Pemain sayap lincah Kuala Lumpur City (KL City), J. Partiban secara rasminya kini telah pun menyertai Kedah Darul Aman (Kedah) selaku status pinjaman bagi siri jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.
Ianya disahkan sendiri menerusi laman rasmi Kedah yang menyambut Partiban sebagai sebahagian daripada keluarga baharu Sang Kenari untuk baki saingan musim ini.
Welcome J. Partiban to Sang Kenari!
Pemain sayap ini yang dipinjamkan oleh Kuala Lumpur City ini akan bersama KDA FC bagi baki saingan liga musim ini. Kelincahan dan fizikal mantap beliau mampu menyuntik lebih dominasi dari bahagian sayap Sang Kenari.
Berjuanglah sejiwa murni! pic.twitter.com/MVTYtQOlzI
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) August 1, 2023
“Pemain sayap ini yang dipinjamkan oleh KL City akan bersama Kedah bagi baki saingan liga musim ini.
“Kelincahan dan fizikal mantap beliau mampu menyuntik lebih dominasi dari bahagian sayap Sang Kenari,” jelas kenyataan tersebut.
Nama Partiban pada musim ini boleh dianggap sedikit sunyi dalam arena bola sepak tempatan, selepas beliau lebih banyak memanaskan bangku simpanan KL City berbanding tahun-tahun lalu.
Tampil dengan kualiti gelecekan serta kepantasan yang lengkap selaku pemain sayap, kehadiran Partiban boleh dianggap sangat penting musim ini bersama Kedah bawah kendalian Nafuzi Zain.
Ini kerana Kedah mengalami masalah yang sangat besar di posisi sayap sejak awal permulaan musim dan membataskan kualiti serangan Sang Kenari dari posisi tepi.
Tambahan pula, Kedah kini turut kehilangan khidmat pemain sayap lincah mereka, Al-Hafiz Harun yang dipinjamkan kepada Penang sehingga ke penghujung musim dan berkemungkinan akan terus kekal di sana pada musim hadapan.
Selain itu, Kedah juga turut menamatkan kontrak mereka lebih awal musim ini bersama pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Andrew Tuck selepas beliau beraksi dengan cukup cemerlang di posisi sayap bersama Kedah.
Tanpa pemain sayap kiri yang berkualiti pada baki saingan musim ini bersama Kedah, pasukan tersebut pada mulanya dianggap akan bergantung harap kepada Fayadh Zulkifli sahaja di posisi tersebut.
Namun, kehadiran Partiban kini bersama Kedah pastinya akan memberi kelegaan buat Nafuzi selepas pengendali tersebut bakal mempunyai lebih banyak pilihan di posisi tersebut selain bergantung harap kepada Fayadh sahaja.
Kedah sebenarnya turut mempunyai dua lagi pemain sayap berkualiti untuk digunakan mereka pada baki saingan musim ini iaitu Zharmien Ashraf serta Faizal Talib, namun mereka dianggap masih kurang bersedia untuk digunakan bersama skuad utama.
J. PARTIBAN SUNTIK ELEMEN BARU DI BAHAGIAN SAYAP SANG KENARI
Menurut Partiban, hasrat untuk mewakili KDA FC telah lama dipendam, akhirnya rezeki tiba tepat pada waktunya.
Info: https://t.co/JbmcRVLVkA pic.twitter.com/MGZH2J1TXh
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) August 1, 2023
Memandangkan Kedah bakal mengharungi baki aksi Liga Super serta saingan Piala Malsysia yang akan bermula tidak lama lagi, kehadiran Partiban dianggap penting untuk memperkukuhkan kedudukan semasa pasukan.
Selain Partiban, Kedah turut mengikat kontrak bekas bintang muda mereka kembali untuk pertengahan musim ini iaitu Halim Saari untuk memperkukuhkan jentera tengah.