Quantcast

BERITA

Piala AIRMARINE: Sumareh Janji Pamer Aksi Terbaik Berdepan Afghanistan

Meskipun gagal ke perlawanan akhir dalam edisi sulung Piala AIRMARINE, skuad Harimau Malaya tidak berputus asa dan tekad bangkit pada perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat menentang Afghanistan di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Menurut pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, beliau mengakui keputusan 0-1 kepada Singapore dua hari lalu sangat mengecewakan kerana memberi kesan kepada kedudukan ranking dunia.

Situasi itu menjejaskan peluang negara untuk mendaki sekurang-kurangnya ke tangga ke-34 Asia bagi mengelak aksi play-off kelayakan Piala Dunia 2022.

“Ini satu keputusan yang mengecewakan buat kami, penyokong dan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kerana menjangkakan aksi memberangsangkan daripada kami berikutan tahu kemampuan sebenar kami.

“Kami perlu pandang ke hadapan dan fokus kepada aksi yang seterusnya,” katanya dalam Stadium Astro.

FOTO: FAM

Sementara itu, ketua pasukan kebangsaan, Zaquan Adha sedar dia dan rakan sepasukan perlu meningkatkan usaha untuk mengembalikan kepercayaan penyokong Sabtu ini.

“Saya sendiri tidak dapat memanfaatkan peluang terhidang, apapun dalam bola sepak saya tidak boleh berputus asa.

“Kami perlu kembalikan sisa semangat untuk bangkit dalam aksi kedua Piala Airmarine,” ujar Zaquan.

Bagi pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe beliau menyifatkan ketiadaan beberapa tonggak utama yang tidak menyertai skuad itu menjejaskan corak permainan mereka seperti yang dipamerkan ketika saingan Piala AFF tahun lalu.

“Kami tempa kejayaan atau tanggung kekalahan bersama-sama.

“Sudah tentu pemilihan pemain terletak di tangan saya tetapi separuh daripada pemain utama tidak dapat bersama (kami malam ini) dan ia sedikit-sebanyak menjejaskan momentum kami,” ujar Cheng Hoe.