Manchester City telah mengumumkan kelab tersebut akan membina tugu David Silva di Stadium Etihad sebagai penghargaan kepada pencapaian pemain berkenaan di kelab tersebut.
Pemain Sepanyol berusia 34 tahun itu telah meluangkan 10 tahun bersama The Citizen dengan membuat 436 penampilan dan membantu pasukannya memenangi 14 trofi kejuaraan.
Bagaimanapun keputusan tersebut telah mendapat pelbagai reaksi di media sosial termasuk dalam kalangan penyokong City sendiri yang mempertikaikan mengapa seorang lagi bekas pemain pasukan tersebut, Yaya Toure tidak mendapat pengiktirafan yang sama.
https://twitter.com/tommy_viccetti/status/1295407774290018304?s=20
Sepanjang tujuh musim Toure di Etihad, pencapaiannya hampir sama dengan Silva, malah pernah menerima anugerah Pemain Terbaik Afrika selama empat tahun berturut-turut pada 2011 hingga 2014 dan mengetuai Ivory Coast menjuarai Piala Negara-Negara Afrika pada 2015.
Sementara itu, teka teki mengenai destinasi pilihan David Silva akhirnya terjawab apabila bekas perancang tengah Manchester City itu memilih kelab La Liga, Real Sociedad sebagai pasukan baharu untuk meneruskan kariernya.
Pemenang Piala Dunia 2010 itu menyertai kelab yang berpangkalan di Wilayah Basque tersebut secara percuma dan mengikat kontrak selama dua tahun sehingga June 2022.
Sebelum ini Silva telah pun dikaitkan dengan kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami milik David Beckham dan beberapa kelab Qatar termasuk Al Sadd yang sedang dibimbing oleh Xavi Hernandez.
ℹ️ OFFICIAL ANNOUNCEMENT| We are delighted to announce the signing of @21lva. The player joins Real as a free agent until June 30, 2022.#WelcomeDavid #AurreraReala pic.twitter.com/PtqIkt4nJR
— Real Sociedad 🇺🇸 🇬🇧 (@RealSociedadEN) August 17, 2020
Kelab Itali, Lazio juga dilaporkan telah menawarkan pemain tersebut kontrak tiga tahun, namun Silva memilih untuk pulang berbakti di negara kelahirannya.
Sociedad yang menamatkan saingan liga musim lepas di tangga keenam sememangnya memerlukan seorang perancang tengah susulan kembalinya Martin Odegaard ke Real Madrid selepas tamat tempoh pinjaman selama semusim di Anoeta.
Silva memegang rekod sebagai pemain City paling banyak beraksi di Liga Juara-Juara Eropah dengan 70 perlawanan.
Beliau juga telah membuat 309 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menjaringkan 60 gol dan merupakan tonggak utama kepada kejayaan City meraih empat kejuaraan liga pada 2012, 2014, 2018 dan 2019 selain menjulang tua Piala FA, lima Piala Liga dan tiga Perisai Komuniti.
Thank you @ManCity 💙 pic.twitter.com/HPaDjSrleR
— David Silva (@21LVA) August 17, 2020
“David adalah pemain yang telah mentransformasikan kelab ini, pemain yang tidak bercakap banyak tetapi telah banyak menginspirasikan semua orang di sekelilingnya,” ujar Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak.
“Tugu David akan menjadikan beliau kekal diingati sebagai kenangan indah buat kami semua, Beliau bukan hanya pemain bola sepak yang hebat, tetapi juga sebagai duta yang mewakili kelab ini sepanjang zaman.”
Tugu yang akan dibina pada 2021 itu juga melibatkan seorang lagi pemain iaitu bekas kapten, Vincent Kompany yang telah meninggalkan kelab tersebut pada tahun lepas.
Kompany yang beraksi selama 11 tahun di City baru sahaja mengumumkan persaraannya sebagai pemain dan menjadi pengurus sepenuh masa buat kelab Belgium, RSC Anderlecht.
Kredit Foto: Getty Images
Baca juga artikel kami yang lain mengenai David Silva dan Yaya Toure: