Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ajax, Edwin Van der Sar, kapten Ajax berusia 19 tahun, Matthijs de Ligt akan berhijrah ke England atau ke Sepanyol pada musim panas ini.
Rakan sepasukan De Ligt di Barcelona, Frenkie de Jong sebelum ini sudah pun mengesahkan perpindahan ke Barcelona selepas tamat kempen musim ini, dengan nilai perpindahan £65 juta.
De Ligt mungkin akan mengikut jejak langkah rakannya itu ke La Liga.
Namun kenyataan terbaru dari Van der Sar ini bermakna pemain muda ini belum menetapkan lagi destinasi seterusnya.
Dua kelab Manchester dan Liverpool dikatakan berminat untuk mendapatkan tandatangan De Ligt. Kenyataan oleh Van Der Sar ini membuatkan kelab-kelab Inggeris – yang mempunyai kemampuan kewangan mampan – mengikuti rapat situasi De Ligt.
“I think he will go to England or Spain”
Ajax CEO Edwin van der Sar has an update on Matthijs de Ligt’s future
— Sky Sports News (@SkySportsNews) May 9, 2019
“Frenkie de Jong sudah sah menyertai Barcelona. Manakala De Ligt mungkin akan ke England atau Sepanyol,” ujar Van der Sar kepada Sky Italia sebelum Ajax disingkirkan oleh Tottenham dari pertandingan Champions League tempoh hari.
“Kedua-dua pemain mahu menjuarai sesuatu di sini [Ajax]. Ini mungkin peluang terakhir buat kedua-dua pemain memenangi sesuatu yang istimewa bersama kelab ini.
“Matthijs sudah pun di sini [Ajax] selama 12 tahun. Sudah tentu kami berharap ia pengakhiran yang baik buat beliau.”
Ajax menewaskan Juventus dan juga Real Madrid untuk mara ke separuh akhir UCL. Bagaimanapun, kebangkitan babak kedua luar biasa dari Spurs membuatkan hajat De Ligt untuk merangkul kejuaraan eropah itu tidak kesampaian pada musim ini.
Ajax sudah pun bergelar juara Piala Belanda pada musim ini, dan mampu muncul juara Eredivisie sekiranya menang baki dua perlawanan selepas ini.