Kenali 5 Pemain Piala Dunia 2018 Yang Memiliki Penampilan Antarabangsa Tertinggi

Kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia kini telah memasuki pusingan kalah mati yang akan bermula pada hari ini. Sebanyak 16 pasukan daripada 32 negara yang bertanding telah mengesahkan tiket di pusingan kedua.

Ia adalah satu penghormatan tertinggi bagi seorang pemain bola sepak apabila mendapat peluang mewakili negara mereka di kejohanan yang paling berprestij di dunia walaupun tidak berjaya membantu pasukannya mara sejauh mungkin.

Paling membanggakan mereka ialah apabila dapat mengumpulkan seberapa banyak penampilan (caps) bersama negara untuk dimasukkan dalam resume kerjaya bola sepak professionalnya.

Justeru itu, penulis telah mengenalpasti 5 pemain daripada skuad yang beraksi di Piala Dunia 2018 mengumpulkan penampilan terbanyak setakat ini.

Rafael Márquez (Mexico) – 144 penampilan

(Photo credit should read AFP/Getty Images)

Rafael Marquez kali ini telah beraksi di Piala Dunia buat kali kelima dan kemungkinan kejohanan Piala Dunia tahun ini merupakan yang terakhir baginya. Tetapi jangan terkejut jika beliau membuat kemunculan pada edisi 2022 di Qatar.

Pemain yang berusia 39 tahun ini merupakan antara pemain pertahanan yang terbaik bagi negaranya. Bekas pemain Barcelona ini mempunyai 144 penampilan dengan skuad Mexico termasuk 16 dalam kejohanan Piala Dunia.

Beliau membuat penampilan pertamanya pada tahun 1997 dan pada edisi kali ini beliau tidak kerap berada dalam kesebelasan utama skuad Mexico.

Ini kerana pengendali Mexico, Juan Carlos Osorio lebih gemar memilih Carlos Salcedo dan Hugo Ayala mengemudi benteng pertahanan tetapi pengalaman yang dimiliki oleh Marquez tetap akan membantu barisan pertahanan mereka.

Andrés Guardado (Mexico) – 144 penampilan

(Photo credit should read DIRK WAEM/AFP/Getty Images)

Sejak melakukan penampilan pertama di peringkat antarabangsa pada tahun 2005, Andres Guardado merupakan antara tonggak utama skuad kebangsaan Mexico.

Pemain yang berusia 31 tahun ini beraksi di posisi sayap dan tengah. Setakat ini beliau telah beraksi dalam 3 edisi Piala Dunia dan membuat penampilan sebanyak 144 bersama pasukannya.

Guardado seorang pemain yang bijak dan sentiasa melakukan hantaran jarak jauh dengan tepat serta mempunyai keupayaan untuk membantu barisan pertahanan pasukan. Pada edisi 2018 di Rusia, beliau merupakan seorang pemain yang penting.

Cristiano Ronaldo (Portugal) – 150 penampilan

(Photo by Jan Kruger/Getty Images)

Peminat bola sepak di dunia sentiasa membandingkan kehebatan Cristiano Ronaldo dengan bintang Argentina, Lionel Messi tetapi ada satu perkara yang membuatkan Ronaldo jauh lebih baik daripada Messi dari segi pencapaian di peringkat antarabangsa.

Ronaldo telah menjadi kapten skuad kebangsaan Portugal yang membawa kepada gelaran juara eropah pada tahun 2016 dan kini dalam misi untuk membawa pulang Piala Dunia dari Rusia.

Bintang Real Madrid ini telah mengumpulkan 150 penampilan dengan Portugal dan paling banyak dalam sejarah bola sepak di negaranya.

Beliau juga mempunyai rekod jaringan 81 gol dalam 150 perlawanan iaitu rekod yang masih belum dipecahkan oleh mana-mana pemain dari Portugal.

Sergio Ramos (Sepanyol) – 151 penampilan

(Photo credit should read AFP/Getty Images)

Bintang pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos hadir di Rusia dalam keadaan dilanda kontroversi apabila menyebabkan kecederaan pemain Mesir, Mohamed salah ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool.

Walaubagaimanapun, kontroversi itu tidak menjejaskan statusnya sebagai kapten skuad kebangsaan Sepanyol dan beliau tetap mahu memimpin negaranya memenangi Piala Dunia 2018.

Ramos membuat penampilan pertamanya denga Sepanyol pada tahun 2005. Kini beliau telah mengumpulkan 151 penampilan dan menjadi sebahagian daripada skuad Sepanyol yang memenangi Piala Dunia 2010 serta Piala Eropah pada tahun 2008 dan 2012.

Pengalaman luas yang dimiliki oleh beliau menyebabkannya sentiasa menjadi pilihan utama dalam skuad Sepanyol bagi memastikan benteng pertahanan pasukan terus kukuh.

Essam El-Hadary (Mesir) – 158 penampilan

(Photo credit should read TAREK ABDEL HAMID/AFP/Getty Images)

Essam El-Hadary merupakan pemain paling tua yang beraksi dalam saingan Piala Dunia 2018 dan juga merupakan pemain yang paling banyak membuat penampilan bersama negaranya, Mesir.

Pada usia El-Hadary yang kini mencecah angka 45 tahun, tidak ramai yang menjangkakan beliau akan kembali menjadi tongak utama skuad kebangsaan Mesir. Beliau juga ialah tulang belakang yang membantu Mesir memburu slot ke Rusia.

El-Hadary telah membuat penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa pada tahun 1996 dan kini telah mengumpulkan 158 penampilan.

Karier El-Hadary bersama Mesir bermula pada 1998, ketika beliau adalah sebahagian daripada skuad Mesir yang menjuarai Piala Afrika. Beliau juga turut membantu Mesir menjuarai Piala Afrika pada tahun 2006 dan 2010 sebagai penjaga gol utama.

Beliau kini beraksi dengan kelab Arab Saudi, Al-Taawoun dan dengan usia yang semakin lanjut, beliau dijangka akan mengumumkan persaraan dalam masa terdekat.

Rumusan

Di benua Eropah, caps (penampilan) adalah metafora untuk seseorang pemain yang melakukan penampilan pada perlawanan peringkat antarabangsa.

Negara United Kingdom umpamanya menghadiahkan topi (caps) kepada pemain mewakili pasukan dalam acara bola sepak.

Catatan sejarah menulis semasa perlawanan antarabangsa pertama membabitkan England dan Scotland pada tahun 1872, pemain Scotland memakai cowls anakala England mengenakan topi sekolah.

Amalan ini buat julung kali diluluskan pada 10 Mei 1886 untuk sebarang pertandingan bola sepak selepas dicadangkan Pengasas Corinthians, N Lane Jackson.

Menurutnya, semua pemain yang mengambil bahagian untuk England akan diberikan topi sutera putih dengan sulaman warna merah di bahagian hadapan.

Ini kemudiannya dipanggil Caps International (Caps antarabangsa).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN