Penyerang utama Terengganu, Ivan Mamut antara yang bakal mencuri tumpuan untuk aksi malam ini membabitkan Sang Penyu bertemu Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super 2023.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu jelas mempunyai kelebihan besar untuk mendapat sorakan padu daripada penyokong mereka sepanjang perlawanan berlangsung.
🏴🏳️ HARI PERLAWANAN LIGA SUPER MALAYSIA 2023 : TERENGGANU FC VS NEGERI SEMBILAN FC 🏴🏳️
TERENGGANU FC VS NEGERI SEMBILAN FC
📆 28 Julai 2023 – Jumaat
⏰ 9.00 pm
🏟 Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin📲Pembelian boleh melalui dari aplikasi Terengganu FC yang boleh dimuat turun… pic.twitter.com/B105D9Th3z
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) July 28, 2023
Apatah lagi tempoh persiapan mereka yang panjang memberi ruang buat Tomislav Steinbruckner untuk menilai kelemahan semasa para pemain serta membuat percaturan lebih rapi untuk Terengganu.
Tampil seri tanpa jaringan pada perlawanan lalu ketika bertemu PDRM, ia menjadi masalah besar buat Steinbruckner sebenarnya untuk mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan Terengganu musim ini.
Biarpun memiliki rantaian pemain serangan yang berkualiti seperti Mamut, Adisak Kraisorn, Sony Norde, serta bintang tengah serangan mereka iaitu Nurillo Tukhtasinov, mereka seolah gagal untuk menterjemahkan setiap peluang kepada gol.
Maka, perkara tersebut sudah tentu ingin diatasi pengendali dari Croatia itu pada aksi seterusnya berdepan Negeri Sembilan untuk memastikan kemenangan kembali berpihak kepada mereka.
Mamut dijangka bakal menjadi sandaran penting Steinbruckner untuk dibawa turun dalam kesebelasan utama selaku tunjang serangan Sang Penyu untuk menggempur kubu pertahanan lawan.
Suka atau tidak, Mamut menjadi antara pemain yang sangat berpengaruh di posisi serangan dalam setiap aksi membabitkan beliau ketika dibawa turun oleh Steinbruckner
Daripada 13 perlawanan dihadapi Adisak, pemain ini telah pun meledak lima gol secara keseluruhan bersama 17 percubaan tepat dengan kadar 42.5% ketepatan.
Walaupun dikritik segelintir penyokong Sang Penyu yang tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Mamut, pemain ini kadangkala beraksi sangat baik dalam sesetengah perlawanan jika mempunyai ruang serta diberi lebih sokongan.
Tampilnya Nurillo bersama Terengganu pada pertengahan musim ini, dijangka prestasi Mamut juga akan meningkat menerusi sokongan pemain kebangsaan Uzbekistan itu di bahagian belakang untuk mencipta umpanan-umpanan berbahaya.
Welcome Ivan Mamut 🏴🏳️#TerengganuFC pic.twitter.com/WIxC1FCtfP
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 4, 2023
Apapun, cabaran Negeri Sembilan juga tidak boleh dipandang ringan walaupun mereka kini tampil dengan masalah kekurangan pemain import serta isu kecederaan beberapa tonggak utama.
Menerusi rekod perlawanan sebelum ini, Negeri Sembilan telah pun mencipta kejutan dengan siri kemenangan dilakar untuk mengatasi Terengganu ketika perlawanan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Pastinya K. Devan juga sudah pun mempunyai rencana tersendiri untuk memastikan Negeri Sembilan sekurangnya tidak pulang dengan tangan kosong dari gelanggang lawan untuk aksi ini.