Hasrat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk memperkenalkan logo baharu pasukan The Red Warriors (TRW) pada musim depan terpaksa ditangguhkan pada tahun 2019.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pada awalnya hasrat berkenaan mahu dilakukan musim depan namun ia terpaksa ditangguhkan kerana kekangan masa bagi mendaftarkan logo terbaru.
Beliau bercakap kepada berita harian, logo tersebut akan diperkenalkan pada masa yang sesuai.
“Bagi musim baru tahun hadapan kita masih lagi menggunapakai lambang sedia ada kerana pengenalan logo baharu ini memerlukan sedikit masa sedangkan masa yang kita ada sudah suntuk.
“Logo yang baharu ini akan diteliti sebaik mungkin dengan mengekalkan keaslian lambang negeri Kelantan selain ia tidak terlalu moden,” katanya.
Sebelum ini, akhbar tempatan berita harian melaporkan Kelantan bakal memperkenalkan logo baharu TRW sebelum menjelang Liga Super musim depan.
Bagaimanapun dalam laporan sama, KAFA belum membuat keputusan untuk menukar nama pasukan dan masih mengekalkan TRW sebagai identiti pasukan bola sepak Kelantan.
Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata, keputusan terbaru ini juga dilakukan kerana urusan menyiapkan jersi pasukan sudah bermula sedangkan logo baharu belum didaftarkan.
Katanya, urusan penjenamaan semula memerlukan masa kerana ia turut membabitkan proses pendaftaran.
“Logo baharu nanti kita akan daftar dulu sebelum ia dilaksanakan pada pasukan jadi kekangan sekarang adalah masa kerana persiapan jersi pasukan sudah bermula dan kita mengambil keputusan untuk menggunakan logo sedia ada pada jersi 2018 nanti,” katanya