Jika Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serius mahu membesarkan saingan Liga Super tahun depan dengan 18 pasukan, badan pengelola tersebut dinasihatkan supaya mengkaji dengan lebih mendalam dahulu sebelum itu.
Datuk Jamal Nasir Ismail selaku bekas pemain kebangsaan serta pemerhati bola sepak negara menyatakan pendirian beliau supaya kajian terlebih dapat dibuat dengan mendalam untuk memastikan perjalanan liga sentiasa lancar dan tidak ada sebarang masalah-masalah yang mampu mengundang tanggapan buruk pada masa akan datang.
Tegas beliau, segala perubahan yang ingin dibuat itu pastinya akan ada beberapa perubahan positif kelak, namun beberapa kesan negatif pastinya akan turut dirasai sekiranya ada beberapa pasukan bertanding yang masih kurang bersedia.
Ulas Jamal dari segi kesan positif, para penyokong boleh merasai pengalaman yang lebih puas untuk melihat lebih banyak perlawanan selain para pemain boleh mendapat lebih minit permainan disebabkan banyak perlawanan setiap minggu.
“Kita kena tengok kemampuan kelab juga bagaimana, ia kerana jika perlawanan makin banyak, semua kos akan meningkat termasuk untuk perbelanjaan ke gelanggang lawan. Jadi adakah peningkatan kos itu mampu di hadapi oleh kelab?
“Ini masalah yang besar, kalau pasukan ini semua ada penaja yang bagus, tak apa. Jadi adakah semua kelab bersedia untuk perubahan tahun depan atau kita bagi ruang mungkin dua tahun yang mana tahun 2025 kita mulakan.
“Tahun 2024 kita nak tengok dulu pendapatan dan penajaan semua kelab banyak mana. Kita tak nak nanti ada banyak kelab pula yang kena bungkus dan ada masalah gaji.
“Berapa kelab saja yang mampu setakat hari ini, bukan kata nak mengecilkan kelab liga kita. Tapi benda macam ini kita jangan cepat untuk buat satu keputusan, kita kena buat kajian secara menyeluruh, bedah siasat satu-satu.
“Tapi liga untuk bawah 17 tahun itu bagus kerana pemain muda dapat pendedahan perlawanan yang kompetitif dan boleh melahirkan pemain yang lebih bersedia untuk kejohanan lebih besar,” katanya kepada BH Sukan.
Dalam masa sama, beberapa persoalan juga timbul daripada Jamal seperti pasukan dari liga mana yang bakal dinaikkan pangkat beraksi di Liga Super sekiranya pemansuhan akan dibuat atas Liga Premier selain hanya mewujudkan liga simpanan atau liga bawah 17 tahun.
Selain itu, pasukan dari Liga M3 juga dianggap Jamal tidak sesuai dek kerana memerlukan lebih perbelanjaan yang besar untuk beraksi di Liga Super.
“Kalau pasukan Liga M3 naik terus, tak bagus. Ia kerana pasukan dari liga ini adalah pasukan yang tidak memiliki pendapatan yang tinggi, kita kena faham. Kalau kata mereka pergi ke Liga Perdana dulu, paling kurang mereka ada lagi ruang untuk bernafas.
“Kalau terus pergi ke Liga Super, dengan keperluan pemain import apa semua, susah. Bola sepak adalah satu proses pembelajaran yang panjang. Tak boleh terus naik, kena satu tangga ke satu tangga.
“Jadi, apabila kita sudah buat satu dasar atau pertandingan baharu, kita tak boleh pusing balik, kita kena terus bergerak ke depan. Bukan kata hari ini kita ada 18 pasukan, esok balik kepada asal,” katanya.