Timbul persoalan besar di media sosial apabila Newcastle United membuat enam pertukaran pemain ketika mereka menewaskan Aston Villa 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Berdasarkan peraturan semasa, hanya lima pertukaran dibenarkan oleh setiap pasukan dalam sesebuah perlawanan.
Eddie Howe telah membuat tiga kali pertukaran berganda bermula minit ke-71, empat minit selepas Miguel Almiron menjaringkan gol keempat The Magpies untuk memberi kekalahan pertama buat Unai Emery bersama Villa.
Pada minit terakhir di penghujung perlawanan, kebanyakan penyokong agak keliru dan tertanya-tanya mengapa Newcastle membuat pertukaran kelima dan keenam.
Jawapanya berbalik kepada kejadian yang berlaku pada minit ke-35 perlawanan apabila penjaga gol Villa, Emiliano Martinez dibawa keluar akibat kecederaan selepas bertembung dengan lutut Tyrone Mings.
Berdasarkan peraturan EPL yang baru diperkenalkan pada Februari tahun lalu, sekiranya berlaku kecederaan pada kepala pemain yang berisiko kepada ‘gegaran otak’, maka tambahan pertukaran pemain – additional permenant concussion substitution (APCS) – akan dibenarkan dan ia tidak termasuk kuota pertukaran pemain sedia ada.
https://twitter.com/Chaff1984/status/1586576129640452097?s=20&t=ql7wylGIgT8AENASUI72ug
Berdasarkan peraturan yang diperkenalkan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) itu, dua pertukaran tambahan diperuntukkan sebagai langkah terbaik untuk menghadapi kes kecederaan kepada dalam perlawanan bola sepak.
IFAB percaya langkah terbaik untuk melindungi pemain adalah dengan mengeluarkan pemain dari permainan secara serta merta.
Sekiranya ia berlaku selepas pasukan menggunakan semua kuota pertukaran pemain, adalah tidak adil untuk membiarkan pasukan tersebut beraksi dengan kurang pemain di atas padang.
Timbul juga persoalan, kenapa Newcastle United yang dibenarkan untuk menggunakan pertukaran tambahan sedangkan yang mengalami kecederaan adalah pemain Aston Villa?
Dalam keadaan ini, tambahan pertukaran pemain bukan sahaja diberikan kepada pasukan yang pemainnya mengalami kecederaan kepala, tetapi ia turut diberikan kepada pasukan lawan sebagai langkah seimbang atau fair play.
Jadi sebaik sahaja Martinez digantikan pada separuh masa pertama menggunakan APCS, Newcastle dengan serta merta dibenarkan untuk membuat enam pertukaran pemain.