Baru-baru ini Liverpool telah melantik jurulatih lontaran ke dalam, Thomas Grønnemark – dan jurulatih dari Denmark itu memberi jaminan mana-mana pasukan mampu menjaringkan 15 gol lebih dari sepatutnya, hasil dari latihan yang diberikannya.
Lontaran ke dalam, atau lontaran jauh sebagai sebuah gerakan set-pieces bukanlah perkara baru di dalam bola sepak.
Bintang lontaran jauh
Di England sendiri, anda tentu masih ingat bagaimana Rory Delap bersama Stoke sering melakukannya.
Di kancah saingan bola sepak tempatan, nama Abdul Jalil Rambli amat digeruni ketika melakukan lontaran ke dalam bersama Sarawak satu ketika dahulu.
Pada musim 2008/09, Stoke menghasilkan 53 percubaan arah gol, dan lapan daripadanya menghasilkan gol, berpunca daripada lontaran ke dalam dari Delap.
Sarawak pula sering menggunakan ketinggian yang dimiliki oleh John Hunter dan David Evans untuk menghukum lawan dari lontaran ke dalam Jalil Rambli di awal 90an.
Menyedari kelebihan yang dimiliki jika mempunyai pakar lontaran ke dalam, Iceland turut menggunakan pemain yang pernah giat bermain bola baling, Aron Gunnarsson, dan ia berjaya membantu mereka mengegar pentas antarabangsa sejak dua tahun yang lalu.
Malah pasukan seperti Atletico Madrid sudah lebih awal daripada Liverpool berjinak dengan aspek teknikal lontaran ke dalam di kalangan pemain mereka.
Maka jika ia terbukti berjaya meningkatkan prestasi pasukan, mengapa tidak ianya diambil secara serius?
Thomas Grønnemark
Itulah soalan yang mahu dilihat serius oleh Grønnemark. Jurulatih dari Denmark ini mulai berminat dengan aspek lontaran ke dalam sejak zaman kanak-kanak.
Beliau mengambil masa selama 14 tahun untuk menjadikan lontaran ke dalam oleh dirinya sebagai sempurna.
Grønnemark membesar dengan meminati sukan bola sepak, sebelum beralih kepada acara pecut dan sukan bobsleigh (sukan luncur berkelajuan tinggi dilakukan secara berkumpulan).
Ketika sedang giat di dalam sukan bobsleigh, Grønnemark terfikir:
“Jika saya mampu melakukan lontaran jauh ketika bergelar pemain bola sepak, mungkinkah saya akan menjadi jurulatih dan mengajarnya kepada orang lain satu hari nanti?”
Grønnemark pergi ke perpustakaan untuk mencari buku mengenai lontaran ke dalam, namun tidak menemui buku yang berkaitan.
Di You Tube juga tidak ada contoh yang serius seperti beliau mahukan. Maka Grønnemark nekad mencipta teknik lontaran ke dalam sendiri.
Jurulatih profesional
14 tahun selepas itu, kini Grønnemark bergelar jurulatih profesional dalam aspek lontaran ke dalam, dan melatih pemain untuk memaksimumkan aspek lontaran masing-masing.
Pernah bergelar jurulatih di FC Midtjylland dan AC Horsens di Superliga Denmark, Grønnemark menggunakan kaedah analitik dan analisis melalui video untuk mengajar pemain teknik, bentuk badan dan fleksibiliti ketika lontaran.
Bukti hasil kerja Grønnemark sudah menampakkan hasil. Southampton dan Manchester United adalah dua kelab Inggeris yang pernah tewas kepada Midtjylland pada 2015 dan 2016 dalam pertandingan UEFA Europa League.
Walaupun bukan dari lontaran secara langsung, teknik yang diamalkan oleh pemain Midtjylland sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada mereka untuk mengancam kubu Unitd.
“FC Midtjylland telah menunjukkan bagaimana lontaran ke dalam boleh dijadikan senjata utama di dalam bola sepak jika menggunakan teknik yang betul, ketepatan dan kepekaan terhadap taktikal yang diterapkan,” ujar Grønnemark.
“Ia penting sekali lontaran tersebut menjadi sedikit mendatar dalam trajektori lontaran.
“Jika ianya terlalu tinggi, maka ianya akan mudah dipertahankan oleh lawan. Jika anda melakukan lontaran yang tepat, sedikit mendatar, dan diadun dengan sedikit gerakan taktikal, maka ia akan menjadi lebih mudah untuk menjaringkan gol,” tambah beliau lagi.
Misi Grønnemark bukan setakat mengajar pemain mengancam pertahanan lawan dengan lontaran.
Secara keseluruhan, akan ada 30 sehingga 50 lontaran ke dalam, di satu perlawanan, dan rekod menunjukkan 50% daripada lontaran menyebabkan sesebuah pasukan hilang penguasaan bola apabila ditekan oleh lawan.
Tugas lain Grønnemark ialah memastikan teknik lontaran dimaksimakan dari segi jarak, dan juga membentuk pilihan arah lontaran demi memastikan penguasaan bola terus diperolehi oleh pasukan.
“Sebenarnya ia amat mudah untuk dipelajari. Ada pemain mampu melontar dari 5 sehingga 10 meter selepas dilatih. Ada juga yang mampu melontar sehingga 14 meter atau lebih.
Antara pemain yang pernah digarap oleh Grønnemark dan menjadi pakar lontaran jauh ialah Kian Hansen di Midtjylland.
Untuk tempoh tiga musim kebelakangan ini, Hansen telah terlibat dengan 30 gol, hasil lontaran yang dilakukannya untuk Midtylland.
Musim lepas Midtjylland dan Horsens yang dilatih Grønnemark telah menghasilkan 20 gol sesama mereka yang dihasilkan melalui lontaran ke dalam.
Ini membuktikan aspek lontaran ke dalam untuk memburu gol boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja. Buktinya Midtjylland adlah juara Superliga musim lalu.
Manakala Horsens adalah kelab dengan bajet kedua rendah di dalam liga di Denmark.
Bukti nyata
Anda masih tidak yakin akan kepentingan lontaran ke dalam untuk mengejar kemenangan bagi kelab kesayangan anda? Jangan risau.
Grønnemark turut mempunyai bukti lain untuk menjawab keraguan anda.
Contoh paling nyata dan penting ialah dalam perlawanan akhir UEFA Champions League 2011 di antara Manchester United dan Barcelona.
Ketika Barca mendahului 1-0, Eric Abidal memulakan perlawanan melalui lontaran ke dalam di kawasan Barcelona sendiri.
Tetapi teknik lontaran yang lemah menyebabkan Barca kehilangan bola, dan Wayne Rooney menjaringkan gol penyamaan hanya beberapa saat selepas itu.
“Itu adalah bukti terbaik mengapa setiap pasukan teknikal risau akan ancaman lontaran ke dalam,” ujar Grønnemark.
“Setiap pasukan memerlukan pemain bek sisi yang mampu melakukan lontaran jauh. Ia membantu pasukan mewujudkan ruang, dan untuk memulakan serangan balas pantas,” tambah Grønnemark.
Nilai tambah pasukan
Set pieces mampu menghasilkan 25-33% gol untuk setiap pasukan semusim. Namun ia masih aspek yang kurang diberi perhatian dalam latihan, dan kebanyakkan pasukan hanya menggunakan tempoh sekitar 15 minit untuk latihan di bahagian itu.
Lontaran ke dalam juga jarang diberikan perhatian khusus. Kerana itu adakalanya kita melihat bagaimana foul dilakukan melalui lontaran; walaupun di peringkat tertinggi pertandingan dan ia adalah pembaziran nyata.
Mengapakah masih banyak pasukan walaupun di eropah tidak mengambil kesempatan dari lontaran ke dalam yang dianggap kurang berisiko, tetapi boleh memberikan pulangan kepada pasukan untuk memburu kemenangan?
“Saya berpendapat bola sepak masih ketinggalan berbanding sukan lain,” ujar Grønnemark.
“Sebagai contoh, bola sepak boleh dianggap sebagai sukan yang baru sahaja melihat kepentingan jurulatih kecergasan dan fizikal.
“Tetapi di dalam sukan seperti bola baling atau bola keranjang, ia sudah lama diamalkan. Tetapi sekarang kita boleh melakukan penilaian secara analitikal dalam melakukan gerakan set pieces dari lontaran ke dalam.
“Sudah tentu saya melihat aspek lontaran akan menjadi semakin penting bagi kelab-kelab bola sepak pada masa hadapan,” ujar Grønnemark lagi.
Bagi Grønnemark, cabaran utama mengenai lontaran ke dalam ialah kebanyakkan orang akan berpendapat anda harus beraksi seperti Stoke City, dan seperti apa yang Delap lakukan.
Delap sendiri adalh jurulatih di Stoke pada hari ini.
Kajian dan hasil kerja oleh Grønnemark lebih daripada itu. Ia adalah mengenai cara untuk mengelak ancaman, meneruskan penguasaan bola dalam perlawanan, dan juga salah satu pilihan lain untuk menjaringkan gol.
Ia jelas mampu membawa perbezaan kepada corak dan variasi permainan sesebuah pasukan.
Penutup
Bagi Jurgen Klopp, aspek lontaran adalah salah satu butiran kecil yang harus diambil berat dalam mewujudkan sebuah pasukan yang serba boleh.
Adakalanya butiran yang dianggap kecil, mampu memberi perbezaan besar kepada pasukan.
Thomas Grønnemark adalah pemegang rekod dunia lontaran ke dalam dengan jarak 51.3 meter, dengan lontaran selaju 75kph.