Kelantan kutip 3 mata berharga dengan menewaskan Pahang 3-2 di Darul Makmur. Ini satu keputusan yang mengecewakan untuk Pahang dalam usaha mereka untuk terus mengekori rapat JDT.
Pada masa yang sama, pasukan yang mereka tentang adalah pasukan yang penuh dengan tekanan di kem mereka kerana dipotong 6 mata.
JDT pada masa yang sama sekadar seri di Stadium Hang Jebat. Namun Pahang gagal memanfaatkan keadaan itu apabila tewas 2-3 di tangan Kelantan.
Ia mungkin hari yang penuh senyuman untuk penyokong Kelantan selepas segala konflik di luar padang sepanjang 2 minggu ini.
Selain daripada pertarungan antara 2 pasukan Pantai Timur, ini juga pertarungan di antara 2 penggempur paling tajam di Liga Super setakat ini, Ghaddar dan Alves.
Celin meletakkan Kelantan di hadapan seawal minit ke-17. Celin adalah pemain yang berada dalam perancangan untuk ditukar dengan Nyassi.
Namun beliau ternyata memberikan komitmen yang baik. Alves meneruskan kecemerlangan dengan gol penyamaan pada minit ke-69.
Ghaddar kemudian mencuri pertunjukan dari Alves dengan 2 gol pada minit ke-72. Namun Alves menjaringkan gol penyamaan sekali lagi pada minit ke-78.
Hanya berselang seminit, Ghaddar memastikan 3 mata dibawa balik ke Kota Bharu.
3 perlawanan terakhir liga untuk Pahang
Pahang gagal menang dalam 3 perlawanan terakhir Liga Super. Mereka tercicir 7 daripada 9 mata yang ditawarkan.
Ketiga-tiga perlawanan terakhir itu adalah berlangsung di halaman sendiri. Kesannya, mereka kini 6 mata di belakang pendahulu liga JDT.
Rekod unik Kelantan
Kelantan meneruskan rekod unik dengan kecemerlangan di tempat lawan musim ini. Mereka masih belum tewas di tempat lawan.
7 perlawanan di tempat lawan setakat ini, 6 kemenangan dan 1 seri dicatatkan. Sebagai kontra, 5 perlawanan di tempat sendiri dalam MSL, 4 kekalahan dicatatkan dan 1 kemenangan.
Pahang belum pernah tewas di tempat sendiri musim ini. Namun ia diragut oleh away game specialist setakat ini, Kelantan.