Kongres Luar Biasa (EGM) dijangka akan berlangsung selepas seminggu sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memilih Presiden baharu untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan.
Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah Kamarudin Mohamad berkata dalam Harian Metro, menjelaskan pihaknya sudah mempunyai calon yang lebih baik untuk diangkat sebagai Presiden KAFA.
Bagaimanapun, Kamarudin enggan mendedahkan identiti calon tersebut dan menolak calon sebelum ini iaitu Datuk Seri Amril Aiman yang menawar diri untuk mengambil alih pengurusan KAFA.
“Dia bukan calon dari PBJ , dia hanya menawarkan diri menggantikan Bibi Ramjani. Kami ahli gabungan KAFA tidak akan melantik dia sebagai calon presiden.
“Kami sudah mempunyai calon sesuai, perbincangan dengan individu itu sudah berlangsung dan dia menunjukkan respon positif untuk terbabit dalam memulihkan imej bola sepak Kelantan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai calon Presiden KAFA, Kamarudin berkata individu tersebut mempunyai aura untuk menyelamatkan bola sepak Kelantan dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sukan.
“Individu itu mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan sukan sebelum ini walaupun bukan sukan bola sepak.
“Semua PBJ sudah sedia dan surat kita akan mengahantar kepada KAFA seminggu selepas raya iaitu tujuh PBJ yang mendesak Bibi Ramjani letak jawatan akan menyerahkan surat terbabit secara serentak di pejabata KAFA,” katanya.
Sepanjang berada dibawah pimpinan Bibi Ramjani, Kelantan gagal memperolehi sebarang kejayaan yang membanggakan dan sentiasa dibelenggu dengan pelbagai isu seperti tunggakan gaji dan sekatan perpindahan.
Bibi Ramjani menerima desakan hebat daripada PBJ, kelab penyokong dan bekas pemain untuk melepaskan jawatan itu berdasarkan prestasi Kelantan yang kini berada di kedudukan tercorot saingan Liga Premier.