Selepas insiden diintip media Malaysia ketika sesi latihan di UM Arena, Petaling Jaya, Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) dan pengendali, Akira Nishino memilih untuk menyewa sendiri tempat untuk sesi latihan di Vietnam menjelang aksi bertemu Vietnam.
Thailand dijadualkan akan turun menentang pendahulu Kumpulan G, Vietnam untuk aksi ke-5, kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023 pada Selasa depan, di Stadium My Dinh, Hanoi.
Menurut laporan Zing.vn, mengikut perancangan asal, Thailand dijadualkan akan berlatih di Viettel Sports Center pada jam 6.00 petang (waktu tempatan), namun akhirnya telah dibatalkan oleh Akira Nishino pada saat-saat akhir, 45 minit sebelum sesi.
Pihak Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) nyata kecewa dengan tindakan Thailand yang mahu menyewa sendiri tempat latihan.
“Thailand langsung tidak bekerjasama dengan VFF untuk urusan persediaan tempat latihan. Malah mereka turut dikatakan mahu menyewa sendiri tempat latihan dan hanya akan berlatih di Stadium My Dinh pada Isnin depan sahaja,” ujar wakil VFF.
Viettel Sports Center telah bersedia untuk menerima kem Thailand untuk sesi latihan, malah 30 minit sebelum sesi bermula, lampu di pusat latihan tersebut telah dibuka oleh pihak pengurusan.
Gajah Perang hanya dilihat berada di sekitar hotel penginapan dan hanya membuat latihan ringan. Menurut FAT, sesi latihan akan mula dijalankan oleh Akira Nishino pada 17 November (hari ini).
Begitupun, menurut laporan Siam Sports, Thailand membatalkan sesi latihan pertama sejurus tiba di Vietnam atas sebab keletihan.
“Semua pemain sangat penat selepas tiba di Hanoi dari Kuala Lumpur. Malah, pusat latihan juga agak jauh daripada hotel iaitu hampir 40 kilometer, sejam perjalanan dengan kereta. Jadi, saya mahu para pemain berehat,” ujar Akira Nishino.
Thailand dan Vietnam akan bertembung untuk aksi seterusnya, boleh dianggap sebagai aksi penting untuk kedua-dua pasukan. Dalam pertembungan pertama di Stadium Thammasat pada awal September, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Ketika ini, Vietnam adalah pendahulu kumpulan dengan 10 mata, diikuti Thailand dengan tujuh mata. UAE dan Malaysia berkongsi enam mata di kedudukan ketiga dan keempat kumpulan. Indonesia di dasar liga tanpa sebarang kemenangan dan mata.
Kredit Featured Image: Zing.vn