Kenali Hannes Halldorsson, Pengarah Filem Yang Menyelamatkan Penalti Messi

Sepanjang penglibatan Lionel Messi dengan pasukan Argentina, ini adalah kali keempat beliau gagal menyempurnakan sepakan penalti sepanjang karier antarabangsanya.

Bagi Messi, beliau mempunyai sebab tersendiri untuk berasa pedih dan terluka kerana kegagalan tersebut.

Bukanlah kerana perbandingan yang dilakukan oleh kebanyakkan orang terhadap Cristiano Ronaldo dan gelaran ‘GOAT’.

(Photo by Matthias Hangst/Getty Images)

Tetapi kerana Messi gagal memberi kelebihan kepada Argentina, yang selepas ini terpaksa mengharapkan keputusan positif dari baki perlawanan menentang Croatia dan kemudiannya Nigeria.

Tetapi siapakah penjaga gol Iceland yang bijak menolak keluar sepakan penalti oleh Messi itu?

Iceland

Semua orang tahu bagaimana kisah Iceland mengaibkan England dua tahun yang lalu di Euro 2016. Namun pada ketika itu, nama Hannes Halldorsson tidak hangat diperkatakan seperti pada hari ini.

Siapa menjangka sebuah negara yang hanya mempunyai kepadatan penduduk sebesar Ipoh, Perak; dan barisan pemain skuad kebangsaan yang kami pasti tidak mempunyai kereta berjenama Mustang parkir di halaman rumah, mampu mengikat Argentina di Piala Dunia?

(Photo by Thiago Bernardes/Pacific Press/LightRocket via Getty Images)

Dan keputusan bersejarah tersebut dicapai dengan aksi oleh penjaga gol yang menyelamatkan sepakan penalti dari pemain yang digelar ‘Greatest of All Time-G.O.A.T’- Lionel Messi.

 Hannes Halldorsson

Hannes Halldorsson dibesarkan di Breidholt, sebuah kawasan pedalaman di barat daya ibu kota Iceland, Reykjavik. Iceland adalah sebuah negara yang kaya, tetapi tidak di Breidholt.

Breidholt adalah penempatan kelas golongan pertengahan dan mempunyai masalah ekonomi sebagaimana tempat lain di dunia.

(Photo by Jamie McDonald/Getty Images)

Ayah kepada Hannes adalah seorang bekas penjaga gol, namun beliau melepaskan sukan bola sepak pada usia 19 tahun. Tidak mahu anaknya mengulangi perkara yang sama, ayahnya adalah pendorong utama Hannes untuk bangkit kembali.

Sejak berusia 6 tahun, Hannes sudahpun berlatih bersama salah sebuah kelab bola sepak terbesar di Iceland, KR. Seperti kanak-kanak yang lain, impian Hannes ialah untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Pada usia 14 tahun, Hannes mengalami kecederaan terkehel bahu ketika bermain luncur salji. Setiap kali kembali ke padang latihan, tulang bahunya akan terkehel keluar, sekaligus merencatkan karier beliau di dalam bola sepak.

“Kecederaan tersebut memusnahkan impian saya untuk bermain bola sepak. Saya terpaksa menunggu sehingga usia 19 tahun untuk menjalani pembedahan.”

(Photo by Lukasz Laskowski/PressFocus/MB Media/Getty Images)

“Di dalam tempoh 5 tahun itu, rakan sebaya yang lain sudah mewakili Iceland di peringkat usia. Hakikatnya saya tidak mempunyai minit perlawanan langsung di peringkat remaja,” jelas Hannes

Kerana kecederaan tersebut, Hannes mulai serius dalam mengasah bakat di dalam bidang perfileman. Ketika ditanya mengenai bola sepak dan pengarahan filem, ini jawapan Hannes:

“Saya sentiasa mempercayai kerja sepenuh masa saya ialah sebagai pembikin filem. Kerana di situlah saya memperolehi majoriti pendapatan untuk menyara hidup.”

Bidang pembikinan filem

“Namun saya tetap berusaha keras untuk memberi keseimbangan kepada bola sepak. Ia adalah tugas yang menuntut fokus dalam dunia perfileman. Kemudian saya akan memulakan latihan di atas padang mulai 5 petang setiap hari.”

Ketika mengalami kecederaan, Hannes menggunakan tempoh tersebut untuk mengasilkan filem pendek. Hanya selepas berusia 20 tahun, atas nasihat bapanya, barulah Hannes kembali ke padang latihan untuk bola sepak.

Jelas sekali usaha Hannes di dalam industri perfileman di Iceland tidak sia-sia.

Antara karya Hannes yang terkenal ialah filem pendek berjudul ‘Swimming Man’, yang dirakam bersama rakan-rakan pada 1996. Kemudian Hannes turut terpilih untuk mewakili Iceland untuk menyertai Eurovision Song Contest, di mana Hannes dikehendaki untuk menyediakan sebuah video muzikal.

Eurovision merupakan sebuah festival di eropah untuk negara-negara anggota European Broadcasting Union.

Penyertaan oleh Hannes berjudul “Never Forget” memasuki peringkat akhir dan menduduki tempat ke-20, walaupun karya tersebut berada di kedudukan kedua di Denmark dan Finland, serta tempat ketiga di Cyprus.

Pada hari ini, selain sebagai penjaga gol skuad kebangsaan Iceland, Hannes dikenali sebagai pengarah filem pendek untuk kegunaan iklan dan komersil.

Hannes juga adalah individu yang bertanggungjawab untuk mengendalikan iklan Coca-Cola di Iceland.

Uniknya, Hannes turut menggunakan rakan sepasukan di dalam skuad kebangsaan Iceland untuk menjayakan iklan komersil tersebut.

Anda boleh saksikan video tersebut melalui pautan di bawah:

Penutup

Ada banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada Hannes Halldorsson dan skuad Iceland di dalam kehidupan, juga untuk bola sepak negara.

Bahawasanya kejayaan itu mampu dicapai dengan impian dan bekerja keras. Kejayaan juga tidak diukur oleh latar belakang, asalkan sanggup menggalas cabaran.

Hannes Halldorsson akan sentiasa dikenang sebagai pengarah filem yang menyelamatkan sepakan penalti Lionel Messi di Piala Dunia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN