Kenali 32 Pasukan Yang Bakal Beraksi Dalam Saingan Piala Dunia 2018

Peminat bola sepak dari seluruh dunia pasti berdebar-debar menantikan keputusan rasmi undian kejohanan Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di bandar Moscow pada hari jumaat ini.

Sebanyak 32 pasukan telah mengesahkan tiket ke temasya bola sepak terbesar dunia itu dan sudah pasti ia merupakan impian setiap pemain bola sepak professional untuk berada di pentas dunia mewakili negara mereka.

Sebelum undian bermula, mari kita lihat senarai pasukan yang akan bertanding dalam kejohanan itu  mengikut balang undian masing-masing.

Balang 1

1. Jerman (Ranking FIFA : 1)

Pasukan Jerman dibawah bimbingan Joachim Low ini cukup klinikal dan sentiasa dominan sejak saingan kelayakan Piala Dunia bermula dan mereka mempunyai ramai pemain muda yang berbakat untuk diserapkan ke dalam pasukan senior. Jerman hadir dengan reputasi sebagai juara bertahan dan mereka dijangka akan mempertaruhkan gandingan pemain muda dan veteran dalam kesebelasan utama.

2. Brazil (Ranking FIFA : 2)

Juara Piala Dunia lima kali ini tekad mahu mengulangi pencapaian terbaik mereka ketika Piala Dunia 2002 untuk meraih gelaran juara Piala Dunia kali ke enam. 4 tahun lepas, mereka dilanda malapetaka apabila dimalukan di halaman sendiri ketika tewas dengan jaringan yang besar, 1-7 kepada Jerman di peringkat separuh akhir sehingga menjadi bahan ketawa di seluruh dunia. Dengan barisan pemain yang sedia ada, ketua jurulatih Brazil, Tite perlu mencari formula terbaik untuk menyakinkan semula para pemainnya agar tragedi itu tidak berulang.

3. Perancis (Ranking FIFA : 9)

Perancis merupakan pasukan yang tidak boleh dipandang mudah dan merupakan salah satu pasukan pilihan. Tiada pasukan di dunia yang mempunyai limpahan bintang muda melebihi daripada apa yang ada dari Perancis. Masalahnya, ketua jurulatihnya Didier Deschamps pasti pening kepala untuk memilih pemain terbaik dan beliau hanya boleh membawa 23 pemain sahaja ke Russia. Perancis juga merupakan pasukan yang konsisten ketika saingan kelayakan Piala Dunia.

4. Belgium (Ranking FIFA : 5)

Belgium juga seperti Perancis. Mereka mempunyai limpahan pemain terbaik di bahagian serangan seperti Romelu Lukaku, Dries Mertens, Kevin De Bruyne dan lain-lain. Belgium merupakan pasukan yang cemerlang dalam saingan kelayakan apabila mencatat keputusan 9 kemenangan dan 1 seri tanpa kalah sehingga muncul sebagai juara kumpulan. Menjadi persoalan dalam kalangan penyokong mereka sama ada Belgium mampu meneruskan kecemerlangan ini ketika saingan yang sebenar di Russia.

5. Portugal (Ranking FIFA : 3)

Juara eropah ini tidak mengharapkan status sebagai pasukan pilihan sebaliknya mereka mahu turun sebagai pasukan kredil (underdog). Dengan kehadiran bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo yang bertindak sebagai perancang utama, pasukan ini masih mampu melakar kejutan seperti mana yang mereka lakukan dalam kejohanan Piala Eropah 2016.

6. Argentina (Ranking FIFA : 4)

Argentina hampir tersingkir ketika saingan kelayakan dan pentas kejohanan Piala Dunia di Russia pasti hambar tanpa kelibat mereka. Argentina adalah pasukan yang mampu meraih kejuaraan jika dilihat kepada barisan penyerang yang cukup mantap seperti Paulo Dybala, Mauro Icardi dan pemenang kasut emas eropah sebanyak 4 kali, Lionel Messi. Seperti Portugal, mereka juga tidak mahu digelar sebagai pasukan pilihan kerana sedar undian yang akan dilakukan nanti pasti tidak memihak kepada mereka.

7. Poland (Ranking FIFA : 7)

Poland merupakan pasukan yang sukar diramalkan dan kekuatan pasukan itu masih menjadi misteri. Antara pemain yang paling popular dalam skuad kebangsaan Poland ialah bekas bintang Borussia Dortmund, Robert Lewandoswki yang menjaringkan 16 gol ketika dalam saingan kelayakan Piala Dunia. Kehebatan Lewandoswki itu sudah cukup memberi amaran kepada pasukan lain bahawa pemain ini mampu mendatangkan bahaya ketika di Russia nanti.

8. Russia (Ranking FIFA : 65)

Selaku tuan rumah, Russia akan diletakkan dalam balang satu bersama 7 pasukan lain yang muncul sebagai juara kumpulan ketika saingan kelayakan Piala Dunia. Bermain di halaman sendiri dengan sokongan padu daripada penyokong mereka sendiri pasti akan memberikan semangat tambahan kepada pemain Russia. Mereka dijangka akan mempertaruhkan dua penyerang yang berbahaya seperti Alan Dzagoev dan Fyodor Smolov.

Adidas
Pasukan Jerman dengan jersi terbaru mereka.

Balang 2

1. Sepanyol (Ranking FIFA : 6)

Sepanyol mungkin bukan pasukan pilihan utama untuk undian Piala Dunia di Moscow namun kemasukan pemain generasi baru oleh jurulatih Julen Lopetegui kembali meletakkan pasukan itu sebagai pilihan memburu kejuaraan Julai depan. Lopetegui berjaya menggandingkan beberapa pemain skuad Piala Dunia terdahulu dengan sejumlah pendatang baru dari skuad Bawah-21 yang menjulang gelaran Eropah pada 2013. Gandingan mereka mempamerkan hasil menakjukan. Sepanjang 16 perlawanan kendaliannya, Lopetegui langsung tidak merasai sebarang kekalahan.

2. Uruguay (Ranking FIFA : 21)

Skuad La Celeste menamatkan saingan kelayakan di kedudukan kedua dalam kumpulan dan Luiz Suarez serta Edinson Cavani menjadi taruhan terbaik mereka untuk membentuk gandingan serangan yang berbahaya. Skuad ini dianggap sebagai “silent killer” kerana mampu menghukum lawan jika berada dalam keadaan yang terdesak untuk menang.

3. Croatia (Ranking FIFA : 17)

Apabila Croatia menjadi lebih fokus dan yakin, mereka akan menjadi pasukan yang cukup berdisiplin dan bermain tanpa tekanan. Luka Modric, Ivan Perisic, Ivan Rakitic dan Mario Mandzukic adalah antara bintang ternama dunia yang dijangka akan menyarung jersi Croatia di Piala Dunia tahun depan. Lawan pasti akan menghadapi sedikit kesukaran untuk mengekang kemaraan pemain ini.

4. Colombia (Ranking FIFA : 13)

James Rodriguez dan Radamel Falcao dijangka akan kembali mengetuai jentera serangan pasukan Colombia tetapi mereka juga mempunyai pemain muda yang menyinar seperti Davinson Sanchez yang bermain dengan pasukan Tottenham Hotspurs dan Yerry Mina. Kemampuan pasukan ini mengandingkan pemain muda dan veteran dengan pelbagai variasi taktikal adalah sebab utama kenapa pasukan ini perlu dipandang serius.

5. Switzerland (Ranking FIFA : 8)

Sebuah pasukan yang seimbang dan tidak mudah dikalahkan. Mereka layak ke piala dunia melalui play-off setelah menewaskan Northern Ireland melalui sepakan penalti Rodriguez. Pasukan ini dibarisi oleh pemain berpengalaman seperti Xherdan Shaqiri dan Granit Xhaka sambil dibantu oleh tenaga pemain muda seperti Denis Zakaria dan Breel Embolo. Mereka juga mempunyai 3 penjaga gol yang beraksi dalam saingan Bundesliga.

6. England (Ranking FIFA : 15)

England mempunyai pool pemain yang lebih besar. Jadi Gareth Southgate tidak akan mempunyai masalah untuk membentuk barisan yang mantap. Dengan sebahagian besar daripada skuad ini bermain dalam saingan liga terbaik dunia iaitu Liga Perdana Inggeris ditambah pula dengan kejayaan program pembangunan pemain muda mereka yang memenangi pelbagai kejohanan utama eropah dan dunia. Walaupun diletakkan dalam balang kedua, pasukan ini tetap dianggap sebagai pasukan pilihan yang mampu mara hingga ke perlawanan akhir Piala Dunia.

7. Mexico (Ranking FIFA : 16)

Tiada siapa yang boleh mengambil mudah pada pasukan ini. Nampak biasa sahaja tetapi sangat berbahaya di bahagian serangan. Selepas kontroversi pemecatan ketua jurulatih terdahulu, Miguel Herrera yang didakwa menyerang wartawan, Mexico mengambil risiko untuk membawa masuk jurulatih dari Colombia, Juan Carlos Osorio pada tahun 2015. Terbukti mereka membuat keputusan yang betul apabila jurulatih ini berjaya membawa Mexico layak ke Piala Dunia 2018.

8. Peru (Ranking FIFA : 11)

Peru kembali semula ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah sejak penampilan terakhir pada tahun 1982. Pasukan ini dibimbing oleh jurulatih yang cukup bijak, Ricardo Gareca. Ini merupakan kali kelima negara Amerika Selatan itu layak ke Piala Dunia. Siapa sangka negara yang hampir digantung oleh FIFA kerana campur tangan kerajaan ini akan melakar sejarah tersendiri mara ke Piala Dunia sejak sekian lama. Kedudukan ranking mereka juga meningkat dengan mendadak sejak kebelakangan ini memberi amaran kepada pasukan lain agar tidak memandang mudah.

England mempertaruhkan sebahagian besar bintang Liga Perdana Inggeris (Gambar :  John Patrick Fletcher/Action Plus via Getty Images)

Balang 3

1. Denmark (Ranking FIFA : 12)

Bintang Tottenham Houtspurs, Christian Eriksen tampil dengan persembahan menakjubkan apabila meledak hatrik ketika membantu Denmark membelasah Ireland 5-1, dalam aksi kedua playoff, sekali gus membawa negaranya menempah tiket ke Russia. Kombinasi barisan pemain berpengalaman yang beraksi dengan pelbagai kelab dari liga yang berbeza menjadi taruhan Denmark untuk melakar kejutan tahun depan. Denmar sasar sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir tetapi bukan tugas mudah kerana mereka tetap akan berdepan kesukaran di peringkat kumpulan.

2. Iceland (Ranking FIFA : 22)

Siapa sangka negara yang mempunyai populasi penduduk seramai 330 000 orang ini mampu mencipta kejutan layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah. Ianya tidak mustahil jika pemain mereka mempercayai rakan sepasukan dan yakin dengan kemampuan sendiri walaupun datang dari negara yang sangat kecil. Selepas kejayaan dalam kejohanan Euro 2016, Iceland tekad melakar satu lagi sejarah untuk membuktikan kenapa mereka layak berada di pentas Piala Dunia tahun depan. Nampaknya kehadiran pasukan gergasi seperti Jerman, Brazil dan England langsung tidak menggerunkan mereka.

3. Costa Rica (Ranking FIFA : 26)

Tandukan Kendall Waston pada masa kecederaan babak kedua menyelamatkan Costa Rica untuk mengikat Honduras 1-1 dalam saingan kelayakan, sekali gus memastikan tempat automatik ke Piala Dunia tahun depan. Honduras seakan mahu menangguhkan hajat Costa Rica untuk ke Russia apabila mendahului permainan pada minit ke-66. Bagaimanapun, ketika aksi memasuki minit kelima masa kecederaan babak kedua, Waston bijak menyelitkan dirinya untuk menyambut hantaran lintang Bryan Ruiz sekali gus menghadirkan keceriaan kepada rakyat negara Costa Rica yang teringin sangat nak lihat negara mereka beraksi di Russia.

4. Sweden (Ranking FIFA : 18)

Sweden mara ke Piala Dunia 2018 dengan menyingkir juara Piala Dunia 4 kali iaitu Italy. Ia adalah kejayaan yang mengembirakan rakyat Sweden disaat mereka tidak letak harapan tinggi untuk ke Russia. Malah penyingkiran italy yang gagal ke Piala Dunia buat kali pertama selepas 60 tahun benar-benar mengejutkan peminat bola sepak dari seluruh dunia. Sweden menguasai sebahagian besar permainan sehingga memaksa Italy berkampung di kawasan sendiri hampir keseluruhan aksi memberi petanda bahawa pasukan Sweden sudah bersedia untuk mengejutkan mana-mana pasukan gergasi di Russia tahun depan.

5. Mesir (Ranking FIFA : 31)

Mesir mengakhiri penantian selama 28 tahun apabila bintang Liverpool, Mohammed Salah menjaringkan 2 gol ke atas Congo yang membawa negara itu layak ke Russia tahun depan. Ia menamatkan penantian cukup lama ketika kali terakhir negara yang memiliki populasi Arab tertinggi di dunia itu beraksi di pusingan akhir pada 1990 di Itali. “Selepas 28 tahun akhirnya kami menyertai Piala Dunia. Ini adalah hari sambutan seluruh negara,” kata seorang penyokong, Gaber Fathy. “Kamu boleh lihat di sekeliling orang ramai begitu gembira. Situasi ini tidak pernah dilihat di Mesir,” kata Gamal Mohamed ketika ditemui di Dataran Tahrir.

6. Senegal (Ranking FIFA : 23)

Senegal juga kembali semula ke Piala Dunia sejak 2002. Pasukan Senegal kali ini lebih mantap berbanding skuad terdahulu kerana mereka kini mempunyai ramai pemain yang berkelana ke eropah. Nama-nama seperti Sadio Mane, Kalidou Koulibay dan Keita Balde menjadi taruhan skuad itu untuk memastikan sasaran layak ke suku akhir tercapai.

 7. Iran (Ranking FIFA : 32)

Iran merupakan pasukan terbaik asia yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah ketika dalam saingan kelayakan. Pasukan bimbingan Carlos Quiroz ini merupakan pasukan pertama yang menempah tiket ke Piala Dunia 2018 dengan hanya sejumlah 10 gol dan mungkin kurang menyengat jika dibandingkan dengan pasukan seperti Brazil, Perancis, Belgium, Croatia, Colombia dan Uruguay. Walaubagaimanapun, Iran membawa harapan asia untuk membuktikan kepada dunia kualiti yang ada pada bola sepak Asia.

8. Tunisia (Ranking FIFA : 27)

Tunisia juga seperti Iran, mara ke Piala Dunia dengan rekod tanpa kalah dalam saingan kelayakan tetapi ia bukan jaminan mereka akan menyinar dalam saingan Piala Dunia di Russia. Mereka memang suka dianggap sebagai bukan pilihan kerana tekanan yang diletakkan di bahu pemain Tunisia dapat dikurangkan. Mereka juga merupakan sebuah pasukan yang tidak gentar menghadapi mana-mana lawan yang lebih kuat dan tetap percaya dengan barisan yang sedia ada.

Iceland turut mencipta sejarah tersendiri mara ke Piala Dunia 2018

Balang 4

1. Nigeria (Ranking FIFA : 50)

Nigeria merupakan pasukan pertama dari Afrika yang mencipta sejarah layak ke Piala Dunia tahun depan. Ini merupakan kali ke enam skuad ini beraksi di pentas dunia. Diletakkan dalam balang 4 bukanlah masalah bagi pasukan ini kerana tidak kira kumpulan mana yang mereka diundi, pemain mereka akan bermain bersungguh-sungguh dan mampu memberi masalah kepada pasukan pilihan dalam kumpulan tersebut. Faktor fizikal menjadi kelebihan buat pasukan ini kerana rata-rata pemain dari Nigeria semuanya berbadan sasa.

2. Jepun (Ranking FIFA : 55)

Pasukan gergasi Asia, Jepun sudah mara ke Piala Dunia sebanyak 5 kali berturut-turut. Mereka juga seperti Iran, membawa harapan Asia di pentas Dunia. Dengan kehadiran beberapa pemain yang beraksi dengan kelab ternama dunia seperti Shinji Kagawa, Nagatomo, Makoto Hasebe serta Kheisuke Honda, Jepun sebenarnya sudah membuat rancangan rapi untuk pengiliran pemain dan variasi taktikal yang akan digunakan pada perlawanan sebenar nanti. Mereka meletakkan sasaran untuk marah ke suku akhir walaupun sedar misi itu memang mustahil untuk dicapai berdasarkan kekuatan pasukan eropah dan amerika selatan.

3. Serbia (Ranking FIFA : 37)

Serbia membuktikan negara kredil yang mempunyai liga yang tidak begitu gah mampu mara ke Piala Dunia jika ada usaha yang berterusan dan program pembangunan pemain muda yang berkesan. Mereka layak tanpa khidmat ketua jurulatih yang tetap. Jika ini pasukan ini mampu menghuni kedudukan teratas dalam kumpulan ketika saingan kelayakan, bayangkan jika mereka mempunyai jurulatih baharu yang lebih berkaliber selepas ini.

4. Morocco (Ranking FIFA : 40)

Morrocco ketika ini dibimbing oleh Herve Renard iaitu juara Piala Afrika sebanyak 2 kali. Pasukan yang digelar sebagai “Atlas Lions” itu kembali beraksi di kejohanan terbesar buat kali pertama sejak 1998 dengan menamatkan kempen kelayakan menerusi pungutan 12 mata dan hanya dibolosi satu gol dalam enam perlawanan.

5. Korea Selatan (Ranking FIFA : 59)

Korea Selatan sekali lagi layak ke kejohanan Piala Dunia Fifa untuk kali kesembilan selepas memperolehi keputusan seri menentang Uzbekistan dalam perlawanan terakhir saingan kelayakan. Korea Selatan berjaya menyertai Piala Dunia sejak tahun 1986 dan pencapaian terbaik mereka ialah mara ke separuh akhir ketika Piala Dunia 2002. Korea dijangka akan mempertaruhkan gandingan pemain berpengalaman yang beraksi di luar negara dengan pemain terbaik yang beraksi dalam saingan liga domestik. Namun begitu, rakyat Korea tidak meletak harapan tinggi kerana sedar dimana tahap kemampuan sebenarnya skuad ini jika dilihat pada prestasi dalam saingan kelayakan.

6. Panama (Ranking FIFA : 56)

Panama, negara ini tidak dikenali sebagai negara yang handal dalam sukan bola sepak kerana sukan Besbol dan Tinju merupakan sukan pilihan utama rakyat negara itu. Mungkin ini kali pertama dunia mendengar nama Panama. Presiden Panama, Juan Carlos Varela mengisytiharkan cuti kebangsaan bagi meraikan kejayaan negara dari Amerika Tengah itu layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya. Ribuan rakyat Panama meraikan kejayaan itu di ibu kota, Panama City dengan membunyikan hon kereta sebagai simbolik detik bersejarah berkenaan. “Hari ini semua planet bersatu, anda tidak boleh hilang rasa percaya,” kata Varela di padang Estadio Rommel Fernandez selepas perlawanan.

7. Australia (Ranking FIFA : 39)

Skuad soccerroos ini hampir terlepas slot ke Piala Dunia selepas terpaksa melalui play-off menentang pasukan Honduras. Disebalik kejayaan mara ke Piala Dunia, mereka terpaksa bermula semula dengan mencari jurulatih baharu selepas Ange Postogcolou memilih untuk letak jawatan. Ianya pasti sukar kerana sebahagian besar pemain daripada pasukan ini sudah pun membiasakan diri dengan taktikal Ange dan mereka akan mempunyai masalah untuk memahami taktikal daripada jurulatih baharu.

8. Arab Saudi (Ranking FIFA : 63)

Arab Saudi yang telah menukar jurulatih sebanyak 3 kali akhirnya berjaya menempah tiket ke Piala Dunia. Tidak ramai yang tahu bahawa mereka mara hasil daripada program perubahan diterajui Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang menggalakan sukan di negara ultra konservatif itu. Arab Saudi menundukkan Jepun 1-0 untuk layak ke Piala Dunia pertama mereka sejak 2006. Kemenangan itu menyebabkan kerajaan mengeluarkan poster baru untuk rancangan perubahannya, diberikan nama Wawasan 2030 dengan imej Putera Salman yang sedang tersenyum dan kata-kata “Bersedia untuk masa hadapan”.“Dengan semangat tinggi dan sokongan tidak berbelah bahagi, tuah memihak kepada pasukan Saudi yang berjaya ke Piala Dunia,” kata kerajaan melalui akaun Twitter Wawasan 2030 rasminya.

Jepun membawa harapan Asia untuk menyinar dalam saingan Piala Dunia 2018.  (Gambar :  Etsuo Hara/Getty Images)

Bagaimana proses undian dilaksanakan ?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN