Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Pony Futbol Championship: Kilang Bakat Bola Sepak Colombia

Ketika ini, pemenang kasut emas World Cup 2014, James Rodriguez merupakan salah seorang pemain utama Real Madrid. Beliau menikmati gaji £120,000 seminggu selepas berpindah dari Monaco dengan yuran perpindahan sebanyak £42 juta.

James (sebutannya Ha-mess) Rodriguez – seperti kebanyakkan pemain pasukan kebangsaan Colombia – bermula dari satu kejohanan bola sepak terulung bagi remaja Colombia: Pony Futbol Championship.

Asal-usul Pony Futbol Championship

pony14

Sebelum penubuhan Pony Futbol Championship pada 1985, pembangunan akar umbi bola sepak Colombia sangat tidak teratur. Dengan liga kampung, kejohanan tempatan, kejohanan sekolah-sekolah; masing-masing buat kerja masing-masing.

Tiada penyelarasan dibuat oleh Federación Colombiana de Fútbol (FCF). Tiada sinergi. Tiada hala tuju yang jelas.

Tetapi semuanya berubah pada tahun 1985. Pada tahun itu, Pony Futbol Championship dilancarkan buat pertama kali. Ia diadakan pada bulan Januari setiap tahun.

Setiap tahun, ribuan pemain bola sepak bawah-13 yang terbaik dari seluruh daerah (bukan negeri) di Colombia akan bermain dalam Pony Futbol Championship.

Kejohanan bola sepak popular di Colombia

Bagi sebuah negara yang gilakan bola sepak, tidak hairan apabila Pony Futbol Championship menjadi sangat popular.

Pada asalnya, Pony Futbol Championship dianjurkan di sebuah stadium serbaguna di Medellín.

Tetapi apabila kejohanan ini menjadi sangat popular, ia dipindahkan ke Estadio Atanasio Girardot. Sebuah stadium berkapasiti 45,000 yang juga stadium untuk 2 kelab profesional Colombia: Atlético Nacional dan Independiente Medellín.

Setiap kali perlawanan berlangsung, lebih daripada 30,000 penonton akan membanjiri stadium. Ia juga disiarkan secara langsung di TV.

Dalam konteks Malaysia, ia ibarat acara bola sepak bawah-12 kejohanan Majlis Sukan-sukan Malaysia (MSSM) dibanjiri 30,000 penonton dan disiarkan secara langsung di TV. Tetapi pernahkah ia berlaku secara realiti di Malaysia?

Freddy Porras adalah bekas jurulatih yang pernah melatih Juan Fernando Quintero (kini pemain Porto) dalam Pony Futbol Championship edisi 2004.

Menurut Porras, tekanan beraksi di hadapan 30,000 orang dan siaran langsung TV yang dirasakan oleh kanak-kanak seawal 11 atau 12 tahun di Colombia menyebabkan pemain-pemain muda mereka tidak gementar apabila bermain di hadapan penonton besar. Seperti di pentas Piala Dunia.

Ketika banyak negara lain cuba melindungi pemain muda daripada tekanan dan publisiti, Pony Futbol Championship mengajar pemain-pemain muda Colombia untuk bermain di bawah tekanan.

“Kami rasa perkara inilah yang membantu mereka bermain dengan baik walaupun berada di bawah tekanan. Sebab mereka dah biasa bermain di stadium yang penuh,” kata Porras.

Jurulatih yang melatih James Rodriguez turut sedar beliau tidak takut bermain dalam perlawanan besar.

“Dia langsung tiada rasa takut ketika kami masukkan dia,” kata Ariel Horan, penolong ketua jurulatih kelab Argentina, Atlético Banfield.

Atlético Banfield pernah menandatangani James Rodriguez ketika umurnya baru 17 tahun. Pada usia 17 tahun, Rodriguez adalah pemain luar Argentina termuda yang pernah bermain di liga teratas Argentina.

Graduan Pony Futbol Championship

Pony Futbol Championship memainkan peranan penting dalam pembentukan pemian-pemain bintang Colombia.

Pada kejohanan edisi 2004, James Rodriguez yang ketika itu baru berusia 12 tahun, merupakan pemain terbaik kejohanan. Dalam perlawanan akhir, Rodriguez membawa pasukannya, Academia Tolimense, menjulang kejuaraan. Beliau juga menjaringkan gol daripada sepakan sudut dalam perlawanan akhir itu.

james-pony-futbol

Pada tahun berikutnya, Juan Fernando Quintero pula ditabalkan sebagai pemain terbaik kejohanan. Quintero memenangi anugerah tersebut pada usia 11 tahun.

Malah, semua 30 pemain Colombia yang terlibat dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014 merupakan graduan Pony Futbol Championship. Termasuklah Radamel Falcao yang terpaksa diketepikan dalam Piala Dunia 2014 kerana kecederaan lutut.

Menurut Telemedellín, stesen televisyen yang menerima hak siaran Pony Futbol Championship, seramai 261 pemain profesional sudah dilahirkan oleh Pony Futbol Championship sejak 1985 hingga 2014.

Ini bermakna secara kasarnya, setiap tahun Pony Futbol Championship melahirkan 9 pemain profesional untuk pasukan kebangsaan Colombia.

Turut melahirkan jurulatih berkualiti

Selain pemain berkualiti, Pony Futbol Championship turut melahirkan jurulatih-jurulatih yang berkualiti.

Pony Futbol Championship sangat popular sehinggakan ia dijadikan batu loncatan oleh jurulatih amatur untuk menjadi jurulatih profesional.

Luis Fernando Montoya, yang memenangi Copa Libertadores 2004 bersama Once Caldas, memulakan karier kejurulatihannya di Pony Futbol Championship.

Francisco Maturana, seorang lagi jurulatih Colobia yang pernah memenangi Copa Libertadores pada 1989, juga memulakan karier kejurulatihannya di Pony Futbol Championship.

Dua tahun selepas Maturana memenangi Copa Libertadores, Maturana menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Colombia.

Tulang belakang skuad kebangsaan

Sebelum 1985, pembangunan akar umbi Colombia adalah seperti di Malaysia sebelum penubuhan NFDP. Pemain-pemain terbaik dari setiap daerah jarang mendapat peluang untuk bermain menentang pemain terbaik dari daerah-daerah lain.

Kelab-kelab profesional juga sukar untuk mengesan pemain muda berbakat.

Selepas Pony Futbol Championship dilancarkan, penganjur akan memastikan pemain terbaik setiap daerah di Colombia dapat pergi ke Medellín setiap tahun.

Setiap tahun, Pony Futbol Championship menjadi tumpuan bagi peninjau-peninjau bakat untuk mencari pemain-pemain muda berbakat.

Pemain yang cemerlang akan dipilih untuk mewakili Colombia dalam kejohanan Amerika Selatan bawah-15. Kejohanan di mana Colombia sudah masuk ke perlawanan akhir sebanyak 3 kali sejak 6 tahun lepas.

Kemudian, mereka akan mewakili Colombia pada peringkat bawah-17 dan bawah-20. Apabila sampai ke skuad senior, mereka sudah bermain bersama hampir 10 tahun.

Contohnya adalah, James Rodriguez dan Juan Fernando Quintero. Kedua-dua mereka telah bermain bersama-sama sejak berumur bawah 15 lagi. Ketika beraksi dalam Piala Dunia 2014, mereka sudah sebati dengan cara permainan masing-masing.

Kesimpulan

Berdasarkan template Colombia sahaja, kita mengetahui betapa pentingnya struktur pembangunan akar umbi di Malaysia diseragamkan. Dan betapa pentingnya ia diseragamkan mengikut daerah. Bukannya negeri.

Sebab itulah template Malaysia: memilih pemain terbaik negara dari kejohanan MSSM – kejohanan antara negeri-negeri – sudah tidak relevan lagi. Skopnya perlu dikecilkan. Sebagaimana apa yang dilakukan oleh NFDP melalui penubuhan akademi tunas dan pusat latihan daerah.

Baca juga: BAGAIMANA BEKAS JURULATIH AKADEMI BAYERN MUNICH MENYELAMATKAN BOLA SEPAK MALAYSIA