Malaysia gagal untuk meneruskan aksi positif mereka dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan E bagi aksi kelayakan Piala Asia 2023 setelah merekodkan kekalahan pertama di tangan Bahrain dengan keputusan penuh 1-2.
Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), nyata skuad kebangsaan tidak berupaya untuk mencipta kemenangan kedua berturut-turut setelah mereka berhasil mengejutkan Turkmenistan sebelum itu pada perlawanan pertama.
Carta Kedudukan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023
* Selepas Hari Perlawanan 2 pada Sabtu, 11 Jun 2022
BANGLADESH 🇧🇩 1-2 🇹🇲 TURKMENISTAN
MALAYSIA 🇲🇾 1-2 🇧🇭 BAHRAIN▶️ Malaysia akan bertemu Bangladesh pada Selasa, 14 Jun 2022#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/6FQo8e3RVn
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 11, 2022
Walaupun tampil dengan corak permainan yang cemerlang, beberapa kesilapan dibuat sepanjang perlawanan menyebabkan Bahrain bijak mengambil peluang untuk mengetepikan cabaran Malaysia.
Berikut tiga pemain yang menjadi faktor di sebalik kekalahan Malaysia kepada Bahrain semalam walaupun mempunyai peluang pada awalnya untuk meraih tiga mata penuh.
Kemasukan de Paula lebih menyusahkan rakan sepasukan
Kesilapan yang tidak sepatutnya dibuat Pan-gon apabila memasukkan Guilherme de Paula bagi menggantikan khidmat Darren Lok.
Seperti diakui, intensiti permainan Malaysia ketika itu agak tinggi dan kemasukan pemain sepatutnya seperti Faisal Halim yang dianggap mampu untuk mencipta sesuatu sambil membiarkan Syafiq Ahmad selaku penyerang utama.
Namun sebaliknya berlaku setelah kemasukan de Paula nyata gagal untuk membantu serangan negara dengan baik selain melepaskan banyak bola umpanan rakan sepasukan.
Saat skuad kebangsaan terdesak ingin mencari gol penyamaan sekurangnya, kelibat de Paula dilihat agak santai dan tidak cuba membuat larian memerangkap pertahanan lawan untuk membuka ruang.
Apakah yang sedang difikirkan Pan-gon ketika itu dengan memasukkan de Paula saat intensiti serangan sedang ditingkatkan?
Junior Eldstal terlalu perlahan selaku pertahanan negara
Pertahanan tersebut buat pertama kali diberi peluang selaku kesebelasan utama dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 ini bagi bergandingan bersama Dion Cools.
Kelebihan Junior terletak pada fizikal beliau yang tegap serta ketinggian baik untuk merebut bola di udara.
Menyedari banyak hantaran tinggi sering dipatahkan oleh Junior, maka Bahrain menukar pelan permainan kepada corak hantaran pendek dan menyusup ke dalam kawasan pertahanan Malaysia menerusi larian deras.
Maka, dari sini Junior mula menghadapi masalah untuk bersaing bersama pemain lawan merebut bola serta menutup ruang daripada dibolosi dan menjadi antara punca bolos gol pertama perlawanan.
Kelemahan Junior pada perlawanan semalam jelas ketara selain faktor stamina yang menyebabkan beliau tidak banyak dapat memberi sumbangan kepada pertahanan negara di separuh masa kedua.
Farizal Marlias ranapkan impian satu mata buat Malaysia
Walaupun secara asasnya Farizal memberi aksi yang agak baik, namun disebabkan kesilapan penjaga gol ini yang membuat kekasaran dalam petak penalti menjadi punca mengapa Bahrain berjaya menjarakkan kedudukan bersama Malaysia.
Jika diperhalusi situasi tersebut, Farizal tidak perlu sebenarnya untuk melakukan kekasaran tersebut setelah pemain lawan ketika itu tidak berada dalam posisi yang terlalu membahayakan pintu gol lawan.
Tambahan lagi, Farizal merupakan seorang kapten pasukan dan kelibatnya tidak begitu dirasai selaku seorang pemimpin di atas padang.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Malaysia masih beraksi dengan sangat bagus untuk menguasai permainan serta mengelakkan diri daripada dibuli Bahrain yang rata-ratanya lebih bagus dari segi kualiti pemain.
Kelemahan skuad kebangsaan malam ini lebih pada individu pemain berbanding corak permainan yang dilihat masih menghiburkan walaupun ada perubahan besar dalam kesebelasan utama pemain.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan E • Kelayakan Piala Asia 2023 | Sabtu, 11 Jun 2022
MALAYSIA 🇲🇾 1-2 🇧🇭 BAHRAIN
⚽️ Mohamadou Sumareh 55'
⚽️ Ali Haram 57' Abdulla Yusuf Helal 81' (P)#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/haL2PW5AKR— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 11, 2022
Kemenangan aksi terakhir menentang Bangladesh sahaja bakal menghidupkan kembali peluang Malaysia untuk mara ke saingan Piala Asia secara merit pada tahub hadapan.
Kredit foto: FAM