Prestasi tidak menentu pasukan Kelantan dalam 3 perlawanan awal saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 memaksa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan membuat penilaian semula ke atas jurulatih pasukan itu, Sathit Bensoh.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan mencari jurulatih baharu sekiranya Sathit gagal melakukan perubahan pada perlawanan yang akan datang.
“Kita tengok keadaan, sebab banyak benda akan berubah (selepas ini). Kalau tahap permainan masih ditakuk sama, tak mustahil kita akan ambil jurulatih lain.
“Kita dah tengok (penilaian) dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kemungkinan besar 50-50 untuk tukar jurulatih baru,” katanya kepada Sinar Harian.
Bibi Ramjani turut mengesahkan, beliau sudah kenal pasti calon jurulatih sesuai yang akan mengemudi Kelantan namun enggan mendedahkan identiti individu berkenaan, buat masa ini.
“Saya sudah jumpa dengan jurulatih itu dan mengadakan perbincangan mengenai terma dan syarat kontrak termasuk soal gaji dan dia tak ada apa-masalah (bersetuju).
“Kita perlukan seorang jurulatih yang mempunyai karakter tegas. Kita tak mahu pemain pijak kepala jurulatih dan sebab itu kita perlukan seseorang yang tegas untuk memimpin pasukan,” katanya.
Kelantan setakat ini sekadar mengutip satu mata selepas tiga perlawanan Liga Super dan berada di tangga tercorot. Mereka memerlukan 3 mata untuk menyakinkan semula para penyokongnya.
Sementara itu, legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar berkata kepulangan penyerang import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar tidak akan membantu merubah prestasi pasukan The Red Warriors itu.
“Datanglah Mohammed Ghaddar atau Cristiano Ronaldo sekali pun kalau tak baiki permainan, Kelantan tak akan ke mana.
“Tak ada guna kalau Ghaddar datang tetapi keadaan tak berubah. Sudahlah jentera serangan tumpul, tambah pula enjin tengah tak berfungsi, takkan kita nak suruh dia turun ke bawah kutip bola sendiri.
“Kalau bola tak sampai ke kaki Ghaddar, habis tu dia nak buat macam mana. Walaupun konsisten menjaringkan gol bersama Kelantan musim lalu namun kita tak boleh harap dia seorang, kesianlah dia nanti,” katanya.