Sebut sahaja nama Guilherme de Paula pastinya para penyokong skuad Harimau Malaya amat mengenali individu ini yang sudah pun mewakili negara sejak pertengahan tahun lalu ketika era kejurulatihan Tan Cheng Hoe.
Mula beraksi bersama skuad kebangsaan
Beliau yang sudah pun melepasi syarat lima tahun menetap di Malaysia selaku pemain bola sepak profesional menjadi antara muka baharu ketika itu menjadi wakil skuad negara selain Liridon Krasniqi.
Semua ini terhasil selepas De Paula beraksi untuk pasukan-pasukan Selangor, Kuala Lumpur, Perak, PDRM dan kini Johor Darul Ta’zim (JDT).
Namun agak malang, penampilan De Paula bersama skuad negara ketika ini masih lagi belum memuaskan apabila beliau gagal untuk mempamerkan aksi cukup mantap untuk menjadi harapan penyokong sebagai penyerang berbisa.
PROFIL PEMAIN #3
Panggilan Pertama Ke Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya
GUILHERME DE PAULA LUCRECIO
Penyerang#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/izRpgW3tKi— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 26, 2021
Kelibat penyerang kelahiran Brazil ini terlebih dahulu pernah mewakili negara ketika aksi Malaysia XI menentang Tottenham Hotspur pada tahun 2015 dalam aksi persahabatan ketika itu di mana skuad kebangsaan tewas 1-2 di Stadium Shah Alam.
Jadi bahan jenaka penyokong negara
Ketika ini nama De Paula menjadi subjek utama buat para penyokong di Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila setiap kali gambar penyerang itu dimuatnaik, pastinya menerima like dan komen dengan sangat banyak berbanding yang lain.
Kelibat gambar pemain itu dalam sesi latihan kini antara yang amat-amat dinantikan para penyokong dengan tujuan untuk mempersendakan beliau dengan komen-komen sinis.
Nama De Paula mula mendapat sambutan hangat berikutan aksi beliau yang meraikan gol dengan secara berlebihan ketika menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022.
Lagak beliau yang meraikan gol secara berlebihan itu menyebabkan para penyokong mula memberi tumpuan akan kelibat beliau untuk dijadikan bahan jenaka.
Our striker Guilherme de Paula has scored on yesterday’s game for Malaysia National Team on AFC qualifying for World Cup 2022.#etminanbrazilfamily #etminanbraroundtheworld #workhard #godbless pic.twitter.com/W2gLNSvB7i
— Etminan Brazil (@etminanbrazil) June 12, 2021
Terbaharu, FAM memuat naik gambar penyerang tersebut yang dilihat berhempas pulas mengejar pertahanan negara, Shahrul Saad dalam sesi latihan sebagai sumber hiburan.
Beberapa komen dilihat agak menghiburkan seperti daripada pemilik akaun Facebook Isyraqi Yahya yang berkata, “Yayyy terima kasih admin letak gambar De Paula hujung-hujung. Ada De Paula baru semangat nak belek gambar.”
Ada juga yang memuji de Paula kini tidak lagi mempamerkan tatu di otot kakinya setelah mengenakan seluar tight daripada saudara Mohamad Nadhir Tahir, “Nampaknya De Paula sudah tidak lagi menunjukkan tatu di kakinya adakah petanda De Paula akan comeback?”
Apa yang De Paula perlu buktikan?
Menerusi kritikan dan komen sinis yang diberikan kepada beliau, jelas ini suatu mesej buat De Paula untuk kembali bangkit pada musim ini bersama skuad kebangsaan.
Ramai yang tidak menjangka penyerang JDT itu bakal kembali membarisi skuad kebangsaan setelah tiada sebarang minit permainan direkodkan beliau musim ini dalam saingan domestik.
Pemilihan De Paula oleh Kim Pan-gon ini lebih kepada untuk melihat sendiri sejauh mana kemampuan penyerang tersebut sebelum pemilihan akhir dibuat untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2023.
Beliau harus membuktikan sesuatu terutama dalam perlawanan menentang Brunei pada hari esok yang dilihat sebagai peluang buat dirinya meraih kepercayaan para penyokong menerusi aksi dan ledakan gol sepanjang masa diturunkan.
Jadikan komen para penyokong yang sebelum ini mentertawakan dirinya kepada suatu yang positif agar kembali mendapat tempat di hati Pan-gon serta peminat.
SEPARUH MASA
Perlawanan Latihan | 23 Mei 2021
KUWAIT 🇰🇼 1-1 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Ahmad Aldhefeery 21'
⚽️ Guilherme de Paula 28'#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/ODFkVGjhKu— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 23, 2021
Jika sebelum ini Liridon dikritik dan ditertawakan, beliau kini berjaya sekurangnya untuk menutup mulut para peminat setelah mempamerkan aksi memberansangkan ketika perlawanan lalu serta meledak gol penting.
Kepada De Paula, buktikan mengapa anda selayaknya berada dalam senarai pemain yang dipilih Pan-gon kali ini selaku salah seorang penyerang negara.