Hari Migrasi Burung Sedunia (World Migratory Bird Day) adalah antara inisiatif tahunan oleh Conservation of Migratory Species of Wild Animals (CMS) dan Agreement on the Conservation of African-Eurasian Migratory Waterbirds (AEWA) untuk memberi kesedaran kepada aktiviti konservasif burung migrasi dan habitatnya.
Kedua-dua badan bebas tersebut dikelolakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersayu (PBB) di bawah United Nations Environment Programme (UNEP).
Kebiasaanya Hari Migrasi Burung diadakan pada dua tarikh berbeza di seluruh dunia, iaitu pada bulam Mei, atau pun Oktober berdasarkan musim di benua-benua yang berbeza.
Burung di Liga Malaysia
Perkara di atas adalah sebahagian daripada cara untuk mengekalkan keindahan burung. Di dalam konteks bola sepak, burung-burung pelbagai spesies dikenang dan dihargai dengan cara dan kaedah yang lain. Sebagai contoh, diabadikan sebagai maskot, atau pun lambang kebanggaan kelab-kelab bola sepak.
Di negara kita misalnya, kenari pernah menjadi sinonim dengan skuad Hijau Kuning di Liga Malaysia.
Kini helang menjadi maskot utama beberapa pasukan yang bersaing di Liga Malaysia – walaupun tampil dari spesis berbeza – termasuk Kedah, Sabah dan Kuala Lumpur.
Kenyalang atau enggang pula sinonim dengan negeri Sarawak. Sayang sekali skuad bola sepak di negeri tersebut memilih buaya sebagai maskot – walaupun lambang pada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) jelas memaparkan spesis dari burung kenyalang.
Burung di bola sepak eropah
Di Eropah, penggunaan burung sebagai lambang pada logo dan maskot kelab dan pasukan digunakan secara lebih meluas. Tidak kurang dari 20 jenis spesis burung melibatkan lebih 50 kelab bola sepak telah didaftarkan dengan badan induk bola sepak Eropah, UEFA.
Berikut kami senaraikan antara burung-burung yang menjadi kebiasaan atau pilihan utama kepada kelab-kelab di seluruh Eropah.
Helang
Pilihan Kelab: Beşiktaş (TUR), Crystal Palace (ENG), Eintracht Frankfurt (GER), Argeş Piţesti (ROU), Banants (ARM), Milsami Orhei (MDA), Ferencváros (HUN), Go Ahead Eagles (NED), Triglav (SVN), Neath (WAL), Nice (FRA), Pirin Blagoevgrad (BUL), Ludogorets Razgrad (BUL), Benfica (POR), Lazio (ITA), Palermo (ITA), Vitesse (NED)
Helang adalah pilihan paling popular di kalangan kelab-kelab Eropah untuk dijadikan lambang dan maskot pasukan. Beberapa kelab turut mempunyai ritual yang dilakukan secara tradisi dengan menerbangkan helang di dalam stadium sebelum sepak mula perlawanan. Sudah tentu aspek komersial dengan penamaan turut diberikan kepada helang-helang ini, untuk menjadi mesra penyokong. Di Lazio misalnya, maskot helang dikenali sebagai Olimpia. Crystal Palace menggelar helang mereka dengan nama Kayla.
Kenari
Pilihan Kelab: Koper (SLO), Nantes (FRA), Fenerbahçe (TUR), Sint-Truiden (BEL), Lillestrøm (NOR), Modena (ITA), Norwich City (ENG), Botev Plovdiv (BUL)
Kenari bolehlah dianggap maskot eksklusif kepada kelab bola sepak yang terkenal dengan warna kuning. Fenerbahce misalnya dikenali sebagai Kenari Kuning (Yellow Cannaries). Hakikatnya, tidak semua kelab yang menggunakan kenari disebabkan oleh warna. Sparta Rotterdam misalnya sinonim dengan warna merah-hitam, tetapi mempunyai perkaitan yang kuat dengan spesis burung kenari kerana populasi burung tersebut di Belanda.
Ayam jantan
Pilihan Kelab: Bradford City (ENG), Denizlispor (TUR), Tottenham Hotspur (ENG)
Ayam adalah jenis burung domestik yang paling dekat dengan kita. Nama saintifik bagi ayam ialah Gallus gallus domesticus pada asalnya dibiakkan sebagai sumber protein dan juga laga ayam. Tottenham Hotspur adalah kelab bola sepak yang sangat sinonim dengan ayam jantan. Nama kelab London tersebut datangnya daripada nama Harry Hotspur, seorang bangsawan zaman pertengahan yang muncul dalam karya Willian Shakespare, Henry IV.
Burung hantu
Pilihan Kelab: Sheffield Wednesday (ENG), İstanbul BB (TUR), Oldham Athletic (ENG)
Nama panggilan Sheffield Wednesday, The Owl sebenarnya diambil dari nama sebuah lokasi di Sheffield, iaitu Owlerton. Oldham Athletic FC juga mempunyai gambar burung hantu di logo kelab. Begitu juga dengan Leeds United, sebelum ianya diubah pada 1970 an. Kelab Turki, Istanbul BB pula bermaskotkan spesis burung hantu kelabu.
Burung belatuk
Pilihan Kelab: Ascoli Calcio (ITA)
Ditubuhkan pada 1898, menurut kisah legenda kelab di bandar Ascoli Piceno ini ditubuhkan oleh puak Sabine. Puak Sabine dikenali sebagai orang Itali awal yang tinggal di kawasan pergunungan Apennin sebelum dipimpin ke bahagian barat oleh burung belatuk. Burung belatuk dikatakan mempunyai pengaruh rapat di dalam kehidupan spiritual puak Sabine. Kerana itu, kelab ini digelar Il Picchio (burung belatuk) oleh penyokong mereka. Ascoli pada hari ini beraksi di Serie B Itali.
Penutup
Ada banyak lagi sebenarnya spesis burung yang boleh dikaitkan dengan kelab bola sepak. Angsa misalnya sinonim dengan kelab Liga Inggeris yang berpengkalan di Wales, Swansea. Burung layang-layang yang digelar Bluebird pula adalah logo kelab milik usahawan Malaysia, Vincent Tan iaitu Cardiff City.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengenai pipit, atau keluarga genusnya Anthus. Dukacita kami katakan, carian kami tidak menemui sebarang kelab bola sepak yang dikaitkan dengan burung spesis tersebut – andai itu yang anda cari.
Begitu juga dengan Liverbird. Burung merah yang sinonim dengan juara eropah sebanyak enam kali ini juga tidak berada di dalam senarai nomenclaure, atau tatanama spesis hidupan burung. Ini kerana Liverbird adalah haiwan mitos yang menjadi simbol bandar Liverpool.