Jeon Won-Young Selamatkan MU, Ikat JDT di Stadium Hang Jebat

Perlawanan ke-12 Liga Super Malaysia di antara Melaka United dan Johor Darul Ta’zim menjadi tumpuan kami pada malam ini.

Melaka United pasti mahu mengelakkan kekalahan memalukan di Larkin berulang kembali.

Benjamin Mora dan anak buahnya hadir ke Stadium Hang Jebat dengan misi mencari 3 mata untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Super pada musim ini.

Eric Williams menurunkan kesemua 4 pemain importnya dan menggunakan formasi 4-4-1-1 dalam perlawanan ini.

Benjamin Mora terus dengan formasi 4-3-3 menyaksikan Hazwan Bakri bermain sebagai penyerang tengah dan Dominic Tan bergandingan dengan Marcos Antonio di bahagian petahanan.

Separuh masa pertama bermula, JDT pantas menguasai perlawanan dengan hantaran-hantaran rendah.

Marcos Antonio menanduk liar hantaran melalui sepakan percuma Safiq Rahim seawal minit ke-2 untuk peluang pertama JDT.

Percubaan pertama pasukan negeri Hang Tuah ke gawang JDT hanya hadir pada minit ke-8. Bagaimanapun sepakan percuma deras Jeon Woo-Young terus ke dakapan Mohd. Izham Tarmizi.

2 minit kemudian, giliran Gabby Guerra melakukan gerakan pusingan badan yang menarik sebelum melepaskan rembatan deras, namun tersasar dari luar kotak penalti pasukan Melaka.

Fazly Mazlan juga sering melakukan larian “overlap” dari sebelah kiri dan hantaran lintang cantik pada minit ke-18 oleh bek kiri ini hampir membuahkan hasil namun gagal disudahkan oleh Hazwan Bakri.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

Seminit kemudian, hantaran jauh cantik dari bahagian tengah padang Safiq Rahim menemui Azriff Nasrulhaq.

Bagaimanapun,  tandukan terbang Gabby Guerra di near post sekadar menggegarkan palang sebelum bola dikeluarkan oleh pertahanan Melaka United.

JDT melakukan pertukaran pertama seawal minit ke-25. Benjamin Mora mengeluarkan Amirul Hadi dan memasukkan Muhammd Safawi.

Pertukaran ini menyaksikan Mahali Jasuli bermain di bahagian tengah bergandingan dengan Safiq Rahim dan Syakir Ali.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

Kemasukkan Safawi sering memberi masalah di sebelah kiri pertahanan Melaka. Pada minit ke-36 rembatan deras Safawi dalam kotak penalti hasil larian yang menarik diselamatkan oleh Mohd. Fazli.

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, menyaksikan pemain pasukan Melaka United cukup berdisiplin dalam mempertahankan gawang mereka dibolosi.

Tidak ada perubahan dari kedua-dua pasukan untuk separuh masa kedua. JDT meneruskan penguasaan mereka di bahagian tengah.

Namun JDT dikejutkan dengan rembatan Ahmad Khuzaimi yang menyusup masuk ke kotak penalti menyambut “set up” cantik daripada Aguero. Namun percubaan pemain berusia 23 tahun ini tinggi tersasar.

Pengadil perlawanan melayangkan kad kuning pertama perlawanan kepada Gabby Guerra akibat tindak balasnya menyepak kapten pasukan Melaka, G. Paneswaran pada minit ke-55 perlawanan.

Minit ke-58, Safiq Rahim akhirnya memberikan keceriaan buat pasukan JDT apabila sepakan percuma di sebelah bucu kanan kawasan kotak penalti Melaka United berjaya menerjah jaring mengelirukan Mohd. Fazli.

Melaka United 0-1 JDT.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

4 minit kemudian, JDT hampir menjaringkan gol kedua apabila sepakan percuma lencong Safawi ditepis keluar sekali lagi oleh Mohd. Fazli.

Hantaran lintang Fazly Mazlan hasil larian cantik daripada sebelah kiri sekali lagi hampir membuahkan hasil pada minit ke-70.

Namun penjaga gol Melaka nyata bersedia menepis cubaan Azrif Nasrulhaq yang menyambut hantaran tersebut.

Melaka United membuat pertukaran pertama pada minit ke-73 dengan memasukkan Fauzi Roslan menggantikan Ahmad Khuzaimi.

Minit ke77, menyaksikan Dominic Tan dilayangkan kad kuning setelah menarik jersi Ilija Spasojevic.

Melaka United berusaha untuk mencari gol penyamaan tatkala JDT kelihatan mulai memperlahankan rentak permainan.

Gerakan menarik Jeon dan Spasojevic hampir membuahkan hasil jika tidak kerana terjahan Marcos Antonio.

Kredit: MUSA

Kedua-dua pasukan mulai melakukan pertukaran pemain menyaksikan S. Kunanlan untuk pasukan JDT dan Ahmad Ezrie dimasukkan untuk pasukan Melaka United pada miniute ke-83.

Minit ke-86, kedua-dua pasukan sekali lagi mekukan pertukaran pemain apabila S.Chanturu masuk menggantikan Hazwan Bakiri dan Izaq Faris masuk menggantikan Syawal Norsam.

Usaha Melaka United untuk mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-87.

Hantaran lambung Puaneswaran dari sebelah kiri didada oleh Jeon Woo-Young di dalam kotak penalti JDT sebelum beliau melepaskan satu rembatan leret menewaskan Mohd. Izham Tarmizi.

Empat minit masa tambahan diberikan pengadil perlawanan, hanya menyaksikan layangan kad kuning masing-masing buat Safiq Rahim dan Sergio Aguero.

Wisel penamat ditiup oleh Suhaimi Mat Hassan, perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1.

JDT pastinya lega dengan keputusan di Kuantan. Melaka United jelas berpuas hati untuk mendapat sebarang mata dari perlawanan ini.

Sebagai rekod, sejak dipromosi semula ke Liga Super, Melaka masih belum menang di tempat sendiri.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN