Ali Ahmed Mabkhout memusnahkan harapan skuad negara untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata apabila dua jaringannya membantu Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatatkan kemenangan pertama dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ,sebentar tadi.
Bagaimanapun, semangat juang tinggi yang dipamerkan pasukan negara wajar diberikan pujian kerana mereka tidak memberikan laluan mudah buat UAE.
Berdepan lawan yang memiliki reputasi hebat dan menduduki ranking ke-65 dunia bagaimanapun langsung tidak menggentarkan barisan anak buah Tan Cheng Hoe pada perlawanan ini dengan mempamerkan corak permainan menekan pasukan pelawat.
Ia dibuktikan ketika perlawanan baru berusia 33 saat apabila hantaran lintang cantik dari sebelah kiri pintu gol UAE dilakukan Matthew Davies berjaya ditanduk masuk Muhammad Syafiq Ahmad.
Jaringan tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat juang pemain negara dalam usaha menambah jaringan hasil beberapa gerakan berbahaya ke kubu UAE yang dikawal Khalid Eisa Bilal.
Syafiq hampir sekali lagi membuatkan penyokong negara bersorak riang, namun tolakannya pada minit ke-14 susulan hantaran lintang Davies sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol UAE.
Dalam keghairahan skuad negara memberikan tekanan, UAE menghadirkan ancaman bahaya pada minit ke-29 menerusi Ali Ahmed Mabkhout.
Ali yang menerima hantaran daripada Khalil Ibrahim Alhammadi hanya berhadapan dengan Farizal Marlias di hadapan pintu gol tetapi kapten skuad negara itu lebih bersedia untuk menafikan percubaan rendah dilepaskan.
Kehampaan penyerang berusia 28 tahun itu ditebus pada minit ke-43 selepas beliau berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran Mohamed Saleh Almenhali dari sebelah kiri pintu gol negara.
Brendan Gan terlepas peluang untuk kembali meletakkan skuad negara dihadapan pada masa kecederaan babak pertama apabila tandukannya ketika situasi sepakan penjuru berjaya dihalang Khalid Eisa.
Ali Mabkhout sekali lagi menghukum skuad negara pada minit ke-75 setelah kelalaian jentera pertahanan di tengah padang membolehkan beliau meluru pantas ke pintu gol sekaligus menewaskan Farizal Marlias untuk kali kedua.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain negara cuba bangkit menggandakan asakan bdalam mencari jaringan penyamaan.
Usaha tersebut hampir membuahkan hasil pada minit ke-79 menerusi Safawi Rasid tetapi rembatannya hanya singgah di tiang gol.
Tekanan hebat terus dilancarkan pada lewat permainan terutamanya menerusi percubaan luar kawasan penalti dilepaskan Brendan tetapi ia belum cukup untuk menghadirkan jaringan penyamaan untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 memihak skuad bimbingan Bert Van Marwijk itu.
Pemain terbaik perlawanan: Ali Ahmed Mabkhout (UAE)
Kredit foto: Aremilworks