Jaringan menerusi sepakan penalti yang dihasilkan Lionel Messi dan Luis Suarez berjaya membantu pasukan masing-masing memenangi aksi sulung pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan (CONMEBOL).
Pada aksi yang berlangsung La Bombonera, Argentina masih mampu tersenyum walaupun tidak mampamerkan aksi menarik selepas mencatatkan kemenangan 1-0 hasil jaringan Messi pada minit ke-13 itu.
Sepakan penalti Argentina itu diperoleh selepas pemain pertahanan, Pervis Estupinan melakukan terjahan keras ke atas Lucas Ocampos dan pengadil perlawanan, Roberto Tobar tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan tersebut.
Walaupun penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez sudah menerbangkan badan ke arah yang tepat, tetapi sepakan deras dilakukan oleh Messi berjaya menghasilkan jaringan sekali gus tiga mata penuh buat Argentina.
Sementara itu di Estadio Centenario, Montevideo, Uruguay yang dibimbing Oscar Tabarez dihadiahkan sepakan penalti susulan hantaran lintang cuba dilakukan Brian Rodriguez terkena tangan pemain pertahanan, Sebastian Vegas dalam kawasan penalti.
Pemain Chile yang membantah keputusan tersebut hampa apabila Video Assistant Referee (VAR) tetap memberikan sepakan penalti buat Uruguay. Suarez yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk meletakkan Uruguay di hadapan pada minit ke-39.
Kedudukan kembali terikat pada minit ke-55 selepas Alexis Sanchez yang membuat larian menarik ke dalam kawasan penalti bagi mendapatkan bola hantaran Charles Aranguiz, dengan tenang menewaskan penjaga gol, Martin Campana.
Maximiliano Gomez muncul wira buat Uruguay apabila percubaan dari luar kawasan penalti yang diledakkannya pada masa kecederaan tidak mampu dihalang penjaga gol Chile, Gabriel Arias untuk memastikan La Celeste meraih kemenangan sulung.
Kredit featured image: Marcelo Endelli/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Messi dan Suarez: