Pernah ingat tak pada satu masa dahulu, anda sering melakukan solat hajat untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Jika anda seperti kami, anda pastinya telah lama meninggalkan amalan sunat tersebut kerana kekangan masa atau terlupa.
Tetapi tidak bagi penyokong kelab Super Lig di Turki, Alanyaspor.
Musim 2016/2017 sebenarnya merupakan musim pertama Alanyaspor bermain di Super Lig selepas mencapai promosi dari liga divisyen ke-2 Turki.
Sebagai pendatang baru liga, misi Alanyaspor cuma satu – mengelak penyingkiran liga.
Bagaimanapun mimpi ngeri penyokong Alanyaspor seakan-akan menjadi realiti apabila pasukan mereka kalah 5 daripada 7 perlawanan. Malah Alanyaspor turut hanya menjaringkan 2 gol dalam 4 perlawanan.
Sementara itu penyerang harapan mereka, Vagner Love kemarau gol selama 7 perlawanan berturut-berturut sejak musim 2016/2017 bermula.
Melihat situasi ini, penyokong Alanyaspor melakukan solat hajat beramai-ramai.
Mereka turut mengupah imam profesional untuk mengetuai solat hajat dan bacaan doa supaya Love diberikan gol yang banyak dan pasukan mereka beraksi baik dalam liga.
Vagner Love merupakan penyerang baru Alanyaspor yang berhijrah dari AS Monaco. Penyerang Brazil berusia 32 tahun itu terkenal dengan ketajaman penyudahnya di depan gol semasa bermain di CSKA Moscow.
Hasil solat hajat?
Hasil doa dan solat hajat penyokong Alanyaspor hanya mula dapat dilihat pada 2 minggu selepas itu (pada perlawanan liga ke-10).
Dalam kemenangan 4-3 menentang Gaziantepspor di halaman sendiri, Vagner Love menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit 89′. Gol ini juga merupakan gol pertamanya untuk musim 2016/2017.
Pada akhir musim, Love telah menjaringkan 23 gol dalam 28 perlawanan liga – sekaligus menjadikannya penjaring terbanyak liga.
Alanyaspor pula selamat di tangga ke-12 liga daripada keseluruhan 18 pasukan.
Mungkin ini petanda jelas bahawa kami perlu kerap melakukan solat hajat semula.