Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia: Corak Permainan Pantas Jadi Taruhan Timor Leste

Jurulatih Timor Leste, Norio Tsukitate mengakui tugas sukar bakal menanti anak buahnya apabila dijadualkan menentang skuad Harimau Malaya pada aksi aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Beliau juga sempat menonton perlawanan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketika menentang Nepal dan menyifatkan corak permainan Malaysia kali ini lebih tersusun.

“Saya menonton perlawanan di antara Malaysia dan Nepal. Corak permainan Malaysia sangat tersusun dan hampir mendominasi 90 peratus perlawanan.

“Namun, Nepal juga menghadirkan ancaman dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

“Saya berasakan ia satu situasi sulit buat Malaysia ketika itu tetapi Malaysia bersikap tenang sebelum meraih gol melalui sepakan penalti dan sepakan percuma,” katanya dalam Stadium Astro.

FOTO: FAM

Bagaimanapun, Tsukitate sudah ada perancangannya yang tersendiri dan sedia melakar kejutan untuk mara ke pusingan kedua kempen kelayakan itu.

“Saya sudah berpesan kepada anak buah supaya kerap menyerang dan melakukan larian ke belakang pertahanan lawan.

“Kami perlu memikirkan soal serangan sambil kembali ke posisi apabila diasak,” tambahnya.

Namun, keadaan cuaca hujan di sekitar lembah klang sejak beberapa hari kebelakangan ini mencetuskan kegusaran pengendali dari Jepun itu.

Dia mengharapkan cuaca malam ini tidak menjadi penghalang utama kepada anak buahnya untuk menampilkan corak permainan yang lebih baik.

“Kalau hujan lebat, saya belum pasti lagi.

“Mungkin saya perlu berpesan kepada anak buah supaya jangan lupakan ‘sabun dan syampu’,” selorohnya dalam sidang media pra-perlawanan semalam.

Kali terakhir Malaysia bertemu Timor Leste ialah pada tahun 2016 dimana skuad kendalian Nelo Vingada ketika itu mencatat kemenangan 3-0 (agregat 6-0) dalam perlawanan play-off kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Larkin.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!