Mengupas Kejadian Sebenar Di Sebalik Kemelut Pendaftaran Pemain Import TRW

Kami mendapat beberapa pertanyaan daripada pembaca kami mengenai isu membabitkan pendaftaran pemain import pasukan The Red Warriors (TRW), Kelantan.

Antara soalan yang sering ditanya kepada kami ialah:

1. Bagaimana FMLLP Boleh Membenarkan Pendaftaran Abou Bakr Al-Mel?

2. Mengapakah FMLLP Menghalang Pendaftaran Seydi L’Imam?

Kami cuba menjelaskannya melalui artikel ini. Namun sebelum itu, mari kita fahami fungsi FMLLP, kronologi kes dan respon pasukan-pasukan terbabit terhadap FMLLP.

Sebelum meneruskan pembacaan, kami juga ingin mengingatkan kepada pembaca kami.

Bahawasanya artikel ini bukan bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak melainkan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada semua pembaca.

Fungsi FMLLP

Apakah itu FMLLP? Pernahkan anda mendengar badan yang dinamakan sebagai Liga de Futbol Profesional (LFP) di Sepanyol?

Ataupun badan yang mempunyai fungsi yang serupa dan dinamakan Deutsche Futball Liga di German atau Premier League untuk saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di England.

Sepertimana badan-badan yang terdapat juga di Sepanyol, German dan England, FMLLP turut mempunyai peranan yang sama seperti badan-badan lain di negara berkenaan.

Mari kita lihat secara spesifik fungsi FMLLP di Malaysia.

Tujuan utama penubuhan badan tersebut adalah untuk membawa pasukan dan Liga Malaysia ke arah penswastaan sepenuhnya.

5 entiti di bawah kendalian langsung badan pengendali ini ialah Liga Super Malaysia, Liga Perdana Malaysia, Piala Malaysia, Piala FA dan juga Piala Sumbangsih.

Secara dasarnya, FMLLP berfungsi untuk membawa bola sepak negara ke depan.

Manakala bagi skop tugasan, FMLLP mempunyai 4 bidang utama untuk dilaksanakan yakni:

1. Menganjurkan dan menyimpan rekod rasmi liga dan piala pertandingan.
2. Menguatkuasakan peraturan bola sepak profesional.
3. Menyelia pembangunan, pensijilan dan pendaftaran pemain bola sepak profesional, jurulatih dan pengadil.
4. Mempromosikan bola sepak profesional di Malaysia melalui penyiaran dan saluran media yang lain.

Kronologi Kes

Melalui bidang tugas yang terdapat pada FMLLP, jelas badan berkenaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua pasukan yang bertanding dalam mana-mana entiti di bawah kendaliannya untuk mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.

Kegagalan pasukan yang bertanding memenuhi ketetapan yang telah digazetkan sebagai peraturan di dalam buku manual pertandingan, bermakna FMLLP mempunyai bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman yang sewajarnya.

Mari kita lihat kronologi kes sebelum hukuman dijatuhkan.

Sebelum sepak mula Liga Malaysia 2017, FMLLP telah menetapkan 31 Disember 2016 sebagai tarikh tutup pengesahan pasukan yang bertanding.

Ini bermakna segala dokumen dan keperluan pasukan membabitkan isu pendaftaran diselesaikan sebelum tarikh tersebut.

Disebabkan  kegagalan pasukan-pasukan untuk menyelesaikan isu pendaftaran, surat peringatan pertama dikeluarkan sebanyak dua kali iaitu pada 27 Januari dan diikuti pada 7 Mac 2017 kepada pasukan-pasukan terbabit.

 

Kedua-dua surat peringatan tersebut turut diikuti oleh panggilan telefon kepada persatuan-persatuan terbabit.

Malah pihak FMLLP memberi peluang kepada semua pasukan-pasukan yang bertanding sehingga tarikh 31 Mac untuk melengkapkan segala dokumen yang diperlukan oleh FMLLP.

Setelah banyak peringatan dikeluarkan oleh pihak FMLLP, akhirnya 4 pasukan iaitu Kelantan, T-Team, Perlis dan ATM dijatuhkan hukuman pemotongan 6 mata.

Reaksi Pasukan Terbabit

Pemotongan mata di dalam Liga Malaysia mendapat pelbagai reaksi di kalangan pengikut dan pengamal bola sepak di Malaysia.

Ramai yang berpendapat ia wajar dilakukan terutama untuk pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji kepada bekas pemain dan pegawai.

Apakah kaitan pendaftaran pasukan dan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan?

Kredit: FMLLP

Untuk melengkapkan proses pendaftaran, setiap pasukan perlu mengemukakan beberapa dokumen. Antaranya ialah Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan KWSP.

Dokumen – dokumen lain yang diperlukan ialah Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Perkeso dan juga Surat Selesai Bayaran/Tunggakan LHDN.

Kesemua dokumen ini perlu dimuatnaik ke dalam sistem Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB). Surat-surat berkenaan selesai bayaran/tunggakan adalah untuk bayaran/tunggakan dari tahun- tahun sebelum tahun 2017.

T-Team, Perlis dan ATM memutuskan untuk menghantar rayuan. Akhirnya pada 25 Mei yang lalu, FMLLP mengurangkan pemotongan 6 mata kepada 3 mata untuk pasukan T-Team dan Perlis.

Bagaimanapun, pasukan ATM memerlukan siasatan lanjut daripada pihak FMLLP sebelum keputusan diambil kemudian.

Pihak FMLLP dan KAFA bertemu di Damansara Perdana. Gambar: FMLLP

Berbeza dengan pasukan lain yang memberi respon dengan segera, KAFA menunggu sehingga 5 Jun untuk mengambil langkah bersemuka dengan FMLLP demi menyelesaikan kemelut ini.

Selepas tempoh itu, KAFA turut berusaha mengemukakan rayuan dan melengkapkan segala dokumen yang dikehendaki oleh FMLLP

Akhirnya pada 19 Jun, FMLLP turut mengurangkan pemotongan mata kepada hanya 3 mata. Namun KAFA tidak dibenarkan mendaftarkan Seydi L’Imam sebagai pemain import.

Bagaimana FMLLP Boleh Membenarkan Pendaftaran Abou Bakr Al-Mel?

Melalui komentar yang ditulis di dalam media sosial, kami mendapati ramai di kalangan pengikut bola sepak tanah air yang tidak memahami bagaimana ini terjadi?

Jawapannya mudah. FMLLP jelas mengikuti peraturannya yang telah ditetapkan.

Peraturan di dalam gambarrajah di atas jelas menyatakan bahawa:

“Pasukan dilarang daripada mendaftar pemain baharu semasa tempoh pendaftaran kedua sehingga perkara berkaitan diselesaikan sepenuhnya.”

“Namun begitu, pasukan-pasukan hanya boleh mendaftar pemain baharu jika pasukan-pasukan memperolehi pendapatan hasil dari pengurangan jumlah pemain yang sedia ada dalam pasukan di mana jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah yang diperolehi hasil dari transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah yang dijimatkan hasil dari pengurangan jumlah pemain keseluruhan.”

Pendaftaran Abou Bakr Al-Mel termaktub di dalam peraturan ini. FMLLP membenarkan pendaftaran Abou Bakr hanya selepas Mohamad Ghaddar dijual ke kelab lain iaitu JDT.

Mohamad Ghaddar. Kredit: Sinar Harian

Jelas penjualan Ghaddar mendatangkan pendapatan hasil dan pengurangan jumlah pemain sedia ada buat pasukan Kelantan.

Kami tidak tahu butiran kewangan yang digunakan oleh KAFA untuk membawa masuk Abou Bakr Al-Mel. Satu perkara yang pasti ialah kos Abou Bakr tidak akan melebihi nilai penjualan Mohamad Ghaddar ke JDT.

Secara konklusinya, pendaftaran Abou Bakr Al-Mel tidak ada masalah.

Mengapakah FMLLP Menghalang Pendaftaran Seydi L’Imam?

Pendaftaran Seydi L’Iman tidak jatuh pada klausa peraturan yang sama, malah ia melanggar peraturan tersebut.

Untuk mendaftarkan L’Imam, Kelantan perlu membuktikan mereka mampu sepertimana pendaftaran Abou Bakr.

Jika Abou Bakr dibawa masuk untuk menggantikan Ghaddar, L’Imam ialah untuk menggantikan Alessandro Celin (gambar bawah). Penjualan Ghaddar memberikan hasil, namun sebaliknya untuk Alessandro Celin.

Berdasarkan kenyataan Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini jelas KAFA perlu membayar pampasan jika pemain tersebut ditamatkan kontrak untuk memberi laluan kepada L’Iman.

Apa pun jenis ‘rundingan aktif’ yang sedang dijalankan oleh KAFA pada masa ini dengan bekas pemain mahupun bekas pegawai pasukan, jelas kemelut hutang masih belum hilang dari kantung persatuan itu.

Keluhan terbaru di media sosial oleh bekas jurulatih Kelantan, Velizar Popov adalah salah satu kemelut yang perlu diselesaikan dengan segera oleh KAFA.

Membawa masuk L’Imam hanya akan menambahkan beban kewangan persatuan terbabit, mengambil kira pampasan Alesandro Celin juga perlu dijelaskan.

Secara konklusinya, FMLLP tidak boleh membenarkan pendaftaran Seydi L’Imam sebagai pemain import baharu sehinggalah segala dokumen berkaitan yang diperlukan oleh badan berkenaan dipenuhi.

Ini juga bermakna, KAFA harus mempunyai pelan pembayaran yang komprehensif dan bukan sekadar ‘rundingan aktif’ yang belum boleh dipastikan kesudahannya.

Rumusan Dan Analogi

Mari kita ikuti sebuah analogi untuk lebih mamahami apa yang berlaku:

Pak Nik ada 2 ekor ikan laga. Ikan laga A dan ikan laga B. Isteri Pak Nik marah bila Pak Nik asyik habiskan duit membeli ikan laga baru. Maka isteri Pak Nik tak bernarkan Pak Nik beli ikan laga baru selagi tak jual ikan laga lama.

Ikan laga A Pak Nik memang hebat. Ada orang Muar tawarkan RM2,000 untuk beli ikan laga A Pak Nik. Pak Nik pun jual dan gunakan RM1,000 untuk beli ikan laga baru,- namanya ikan laga C.

Pak Nik masih untung RM1,000 dan isteri Pak Nik pun gembira. 

Kemudian ikan laga B Pak Nik pula sakit. Tidak ada siapa yang nak beli. Pak Nik tiada pilihan melainkan melepaskan ikan laga B. Pak Nik nak guna baki RM1,000 tadi untuk membeli ikan laga yag baru untuk mengganti ikan laga B.

Isteri Pak Nik tak bagi. Alasannya mudah, Pak Nik tidak membuar sebarang penjimatan kalau beli ikan laga baru yang kedua.

(Photo credit should read LILLIAN SUWANRUMPHA/AFP/Getty Images)

Tidak sukar untuk memahami maksud di sebalik analogi di atas.

FMLLP hanya menjalankan tugas mereka tanpa sebarang prejudis. Tidak wujud isu ketidakadilan, tangan ghaib, dan pelbagai lagi andaian seperti yang diwar-warkan di media sosial.

Kami mengharapkan agar penjelasan ini sedikit sebanyak membantu kefahaman kita mengenai isu pendaftaran pemain import pasukan Kelantan.

Semoga bola sepak Kelantan kembali bangkit!

Sumber:

1. Velizar Popov, Twitter (2017).

2. FMLLP, Facebook (2017): https://www.facebook.com/footballmalaysiallp/posts/1522088944530272:0

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN