Adalah normal bagi kelab-kelab kecil Eropah untuk mendapat durian runtuh jika dapat menyertai kejohanan peringkat benua anjuran UEFA.
Mana tidaknya.
Ketika hari perlawanan kejohanan benua, stadium mereka pastinya akan dipenuhi oleh penyokong yang mahu menyaksikan pasukan mereka menentang pasukan besar dari negara lain.
Selain itu jika pasukan mereka seri atau menang, UEFA turut akan memberikan bonus kepada pasukan.
Inilah yang terjadi kepada Dundalk; sebuah kelab yang berasal dari Ireland.
Cipta sejarah sekali lagi!
Dundalk telah pun mencipta fenomena pada awal musim apabila beraksi cemerlang di pusingan kelayakan UEFA Champions League (UCL).
Juara Ireland (gambar bawah) ini berjaya sampai ke pusingan play-off UCL sebelum tewas kepada Legia Warsawa dari Poland dengan aggregat 3-1.
Tewasnya Dundalk kepada Legia Warsaswa membawa mereka ke Europa League. Namun itu tidak menghalang mereka untuk melakukan sekali lagi kejutan!
Menentang AZ Alkmaar di Belanda, AZ Alkmaar menjangkakan perlawanan yang mudah untuk mereka.
AZ Alkmaar berjaya mendahului pada minit ke-60 apabila Stijn Wuytens berjaya menanduk masuk gol pertama tuan rumah.
Kerja AZ Alkmaar semakin mudah apabila kapten Dundalk iaitu Stephen O’Donnell dibuang padang pada minit ke-71 selepas mengutip kad kuning kedua.
Ketika 3 mata dijangka milik Alkmaar namun pada minit terakhir perlawanan, Ciaran Kilduff menanduk masuk gol penyamaan untuk membuatkan penyokong Dundalk gembira.
1 mata yang diraih cukup membuatkan Dundalk menduduki tangga kedua di kumpulan D yang dihuni bersama-sama Zenit St. Petersburg, Maccabi Tel-Aviv dan AZ Alkmaar sendiri.
Peroleh durian runtuh
Bagi sebuah kelab kecil seperti Dundalk, kejayaan memperoleh keputusan seri dengan AZ Alkmaar merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan.
Mereka bukan setakat memperoleh 1 mata dan duduk ditangga kedua kumpulan, malah mereka mendapat €120 ribu (RM 556 ribu) kerana berjaya memperoleh keputusan seri.
Sistem agihan wang UEFA terhadap pasukan yang bermain di peringkat kumpulan Europa League membolehkan pasukan yang menang perlawanan peringkat kumpulan memperoleh €360 ribu (RM 1.7 juta) untuk setiap 3 mata yang diperoleh mereka.
Namun begitu untuk pasukan yang tewas, tiada wang akan diberikan.
Dundalk awal-awal lagi sudah mendapat €2.4 juta (RM 11 juta) kerana menyertai peringkat kumpulan Europa League.
Jumlah wang yang diperoleh Dundalk di kejohanan Eropah teramat besar untuk dibandingkan dengan apa yang mereka peroleh ketika menjuarai Liga Perdana Ireland.
Wang yang diperoleh Dundalk selepas seri dengan AZ Alkmaar itu adalah €10,000 lebih tinggi dari wang kemenangan liga mereka.
Dundalk memperoleh €110 ribu (RM 509 ribu) hasil menjadi juara Liga Perdana Ireland pada musim lalu.
Jumlah tersebut adalah satu-satunya jumlah 6 angka yang diperoleh pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana Ireland.
Pasukan di tangga kedua memperoleh €55 ribu (RM 255 ribu) dan pasukan terakhir liga memperoleh cuma €17 ribu (RM 79 ribu).
Wang yang diperoleh Dundalk di kejohanan Eropah pastinya membantu mereka dari segi kewangan.
Ini membolehkan mereka memperbaiki prasarana kelab dan mungkin mendapatkan pemain yang lebih berkualiti.
Semoga berjaya Dundalk di Europa League!
Baca juga: Bagaimana Llandudno FC, Pasukan Kecil Dari Wales Cari Dana Bermain UEFA Europa League