Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid akan memakai lilitan kapten dalam kempen kelayakan AFC B-23 bermula pada malam ini berdepan Filipina B-23 di Stadium Shah Alam.
Amanah yang diberikan oleh pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee dilihat langkah yang tepat berdasarkan pengalaman pemain itu di pentas antarabangsa dan kemampuan membimbing rakan sepasukan mencapai kemenangan.
Pemain tengah skuad itu, Danial Amier Norhisham, menyokong pemilihan Safawi dan menganggap pemain kelahiran Terengganu itu sememangnya layak diangkat sebagai ketua mereka di atas padang.
“Jurulatih nampak apa yang ada pada diri Safawi. Saya menyokong dan fikir dia layak untuk mengetuai pasukan kali ini,” katanya.
Daniel turut tidak berdepan masalah untuk membentuk gandingan mantap di bahagian tengah bersama Nik Akif Syahiran Nik Mat walaupun sebelum ini kerap berganding dengan tonggak Pahang, Nor Azam Azih.
“Semua orang tahu kami mensasarkan untuk ke pusingan akhir di Thailand, jadi kami akan beri yang terbaik,” tambah Daniel.
“Sebelum ini, Nik Akif sudah berada dalam pasukan B-23, jadi perkara itu tidak menjadi masalah untuk mendapatkan keserasian,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro
Selepas menentang Filipina, skuad Malaysia akan berdepan dua lagi pencabar, Laos dan China di stadium yang sama. Juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat/lima pasukan tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.
Empat pemain telah digugurkan daripada senarai awal 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bermula 10 Mac lalu iaitu Kogileswaran Raj (Pahang), Nazirul Afif Ibrahim (Perak), Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC) dan Ariusdius Jais (Sabah).
China satu-satunya pasukan bukan dari benua Asia Tenggara dalam kumpulan itu tatkala jurulatihnya iaitu Guus Hiddink hadir dengan reputasi hebat, pernah membawa Korea Selatan ke separuh akhir Piala Dunia 2002.
Namun, Hiddink tidak mahu memandang rendah cabaran pesaing dalam kumpulan J seperti Malaysia dan Filipina.
“Tidak adil untuk membandingkan dengan pasukan berstatus bintang yang beraksi dalam Piala Dunia buat sedekad lamanya tetapi saya akui mutu bola sepak Asia Tenggara telah meningkat naik,” kata Hiddink.