Kenali Monchi, Bos Bahagian Scouting Yang Bertanggungjawab Mengkayakan Sevilla

Siapa sangka sebuah kelab yang hampir muflis pada tahun 2000 kini menjadi antara kelab yang paling berjaya di Eropah?

Masih segar dengan kejuaraan UEFA Europa League ke-5 dalam tempoh 10 tahun pada minggu lepas di Basel, Sevilla pernah tersingkir ke Liga Segunda (divisyen ke-2 Sepanyol) selepas menamatkan liga dengan hanya 28 mata pada tahun 2000.

Hampir muflis dan tersingkir dari La Liga pada tahun yang sama, Sevilla melantik Ramon Rodriguez Verdejo yang lebih mesra dipanggil Monchi sebagai pengarah sukan kelab.

Tugas Monchi di Sevilla ada dua:

  • membangunkan sistem akademi kelab dan
  • meluaskan jaringan hubungan peninjau bakat (scouting network) Sevilla di Sepanyol dan Eropah.

Latar belakang

Sebagai pemain, Monchi merupakan penjaga gol no.3 dan pemain paling kurang penting bagi Sevilla.

Sebaik sahaja bersara daripada karier bola sepak pada tahun 1999 (berusia 30 tahun), Monchi terus dilantik sebagai pengarah sukan Sevilla.

Ironiknya kini Monchi merupakan individu paling penting dalam Sevilla. Bahagian scouting Sevilla yang diselianya berjaya memberikan kelab keuntungan beratus juta.

Tak kiralah sama ada daripada hasil untung jualan pemain yang dibeli atau hasil jualan pemain akademi, Monchi sentiasa membuat untung ketika jendela perpindahan Eropah.

Keuntungan Sevilla era Monchi

Kehebatan senarai rekod pembelian dan penjualan pemain Sevilla era Monchi adalah testimoni kepakarannya mengetuai bahagian scouting kelab.

Bagi Monchi, penjaga gol terbaik Sevilla yang pernah direkrutnya adalah Andres Palop. Empat pemain pertahanan terbaiknya pula adalah – Dani Alves, Federico Fazio, Martin Caceres and Adriano.

Di tengah, beliau menyebut nama Ivan Rakitic, Julio Baptista, Seydou Keita dan Christian Poulsen.

Dua penyerang terbaik yang pernah dibelinya pula adalah Luís Fabiano and Carlos Bacca.

Kesemua pemain-pemain tersebut telah ditandatangani dengan modal kurang €25 juta. Selepas dijual, kesemua pemain telah menjana hasil jualan sekitar €170 juta – atau hampir 7 kali ganda pulangan daripada modal yang dilaburkan.

Selain itu, nama-nama pemain akademi seperti Sergio Ramos, Jesus Navas, Alberto Moreno, Luis Alberto dan Jose Antonio Reyes memberikan Sevilla keuntungan sekitar €100 juta.

Semua ini tak dapat dicapai jika Monchi tidak mempunyai mata yang tajam untuk mengesan pemain yang berbakat tetapi murah.

Bisnes bolasepak ala Monchi

Antara bisnes terbaik yang pernah dilakukan Monchi adalah membawa masuk Daniel Alves yang pada ketika itu baru berusia 19 tahun. Selepas meraih 5 kejuaraan, Daniel Alves dijual kepada Barcelona dengan harga €36 juta.

Senarai keuntungan besar yang dijana Monchi tidak terhenti setakat itu sahaja. Melalui Julio Baptista, Monchi membuatkan Sevilla untung €24 juta. Melalui Ivan Rakitic, mereka untung €17.5 juta.

Setiap kali pemain Sevilla dijual, Monchi sentiasa mempunyai maklumat tentang pemain baru yang akan menggantikan mereka.

Misalnya ketika Alvaro Negredo meninggalkan Sevilla, Monchi mengakui ramai penyokong Sevilla panik. Pengganti Negredo yang dicadangkan oleh Monchi? Carlos Bacca.

Kemudian apabila Bacca dijual ke AC Milan, Monchi menggantikannya dengan Kevin Gameiro.

Bagaimana Monchi mampu mencari pemain hebat untuk Sevilla?

Asas kepada scouting adalah ‘profiling’ atau pengumpulan data pemain bagi memudahkan kerja memprofail mereka.

Sebagai contoh, katakan pengurus Sevilla mahukan bek kiri yang berlari purata 11km setiap perlawanan, mencapai jarak 800 meter dengan kelajuan maksima dan boleh menggunakan kedua-dua kaki.

“Saya ada 10 bek kiri yang memenuhi profail tersebut dalam pangkalan data scouting saya,” kata Monchi ketika ditemu ramah oleh wartawan The Guardian.

Peringkat seterusnya adalah urusan rundingan yuran perpindahan dan kontrak pemain yang diburu Sevilla. Dalam peringkat ini, pangkalan data scouts seliaan Monchi sentiasa akan menyediakan pilihan alternatif kepada pemain yang diburu mereka.

Sebagai contoh pada tahun 2005, Sevilla sedang memburu Fred, penyerang Brazil yang pada ketika itu bermain di Cruzeiro. Kalah kepada Lyon, Sevilla berpuas hati dengan pilihan alternatif mereka – Frederic Kanoute.

Pada tahun 2007, Sevilla memburu Kevin Prince Boateng pula. Gagal menarik perhatian pemain Ghana tersebut, Sevilla mendapatkan pemain Lens pula, Seydou Keita.

Pangkalan data yang disediakan oleh scouts Sevilla dibuat dengan cara berikut:

1. Bagi tempoh 5 bulan pertama, 16 scouts Sevilla akan menonton banyak perlawanan bola sepak tanpa ada matlamat yang jelas kerana mereka hanya mahu mengumpul data.

2. Setiap bulan mereka akan menghasilkan kesebelasan (best XI) terbaik untuk setiap liga.

3. Pada bulan Disember, mereka mula menonton pemain yang muncul secara kerap dari segi pencapaian dalam perlawanan home, away dan antarabangsa.

Ini bermakna ada berpuluh-puluh ribu senarai nama pemain dalam pangkalan data Sevilla. Tetapi cuma sekitar 250 pemain sahaja yang berpotensi untuk dibeli oleh Sevilla jika perlu.

“Kami tidak mampu membeli pemain Liverpool seperti Sturridge, Firmino, Coutinho. Tetapi kami ada potensi untuk membeli pemain Liverpool yang jarang diturunkan,” jelas Monchi.

“Kelab Inggeris banyak membeli pemain. Tapi hanya 11 pemain sahaja boleh bermain. Jadi kami sentiasa melihat peluang membeli pemain lebihan ini.”

Tak hairanlah senarai pemain yang dibeli Sevilla dari kelab Inggeris merupakan pemain ‘lebihan’ seperti Steven N’Zonzi dan Iago Aspas.

Monchi juga mengakui kelab Inggeris merupakan ‘pembeli’ yang bagus.

Ramai pemain Sevilla yang sudah dijual ke kelab Inggeris berjaya dijual dengan nilai transaksi mahal. Contohnya Jose Reyes, Gary Medel, Alvaro Negredo, Jesus Navas dan Alberto Moreno yang secara keseluruhannya bernilai sekitar £65juta.

Krisis kewangan dunia 2013

Pada tahun 2013 ketika krisis ekonomi dunia berlaku, Sevilla turut tidak terkecuali daripada masalah kewangan. Untuk membantu kewangan kelab, Sevilla mengumumkan semua pemain mereka boleh dibeli jika menerima tawaran belian berpatutan.

Sevilla mengumpul sekitar €70 juta hasil jualan pemain. Dengan dana inilah beserta pangkalan data Monchi, Unai Emery membina semula pasukan sehingga berjaya memberikan hasil yang ada pada hari ini.

Kesimpulan

Jelas sekali dalam struktur pentadbiran bolasepak, bahagian scouting adalah bahagian yang sangat penting.

Selain membekalkan pemain berkualiti untuk membentuk pasukan mantap, scouting juga mampu membantu kelab menjana pendapatan lumayan.

Agak pelik apabila majoriti pasukan di Malaysia tidak memandang serius kepada aspek scouting. Sehinggakan masih ada pasukan yang menandatangani pemain berdasarkan video Youtube!

Berbalik kepada kes Sevilla, selepas kejayaan UEFA Europa League 2016, mereka pasti tak dapat mengelak pemain bintangnya daripada dibeli kelab lebih besar.

Tetapi dengan hasil kerja Monchi dan 16 scouts Sevilla, tak mustahil mereka mampu mengulangi kejayaan ini dengan pemain baru.

Pada pandangan anda, siapa pula pemain Sevilla yang akan dijual? Dan siapa pula pemain dalam pangkalan data Monchi yang akan menggantikan pemain Sevilla yang dijual?

Baca juga: Pony Futbol Championship: Kilang Bakat Bola Sepak Colombia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN