Bercakap kepada Berita Harian, pertahanan berpengalaman negara, Adil Zafuan Abd Razak menjelaskan kegagalan untuk berada pada prestasi terbaik sebagai punca kekalahan kepada Vietnam.
Malaysia tewas tipis 0-1 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi, hasil jaringan Nguyen Quang Hai pada minit ke-40 untuk memusnahkan hasrat besar Harimau Malaya.
Ada yang menyatakan keadaan rumput yang panjang telah menyukarkan skuad negara bermain seperti biasa namun, bagi Aidil Zafuan, Vietnam juga bermain di padang yang sama.
“Kita tidak boleh beri alasan faktor padang kerana Vietnam pun main tempat [padang] sama. Tidak ada alasan lain kecuali kita gagal sampai tahap yang diinginkan. Ada beberapa kelemahan yang perlu kita baiki,” ujar pertahanan berusia 32 tahun itu.
Ini kekalahan kedua buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam kempen kelayakan ini dan kali pertama skuad negara gagal memberikan aksi yang boleh dibanggakan oleh penyokong.
Malaysia tewas 1-2 kepada UAE dengan satu persembahan yang baik sementara kemenangan ke atas Indonesia diperolehi hasil semangat melawan yang amat tinggi sepanjang perlawanan.
“Kalau tengok kepada keputusan dan prestasi, apa yang kita buat secara keseluruhannya nyata berpihak kepada Vietnam. Kita tidak bermain permainan yang biasa kita amalkan sebelum ini.
“Kita kena terima yang malam ini [malam tadi], kita tidak sampai [kepada] prestasi yang dimahukan. Apa pun inilah bola sepak.
“Mungkin ada sesetengah pemain gugup dan Vietnam tidak beri peluang langsung kepada kita untuk jaringkan gol. Secara tidak langsung membuatkan kami buntu,” tambahnya lagi.
Tan Cheng Hoe membuat kejutan apabila Halim Saari mengambil alih posisi Nor Azam Azih yang mengalami kecederaan semasa di kem latihan skuad negara menjelang aksi ketiga kumpulan itu.
Begitupun, pemain berusia 24 tahun itu gagal mempamerkan aksi baik dan mengisi kekosongan yang ditinggalkan selain prestasi di bawah tahap sebenar beberapa pemain-pemain lain.
“Selepas ini kita kena menang dengan Thailand dan Indonesia di gelanggang sendiri,” tekadnya yang mahukan tiga mata penuh di Bukit Jalil dalam dua aksi kelayakan pada bulan hadapan.
Kredit Featured Image: Ngoisao