Kelab komuniti dari Shah Alam, SA United mengharapkan kudrat pemain import Sudan mereka (bawah) untuk menyaingi kekuatan pasukan pilihan, Banggol Tokku menjelang aksi kelayakan Shopee Piala FA 2019 di Kuala Berang, Terengganu esok.
Ini berikutan perpindahan penyerang Mesir, Abdelrazzag Alkanouni dari kelab itu ke pasukan Liga Premier Mesir, El Entag El Harby SC.
SA United yang diurus oleh Nadzry Abu Bakar mengaku persiapan pasukannya dibuat agak tergesa-gesa memandangkan pasukannya sukar mengadakan latihan kerana masalah komitmen pemain-pemainnya yang banyak terlibat dalam Liga Selangor, FAS League. “Sejak tahu kita main dalam Shopee Piala FA 2019, kami hanya sempat mengadakan 3 perlawanan persahabatan sahaja untuk mempersiapkan pasukan,” kata beliau kepada Semuanya BOLA.
Nadzry turut memberitahu hanya 50% skuadnya yang bermain ketika kempen Shah Alam League M5 pada tahun lepas akan dibawa ke Kuala Berang, manakala selebihnya diisi oleh pemain-pemain baru. “Tapi pemain-pemain baru ini ada 3-4 orang yang saya naikkan pangkat mereka dari skuad SA United II. Jadi saya gembira kerana tercapai objektif saya ketika menubuhkan SA United II iaitu untuk menjadi development squad kepada SA United.”
Kelab komuniti yang ditubuhkan sejak 18 tahun ini mengaku berwaspada dengan kekuatan tuan rumah. Nadzry menyifatkan Banggol Tokku adalah pasukan pilihan dalam perlawanan esok. “Banggol Tokku merupakan juara Piala Terengganu Amateur League (TAL) 2018. Ini sahaja menunjukkan mereka pasukan yang kuat.”
Banggol Tokku yang dilatih oleh bekas penyerang MPPJ FC, Haris Safwan Kamal merupakan sebuah pasukan komuniti dari Kampung Banggol Tok Ku, Kuala Terengganu.
Aksi kelayakan Shopee Piala FA 2019 antara Banggol Tokku menentang SA United akan berlangsung pada jam 4.15 petang esok di Padang Astaka Kuala Berang, Hulu Terengganu.