Kenali Rancangan-Rancangan Realiti Televisyen Bola Sepak Di Malaysia

Rancangan realiti televisyen bola sepak

Rancangan realiti televisyen bola sepak, Mencari Ramli musim keenam telah mengumumkan 15 orang pemenangnya.

Para pemenang telah terbang ke Manchester United untuk menjalani latihan eksklusif di Manchester United Soccer School selama 2 minggu selain dapat menyaksikan perlawanan diantara Manchester United bertemu Everton di Old Trafford.

Tetapi sedarkah kita program rancangan seperti ini sudah wujud sejak lebih 10 tahun yang lepas? Penulis ingin mengajak anda semua untuk mengimbau semula rancangan realiti bola sepak yang pernah ada di Malaysia.

Soccastars Malaysia (2005) Astro

Rancangan realiti bola sepak terawal yang disiarkan di kaca TV. Waktu itu lambakan rancangan realiti yang berunsurkan hiburan semata-mata.

Kemunculan Soccastars Malaysia sememangnya mendapat sambutan kerana kelainan yang dibawa. Ianya adalah adaptasi daripada rancangan realiti bola sepak dari Ireland dengan judul yang sama.

Ujibakat telah dijalankan di Johor Bahru, Kuala Terengganu, Alor Setar dan Kelana Jaya. Kira-kira 1,600 orang menghadirkan diri dan cuma 26 orang pemain sahaja yang terpilih untuk menyertai Akademi Soccastars Malaysia.

Akademi tersebut diketuai oleh Azizul Abidin selaku Pengarah Akademi dan Alex Cheah Yoke Loong sebagai ketua jurulatih serta dibantu oleh barisan panel profesional diketuai oleh Shebby Singh.

Dua finalis diterbangkan ke Fulham untuk sesi pemilihan terakhir bersama akademi bola sepak di sana. Mereka ialah Mohd Azwan Hasahar dan Mohd Kamarul Azhar Bidin. Azwan telah terpilih sebagai pemenang dan menyertai akademi Fulham.

Mohd Azwan Hasahar
Mohd Kamarul Azhar Bidin

MyTeam (2006-2007) TV3

Sebuah rancangan realiti televisyen bola sepak hasil idea Khairy Jamaludin untuk mencari bakat bola sepak bukan professional yang berumur sekurang-kurangya 17 tahun dan mampu menghabiskan larian 100 meter di bawah 12 saat.

Shebby Singh yang sebelum itu terlibat dengan Soccastars Malaysia menyertai projek kali ini bersama-sama dengan Bojan Hodak.

Pogram ini telah menarik minat ribuan peserta, malah ada yang sanggup mengembara semata-mata mahu mencuba di setiap sesi pemilihan selepas gagal di sesi pemilihan yang sebelumnya.

Peserta yang terpilih kemudiannya akan akan disaring melalui permainan 8-sebelah pergerakan bebas, 8-sebelah dengan 2 sentuhan sahaja, cabaran 2v2 dan 1v1 dalam kawasan 30mx20m.

Apa yang menarik ialah rancangan ini mencabar pasukan kebangsaan dalam satu perlawanan siaran langsung.

Tetapi sayangnya cuma pasukan bawah 20 tahun sahaja yang dihantar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan penglibatan 3 orang pemain senior iaitu Indra Putra, K. Nanthakumar dan Khaironnisam Shahabudin.

Skuad MyTeam tewas 2-1 pada perlawanan tersebut.

Rancangan realiti ini masuk musim kedua dan kemuncaknya mereka bertemu pula pasukan kebangsaan Indonesia tetapi kalah 2-0.

Skuad ini kemudiannya bergabung dengan United Plantation Berhad (UPB) dan pernah merasai perlawanan kompetitif Liga Super setelah menduduki tempat ke-2 Liga Perdana 2007. Masalah kewangan yang melanda menyebabkan pasukan ini dibubarkan pada 2009.

Antara bakat yang dicungkil menerusi program ini ialah Azmi Muslim (Melaka), dan Hasmizan Kamarodin (Kelantan).

Super Soccer Star Malaysia (2008) RTM2

Radio Televisyen Malaysia turut tidak ketinggalan menayangkan rancangan realiti bola sepak.

Menerusi kerjasama di antara Galleon Entertainment PLC, sebuah syarikat gergasi rancangan realiti TV di Britain dengan syarikat tempatan, Nafalia Corp Sdn. Bhd.

Program ini ke udara setiap Khamis jam 9 malam selama 13 episod di saluran RTM2.

Jika pemenang Soccastars Malaysia diterbangkan ke Fulham, pemenang SSSM akan berlatih selama 2 minggu bersama peserta akademi pasukan Chelsea FC.

Pemenang dinilai melalui 60 peratus daripada juri professional dan selebihnya adalah daripada undian melalui khidmat pesanan ringkas.

Pemenang SSSM ialah Amer Saidin, kini bermain bersama pasukan Johor Darul Takzim II.

Soccer Kids (2008-2014), Soccer Kids All Stars (2013) TV3

Jika MyTeam mencari bakat yang berumur 17 tahun ke atas, Soccer Kids pula untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Sepertimana MyTeam, program ini juga bertujuan mencari sebuah pasukan.

Soccer Kids ke udara selama enam musim. Setiap musim mereka akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab dalam dan luar negara seperti Vissel Kobe (Jepun), Woodland Soccer Academy (Singapura), Chonburi (Thailand).

Malah dalam musim keenam, para peserta terpilih ke Kota London untuk menentang pasukan bawah 12 tahun Queens Park Rangers dan Tottenham Hotspurs.

Pada 2013, TV3 telah mengumpulkan 18 peserta dari musim pertama hingga keempat dalam Soccer Kids All Star untuk menentang pasukan bawah 16 tahun QPR dan Tottenham Hotspur.

Antara bintang yang dilahirkan daripada program ini ialah Asnan Awal Hisham (UiTM FC), Hazrul Hafiz Zulkifli (Pulau Pinang) dan Daniel Amier (FELDA United).

Tiger Futbol Starz (2009-2010) Astro

Program yang diacarakan oleh Erra Fazira ke udara di saluran Astro Ria bersiaran untuk dua musim. Memberi fokus kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, walaubagaimanapun had umur dinaikkan kepada 15 tahun untuk musim kedua.

Jurulatih akademi Liverpool dibawakan khas ke dalam rancangan realiti ini untuk menerapkan latihan dan taktikal pasukan Liverpool. Pemenang musim kedua juga berpeluang untuk menjalani latihan eksklusif di Akademi Liverpool.

Irfan Zakaria, pemain pertahanan Kuala Lumpur yang turut mewakili Malaysia U-23 di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah pemenang Tiger Futbol Starz musim kedua.

Kredit foto: Sports247.my

Mencari Ramli (2012- sekarang) TV3

Sebuah program rancangan realiti bola sepak yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bermula dengan impian Ramli untuk bermain di Manchester United dalam sebuah iklan TM, Mencari Ramli telah pun menamatkan musim keenam baru-baru ini.

Pada musim pertama dan kedua hanya 3 pemenang terpilih ke Manchester United untuk menjalani latihan di Manchester United Soccer School dan menonton perlawanan pertama musim terbaru kelab terkemuka tersebut.

Bilangan pemenang ditingkatkan masuk musim ketiga kepada 6 pemenang, musim keempat 12 pemenang dan 15 pemain diumumkan sebagai pemenang pada musim kelima dan keenam.

Pemenang musim pertama, Adam Nor Azlin (JDT) dan Muhd Arif Farhan (Kedah) merupakan dua bintang yang sedang meningkat naik di dalam arena bola sepak Malaysia.

Rumusan

Peranan mencari dan mencungkil bakat bola sepak tidak hanya dilaksanakan oleh badan bola sepak di Malaysia sahaja. Syarikat-syarikat korporat juga memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan bakat serta memberi sokongan dalam sukan nombpr satu negara ini.

Rancangan realiti televisyen bola sepak seperti yang dinyatakan di atas mampu mencungkil bakat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia. Bakat-bakat mereka ini diketengahkan dan dipertontonkan di kaca TV. Pelaburan menghasilkan program tersebut menampakkan hasil apabila pemenang-pemenang menyinar dalam arena bola sepak tanah air ketika ini.

Nota editor: Artikel ini merupakan hasil kiriman pembaca kami yang bernama Kibal Rosali . Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected].

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN