Ketika pasukan-pasukan lain sedang rancak mengumumkan kemasukan pemain-pemain baharu, Kelantan United FC (KUFC) masih menunggu status kelulusan sijil pelesenan kelab dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membolehkan pasukan itu beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.
KUFC akan bersaing di Liga Premier buat kali pertama dalam sejarah pasuan itu pada musim depan selepas dimahkotakan kejuaraan Liga M3 pada musim ini.
Memetik laporan Bernama, Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman berkata, pihaknya sudah pun menyerahkan segala dokumen yang diminta oleh pihak FAM untuk dinilai.
Kelantan United: Sepak Mula 28 Februari Beri Ruang Pasukan Lakukan Persediaan Terbaik – https://t.co/t47K6df8mq pic.twitter.com/KFfT9AbD7g
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 13, 2019
“Kami menunggu keputusan dari badan induk itu paling awal pada Januari depan bagi membolehkan kami mengumumkan senarai penuh pemain yang membarisi pasukan musim depan.
“Pada dasarnya selepas pertemuaan dengan wakil FAM minggu lalu, kami tiada masalah berikutan tidak menanggung beban hutang yang menjadi antara syarat yang ditetapkan oleh FAM bagi kelulusan perlesanan kelab,” katanya.
Ujar Wan Mohd Zul lagi, persiapan KUFC bagi melengkapkan senarai pasukan yang akan beraksi pada musim depan kini berjalan lancar namun perlu menunggu keputusan FAM untuk membolehkan mereka mengambil pemain-pemain baharu.
Namun demikian, pasukan yang berpangkalan di Kota Bharu itu telah membuat keputusan untuk mengekalkan sebahagian besar pemain sedia ada dan juga ketua jurulatih Zahasmi Ismail yang telah membantu pasukan itu pada musim ini.
“Pasukan ketika ini dalam sesi percubaan beberapa pemain import dan pemain tempatan bagi mencari pemain yang mempunyai kualiti yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan pasukan.
“Hampir 60 peratus pemain musim ini dikekalkan termasuk seorang import dari Gambia, Gassama Alfussainey yang bermain di posisi penyerang, katanya.
Tambah beliau lagi, warna merah hijau akan dikekalkan sebagai warna rasmi pasukan dan mereka akan mengumumkan gelaran yang akan digunakan. Sebelum ini KUFC menggunakan gelaran ‘Sang Kijang Hijau’.
Kredit Foto: Kelantan United Football Club