RASMI: Suarez Bawa Diri Ke Atletico Madrid

Luis Suarez Barcelona Atletico Madrid

Atletico Madrid berjaya mendapatkan Luis Suarez dari pesaing La Liga, Barcelona dengan penyerang Uruguay tersebut bersetuju untuk menandatangani kontrak selama dua tahun.

Perkembangan tersebut mengakhiri teka-teki mengenai masa depan Suarez yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Itali, Juventus berikutan pengurus baharu Barca, Ronald Koeman yang telah memintanya mencari kelab baharu kerana tiada dalam perancangan untuk musim baharu.

Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan di laman web rasmi, kelab Catalan tersebut memaklumkan pihaknya akan menerima bayaran sebanyak €6 juta berserta beberapa bonus tambahan dari Atletico Madrid bergantung kepada prestasi Suarez.

“FC Barcelona ingin menyatakan penghargaan buat Luis Suarez di atas komitmen serta dedikasinya sepanjang bersama kelab ini dan mengucapkan semoga berjaya pada masa hadapan.”

Sejak menyertai Barcelona dari Liverpool pada 2014, Suarez telah memenangi 13 kejuaraan sepanjang enam musim dan telah menyumbang 198 gol dalam 283 penampilan yang menjadikannya penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah kelab di belakang Cesar dan Lionel Messi.

Kontraknya bersama Barcelona sebelum ini akan tamat pada musim panas 2021, namun kelab tersebut bersetuju untuk menamatkan kontraknya lebih awal bagi membolehkan beliau melengkapkan perpindahan ke Wanda Metropolitano.

Dalam perkembangan lain, Juventus dilaporkan semakin hampir untuk kembali membawa pulang Alvaro Morata dari Atletico Madrid secara pinjaman setelah melepaskan Gonzalo Higuain baru-baru ini.

Kredit Foto: FC Barcelona

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Sepanyol:

Leave a Reply