mengemudi rakan-rakan di padang sebelum diijazahkan selepas ini.
Selain Akmal, mungkin terdapat beberapa lagi calon berada di fikiran pengendali tersebut antaranya Al-Hafiz Harun dan Ifwat Akmal, tetapi mungkin ada sesuatu yang beliau nampak dalam diri pemain tersebut.
Tiada masalah untuk Akmal belajar sesuatu daripada Ott dan Lee Tuck pula.
Adakah Ott dan Lee Tuck pilihan tepat? Melihatkan situasi semasa, Nafuzi membuat pilihan yang cenderung untuk mengupayakan Sang Kenari.