Ketika projek naturalisasi masih sedang hangat diperbincangkan sama ada ianya memberi manfaat kepada skuad Harimau Malaya atau sebaliknya, beberapa pihak sudah pun berkira-kira untuk melebarkan lagi usaha ni peringkat kelab yang bersaing di Liga Malaysia (Liga-M).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard mengakui kehadiran pemain naturalisasi bukan sahaja memberi manfaat kepada skuad kebangsaan, tetapi turut akan membantu perkembangan kelab-kelab yang bersaing di liga tempatan.
Bagi Stanley, selama ini pemain import yang berkualiti sememangnya telah membantu meningkatkan perkembangan bola sepak di negara ini. Maka dengan menaturalisasikan segelintir mereka, ia akan memberi impak positif kepada kelab-kelab yang bertanding.
“Pada pendapat saya, kita melihat kepada apa kebaikan yang pemain naturalisasi ini boleh bawa kepada kelab, dan secara amnya, pemilihan pemain-pemain juga akan lebih besar malah saingan akan lebih kompetitif,” ujarnya.
“Cuma, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam terhadap pemain tersebut seperti Paulo Josue, anak dia juga belajar di sini dan dia sendiri dilihat mungkin akan bersara di sini terus, jadi sekiranya dia menjadi pemain naturalisasi, untuk jangka masa panjang, banyak cabang dia boleh pergi.
Lima Tahun Di Malaysia, Adakah KL City Akan Naturalisasikan Paulo Josue? https://t.co/T6qgH5vzCC
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 6, 2021
“Untuk itu, saya rasa kita berbalik kepada apa yang pemain naturalisasi itu boleh berikan kepada kita dan saya dapat lihat adanya mereka ini, liga kita akan menjadi lebih elit dan akan lebih banyak membantu daripada segi perkembangan sesebuah pasukan itu”, jelasnya.
Sementara itu, bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh juga berpandangan khidmat pemain naturalisasi yang berkualiti masih diperlukan dalam skuad Harimau Malaya untuk memberikan saingan di pentas antarabangsa.
Beliau yang kini membimbing Sri Pahang FC mengakui bahawa, semua pihak harus berpijak di bumi nyata di mana pasukan kebangsaan sememangnya memerlukan pemain naturalisasi yang mempunyai kelebihan daripada aspek fizikal selain daripada kemahiran di atas padang.
“Kalau tanya saya, memang benda ini [program naturalisasi] saya yang syorkan untuk kita ambil pemain-pemain naturalisasi ketika saya masih jurulatih kebangsaan suatu ketika dahulu,” kata jurulatih berusia 57 tahun itu.
“Ini hakikat yang kita semua perlu terima bahawa Malaysia memang perlukan pemain naturalisasi dan salah satu sebab adalah daripada segi fizikal kerana apabila bermain di peringkat Asia, ini belum cerita di pentas Eropah lagi, pemain-pemain tempatan kita sahaja belum cukup untuk bersaing.
“Masing-masing ada pendapat sendiri, tetapi kalau ikut pengalaman saya, sukarlah kalau kita nak bergantung harap kepada pemain tempatan sahaja untuk ke peringkat tertinggi, jadi kita kena pastikan pemain naturalisasi ini benar-benar yang layak untuk bersama skuad kebangsaan.”
Projek Naturalisasi: Malaysia Terperangkap Antara Fantasi Dan Realiti? https://t.co/b39jxNnIF9
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) June 6, 2021
Turut berkongsi nada yang sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali yang menganggap tidak timbul isu pemain tempatan tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama dengan kehadiran pemain naturalisasi.
Menurutnya apa yang penting adalah bagaimana seseorang pemain naturalisasi itu mampu membawa aura yang lebih menyerlah kepada pasukan agar dapat menjadi penanda aras kepada pemain tempatan lain terutamanya mereka yang masih muda.
“Bagi saya, kita kena faham dan jelas bagaimana kualiti yang ada pada seseorang pemain naturalisasi ini untuk mereka menjadi satu contoh dan penanda aras yang baik buat pemain tempatan untuk mengikut prestasi mereka.
“Keseimbangan itu juga penting tetapi untuk pemain tempatan, apabila mereka bersaing dengan pemain-pemain yang bagus, saya percaya mereka juga akan menjadi lebih bagus, jadi tiada isu pun mengenai program naturalisasi ini,” katanya.
Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode
Minggu lalu penganalisis sukan, Dr. Pekan Ramli turut mempertahankan usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berpendapat dasar naturalisasi di negara ini berada pada landasan yang betul dan praktikal.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM itu, dunia bola sepak terkini yang bersifat global dan berkembang dengan amat pantas dan menjadi satu kaedah untuk merapatkan jurang dengan kuasa-kuasa bola sepak Asia yang lain.
Namun beliau mengingatkan FAM agar membuat saringan yang ketat dengan membuat penilaian pemain dari segi prestasi semasa dan usia yang sesuai selain mewajikan mereka untuk menyertai kursus kenegaraan dan jati diri sebagai satu cara untuk mereka menjiwai tugas dan tanggungjawab mereka.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Arif Aiman, Pemain Muda Tempatan Yang Telah ‘Tolak’ Cabrera Ke Tepi