Nooa Laine secara rasminya sudah pun menyertai Selangor dengan status pinjaman selama satu tahun, selepas beliau terdahulu tampil menyerlah di Finland bersama SJK Seinajoki.
Ianya diperkenalkan secara rasmi melalui media sosial Selangor dan mendapat maklum balas cukup positif dalam kalangan peminat di ruangan komen menerusi kehadiran pemain tersebut.
Apa tidaknya, Nooa hadir dengan pakej serba lengkap serta masih muda selain berpengalaman di saingan Eropah termasuk UEFA Europa Conference League (UECL).
Kehadiran pemain tersebut, jelas menjadi isyarat penting buat Selangor pada musim akan datang untuk tampil memberi persaingan lebih sengit dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), terutama sekali Liga Super.
Malah, ini menjadi persediaan penting buat Selangor yang bakal menghadapi saingan di pentas Asia musim depan dengan mengumpul barisan pemain terbaik untuk memberi cabaran sengit.
Kemasukan Nooa dianggap penting sebenarnya buat Selangor, selepas mereka sah melepaskan pemain tengah berpengalaman iaitu Brendan Gan untuk saingan musim hadapan.
Jika dilihat pada posisi, Nooa jelas merupakan pengganti paling ideal buat kekosongan ditinggalkan Gan untuk menampung kawasan tengah Selangor serta keseimbangan pasukan.
Malah, ini juga merupakan transisi penting untuk memberi ruang kepada Nooa mendapat tempat bersama pasukan senior kebangsaan, bagi menggantikan Gan yang semakin dimamah usia.
Untuk rekod, Nooa pernah diberi peluang beberapa kali bersama pasukan kebangsaan bawah kendalian Kim Pan-gon serta menjadi antara tunjang utama untuk skuad bawah 23 (B-23) negara era kejurulatihan E. Elavarasan.
Tatkala para pemain dalam saingan Piala Asia lalu dilihat semakin berusia untuk terus dikekalkan pada masa hadapan, adalah penting sebenarnya untuk bakat-bakat baharu berpotensi seperti Nooa mula diperkenalkan lebih kerap bersama pasukan Harimau Malaya.
Statistik semasa Nooa ketika bersama SJK Seinajoki juga tidak mengecewakan untuk menjadi aset penting Selangor serta pasukan kebangsaan pada masa hadapan.
Musim lalu dalam saingan utama di Finland, Nooa telah pun diberi peluang beraksi sebanyak 19 perlawanan serta mencatat satu gol secara keseluruhan.
Malah, pemain ini turut mencipta jaringan ketika dalam saingan kelayakan UECL serta turut meledak gol ketika pasukannya bertemu Lillestrom.
Selain berperanan selaku pemain tengah, Nooa juga memiliki kelebihan untuk beraksi di posisi serangan serta sayap kiri mengikut kesesuaian taktikal diletakkan oleh jurulatih kelab.
Besar harapan kami untuk melihat Nooa terus berkembang pada saingan akan datang serta menjadi antara pemain harapan negara untuk masa hadapan di pentas antarabangsa.