Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sedar pertemuan kali ini berbeza berbanding aksi final Piala AFF tahun lepas dan mengakui pasukannya lebih bersedia menjelang pertembungan dengan Vietnam dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Khamis ini.
Penyediaan padang latihan skuad negara di depan kediaman jurulatih Vietnam, Park Hang-seo menimbulkan persoalan seperti Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mahu memberi kelebihan kepada pasukan Naga Emas tersebut.
“Sesi latihan semuanya berjalan lancar dan paling penting pemain bebas daripada kecederaan. Sudah pasti motivasi pemain berada dalam keadaan yang positif selepas melakar kemenangan 6-0 ke atas Sri Lanka.
“Kekalahan pada perlawanan final Piala AFF tahun lalu dan aksi Khamis nanti adalah pentas berbeza namun dari situ secara tidak langsung memberi gambaran sedikit sebanyak kekuatan lawan.
“Berlatih di depan kediaman jurulatih Vietnam sudah tentu buat kita tidak selesa tetapi itu yang disediakan tuan rumah dan kita menjalankan latihan seperti biasa,” katanya selepas sesi latihan skuad negara di Hanoi.
Kelewatan dua pemain Vietnam, Cong Phuong dan Doan Van Hau tiba di kem latihan pasukan kerana masalah penerbangan bukan satu kelebihan buat pasukan negara jelas Cheng Hoe.
“Kita lebih mementingkan persiapan pasukan negara daripada fikir tentang masalah pasukan lawan yang tidak memberi apa-apa kesan kepada kita.
“Benar dua pemain itu bakal beri ancaman kepada kita tetapi kita juga sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan ini,” ujarnya.
Penyerang Vietnam, Cong Phuong yang bermain buat kelab Belgium, Sint-Truiden tiba di Hanoi semalam manakala pertahanan, Van Hau yang bermain bersama Heerenveen terpaksa transit sehari di Rusia ekoran cuaca buruk .