Quantcast

BERITA

Datuk Hamidin Harap Skuad Harimau Malaya Terus Kekal Konsisten

Kejayaan menundukkan Timor Leste dengan jaringan 7-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2022 semalam bukan sahaja mengembirakan peminat bola sepak tempatan tetapi turut mendapat pujian daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Beliau yang turut hadir ke perlawanan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil turut menuntut skuad kendalian Tan Cheng Hoe agar terus kekal konsisten untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

“Harimau Malaya bermula langkah kanan serta mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi minggu Hari Raya ini dan saya berharap pasukan kekalkan tempo ini dan dapat beraksi lebih baik pada aksi timbal balik nanti.

“Saya juga berharap Harimau Malaya terus fokus untuk memastikan perlawanan timbal balik menang selesa untuk mara ke pusingan kedua kelayakan September nanti, “katanya dalam laman facebook rasmi FAM.

FOTO: FAM

Dalam perlawanan semalam, Malaysia kelihatan terlalu hebat untuk ditandingi oleh Timor Leste pada malam dan menguasai 69% perlawanan. Corbin Ong terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke-12 – selepas menerima hantaran Safawi Rasid dengan kaki luar.

Ini diikuti oleh jaringan Shahrel Fikri pada minit ke-23. Beliau yang tak dikawal dengan mudah menolak bola ke gawang. Kredit kepada permainan kombinasi antara Sumareh, Davies dan Safawi Rasid.

Harimau Malaya terus menambah gol pada minit ke-43 menerusi Norshahrul Idlan Talaha. Sebelum wisel rehat dibunyikan, Malaysia sempat menambah 1 lagi gol pada minit ke-45 menerusi Safawi Rasid. Beliau seakan-akan menebus kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti.

Di separuh masa kedua, Malaysia terus berpesta gol melalui jaringan daripada Safawi, Faiz Nasir dan Akhyar Rashid.

Perlawanan kedua dengan Timor Leste sebagai tuan rumah akan berlangsung di venue sama, Selasa (11 Jun) ini dan Malaysia perlu mengesahkan kemenangan mutlak untuk mara ke pusingan kedua kelayakan.

Enam pemenang daripada pusingan pertama termasuk pemenang play-off antara Malaysia dan Timor Leste, akan menyertai 34 pasukan ranking teratas di Asia pada pusingan kedua termasuk penyandang juara Piala Asia, Qatar, selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.

Pada pusingan kedua yang dijadual September ini, 40 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan slot automatik ke Piala Asia 2023.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!